Luis Antonio Valencia – Budak Penjual Air di Stadium Menjadi Bintang Manchester United

Berbadan sasa, berambut kemas seperti seorang anggota tentera dan baju sentiasa tuck in seperti K. Reuben, Antonio Valencia merupakan seorang pemain tonggak Manchester United sejak tahun 2009. Pemain Ecuador ini mulanya bermain sebagai pemain sayap ketika mula dibeli oleh Alex Ferguson, namun lama-kelamaan posisinya telah ditukar kepada pertahanan kanan.

Di sebalik kejayaannya di salah satu kelab terbesar dunia itu, ramai yang tidak tahu asal usul pemain ini dan bagaimana dia mampu berada di mana dia berdiri hari ini.

Valencia dilahirkan pada 4 Ogos 1985 di Lago Agrio, berhampiran bandar Nueva Loja, Ecuador yang lokasinya sangat dekat dengan hutan Amazon. Ketika masih lagi kanak-kanak, Valencia membantu ibunya menjual air di luar stadium di kelab tempatan Lago Agrio.

Selain menjual air, Valencia juga turut mengutip botol-botol yang dibuang orang ramai, dan memberikannya kepada ayahnya supaya dapat menjana sedikit pendapat buat keluarganya. Walaupun sering sibuk membantu keluarganya, minat Valencia terhadap bola sepak tidak pernah padam.

Valencia selalunya akan bermain bola sepak berkaki ayam bersama rakan-rakan berhampiran rumah ibu bapanya. Ketika berusia 11 tahun, seorang scout yang bernama Pedro “Papi” Perlaza nampak aksi Valencia di sebuah padang yang berdebu.

Terpegun dengan kehebatan Valencia, Pedro terus mengambilnya sebagai seorang pemain di akademi di bawah seliaan persatuan bola sepak tempatan di Sucumbios. Nampak tak tugas sebenar FA negeri?

Ketika berusia 16 tahun, Valencia terpilih untuk bermain dengan kelab El Nacional – sebuah kelab yang ditubuhkan oleh angkatan tentera di Quito. Valencia tanpa membuang masa terus menerima tawaran tersebut, namun dia tidak pasti adakah dia akan mendapat kebenaran bapanya.

Naluri seorang ibu cukup kuat untuk menghidu apa yang berlegar di fikiran Valencia, lantas menerusi satu sesi hati ke hati, ibunya bersetuju untuk membenarkan hasrat Valencia untuk bermain bola sepak. Untuk merealisasikan impiannya, ibu Valencia berpakat dengan abangnya, Carlo Alfredo, untuk menghantar Valencia ke Quito dan pada masa yang sama, mereka merahsiakan perkara ini daripada bapa Valencia.

Alfredo membelanjakan sejumlah wang untuk membeli tiket bas Valencia ke Quito dan sejurus tiba di El Nacional, Valencia tinggal di berek tentera bersama beberapa pemain lain. Gajinya ketika itu? Hanya RM200 sebulan.

Setahun kemudian, Valencia dinaikkan ke pasukan bawah-20 di mana dia bermain bersama Christian Benitez. Valencia melakukan debut bersama idolanya, Edison Mendez dan dia memenangi gelaran liga pertamanya pada tahun 2005 Kejohanan Clausura.

Pada tahun 2004, Valencia melakukan debut buat negaranya ketika berusia 19 tahun. Pada Piala Dunia 2006, Valencia telah menerima undian tertinggi Pemain Muda Terbaik, mengatasi Cristiano Ronaldo dan Leo Messi.

Aksinya yang laju dan lincah menarik perhatian pasukan kebangsaan Ecuador dan beberapa kelab Sepanyol. Villareal berjaya memenangi perlumbaan untuk mendapatkan tandatangan pemain ini pada tahun 2005. Kegagalannya mendapatkan tempat dalam skuad utama memaksa Valencia dipinjamkan ke Recreativo Huelva, di divisyen dua.

Pada musim yang sama juga Valencia membantu Recreativo naik ke La Liga, sekaligus menambat perhatian Wigan Athletic yang diuruskan oleh Roberto Martinez. Prestasinya yang konsisten di Wigan membuka mata pengurus Manchester United, Ferguson dan membawanya ke Old Trafford pada tahun 2009.

Seperti kata orang putih, the rest is history.

Baca Juga

Baca Juga