Luis Suarez: Coutinho Ada Cita-Cita Sertai Barcelona

Penyerang Barcelona, Luis Suarez berkata Philippe Coutinho masih memasang cita-cita untuk menyertai Barcelona pada masa hadapan. Suarez menambah Coutinho adalah seorang pemain yang bercita-cita tinggi dan menyertai Barcelona adalah pilihan yang terbaik bagi membantu beliau mengecapi kejayaan.

Suarez dan Coutinho pernah bermain bersama ketika Suarez masih lagi seorang pemain Liverpool. Jodoh mereka hanya bertahan semusim kerana Suarez mengambil keputusan untuk berhijrah ke Sepanyol untuk menyertai Barcelona dalam perjanjian bernilai £75juta.

Pelbagai kejayaan telah dikecapi Suarez sejak menyertai pasukan Catalonia tersebut. Bersama-sama Lionel Messi dan Neymar, mereka telah membentuk barisan serangan 3 serangkai yang amat digeruni di Eropah sebelum ini. Suarez ketika ditemu ramah akhbar Mundo Deportivo telah memberikan pujian terhadap bakat yang dimiliki Coutinho dan percaya pemain ini mahu menyertai Barcelona.

“Sudah tentu beliau mahu menyertai Barcelona kerana Coutinho seorang pemain yang bercita-cita tinggi dan setiap pemain mahu menyarung jersi Barcelona. Saya mengenali Coutinho dari segi peribadi dan bolasepak kerana saya pernah bermain bersamanya. Tetapi semua pihak mengetahui apa yang mampu dilakukan beliau. Coutinho adalah seorang pemain yang bermain pada tahap yang tinggi pada masa kini.”

Selepas gagal untuk mendapatkan Coutinho pada jendela perpindahan pemain lalu kerana permintaan tidak masuk akal Liverpool, Barcelona sedang merangka pelan baru untuk meyakinkan The Kops untuk melepaskan Coutinho pada tirai perpindahan Januari tahun hadapan.

Pemain antarabangsa Brazil ini telah diketepikan Jurgen Klopp untuk 6 perlawanan awal Liga Perdana Inggeris selepas berita perpindahan beliau semakin hangat diperkatakan.

Barcelona telah menghantar wakilnya ke Liverpool untuk membincangkan perpindahan urusan perpindahan Coutinho tetapi gagal untuk menemui jalan penyelesaian kerana harga yang terlalu tinggi diletakkan Liverpool terhadap Coutinho.

Suarez turut memuji sikap yang telah ditunjukkan pemain berusia 25 tahun ini selepas kembali disenaraikan dalam pasukan Liverpool walaupun hajatnya untuk menyertai Barcelona tidak kesampaian.

“Beliau terpaksa melalui keadaan yang sukar tetapi sebagai seorang pemain profesional, beliau telah menunjukkan kepada umum betapa bagusnya beliau dan juga karakter yang dimilikinya. Walaupun beliau cuba untuk keluar dari Liverpool, Coutinho masih mahu membantu pasukannya dan turut bekerja keras. Coutinho adalah contoh pemain profesional yang mempunyai cita-cita untuk mara lebih ke hadapan.”

Pada jendela perpindahan lalu, bidaan Barcelona terhadap Coutinho telah ditolak Liverpool sebanyak tiga kali. Melalui akaun rasmi Twitter kelab Catalan tersebut, mereka mendakwa Liverpool telah meletakkan tanda harga €200juta untuk mendapatkan Coutinho pada hari terakhir jendela perpindahan.

Pada harga tersebut, Barcelona berkata adalah tidak masuk akal untuk Barcelona meneruskan urusniaga. Walaubagaimanapun, dakwaan ini telah disangkal sekeras-kerasnya Liverpool.

Barcelona telah lama menaruh minat untuk membawa masuk Coutinho ke Nou Camp tetapi duit yang diterima mereka berikutan penjualan Neymar ke Paris Saint Germain telah membawa minat Barcelona ke peringkat yang lebih serius dan mereka bersedia untuk mencuba sekali lagi apabila tirai perpindahan pemain dibuka Januari nanti.

Baca Juga

Baca Juga