Luis Suarez Dituduh Menipu Dalam Ujian Bahasa Italy Untuk Mendapatkan Pasport Italy

Kehidupan pemain buangan dan gelandangan Barcelona, Luis Suarez terus huru-hara dan semakin ribut apabila telah dituduh menipu dalam satu ujian yang dibuat bagi mendapatkan pasport Italy.

Barcelona sebelum ini dilaporkan akan membatalkan kontrak Luiz Suarez kerana kelab Blaugrana itu mahu mengurangkan perbelanjaan pembayaran gaji Suarez yang tersangat tinggi.

Kisah sedih Suarez bermula selepas kekalahan 8-2 kepada Bayern Munich dan pengurus baru, Ronald Koeman telah memaklumkan beliau tidak mahukan lag khidmat Suarez untuk musim 2020/21.

Ivan Rakitic dan Luis Suarez merupakan dua nama awal menjadi keutamaa Barcelona untuk dilepaskan dan Rakitic telah lama selamat mendarat di Sevilla. Meninggalkan Suarez terkontang-kanting.

Juventus menyatakan minat mendapatkan Suarez tetapi oleh kerana kuota pemain import Old Lady sudah penuh maka Suarez perlu mendapatkan pasport Italy.

Nasib menyebelahi Suarez apabila isterinya merupakan warganegara Italy dan Suarez layak untuk memohon tetapi perlu menjalani ujian Bahasa Italy (B1 Italian language exam) untuk mendapatkan kewarganeraan.

Luis Suarez telah lulus ujian bahasa Italy yang dijalankan di Universiti Perugia tetapi langit tidak selalu cerah dan malam tidak selalu gelap.

Media Italy, Repubblica dan Ansa melaporkan bahawa pemain penyerang itu dituduh menipu berikutan kerana terdapat dakwaan ada ‘penyelewengan’ di mana Suarez mendapat soalan lebih awal dan sudah pasti sudah tahu jawapan.

Menurut Fabrizio Romano:

“Isu besar. Terdapat ‘penyelewengan’ dalam ujian Bahasa Italy Luis Suarez di Universiti Perugia. Suarez telah mendapat soalan lebih awal. Beliau mendapatkan pasport dengan menipu.”

“Suarez tidak bercakap sepatah haram pun bahasa Italy, dia tidak mampu menghubungkan kata kerja. Sekiranya wartawan bertanya dia akan sesat. Dia meraih €10 juta setahun dan perlu lulus ujian ini.”

Berikutan itu satu laporan polis telah dibuat mengenai insiden itu dan Pejabat Pendakwaraya Awam Perugia telah mengeluarkan kenyataan mengenai insiden ini.

“Terdapat penyelewengan terjadi dalam ujian pengesahan bahasa Italy yang diduduki pada 17 September oleh pemain bola sepak Uruguay Luis Alberto Suarez Diaz yang diperlukannya untuk mendapatkan kewarganegaraan Italy.”

“Dari siasatan, topik dalam ujian tersebut telah dipersetujui terlebih dahulu dan telah diberikan sebelum peperiksaan.”

“Hari ini polis kewangan Italy telah bertindak merampas dokumen di pejabat Universiti untuk mengesahkan tindakan selanjutnya.”

Nampak gayanya sangat mustahil untuk Suarez meneruskan kariernya di Italy dan Suarez akan berdepan masalah besar jika pertuduhan yang dibuat itu adalah benar.

Atletico Madrid telah membuka pintu kepada Luis Suarez namun Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu dilaporkan telah menyekat hasrat Suarez untuk bersama Diego Simeone.

Josep Maria Bartomeu tidak akan membatalkan kontrak Suarez jika beliau mahu ke Atletico Madrid yang merupakan salah satu pencabar utama Barcelona di La Liga.

Atletico Madrid masih boleh mendapatkan Luis Suarez tetapi dengan melibatkan yuran perpindahan. Matilanak.

Jika Atlatico Madrid mahu membayar ada sinar buat Suarez dan jika tidak entah apa nasib Suarez yang sudah tidak diperlukan Barcelon. Berlatih pun dah asing-asing.

Suarez mula menyertai Barcelona pada tahun 2014 dan telah berjaya memenangi empat gelaran La Liga, empat kejuaraan Copa Del Rey dan berjaya menjulang Piala Liga Juara-juara sebanyak sekali.

Untuk rekod Suarez merupakan pemain ketiga yang menjaringkan gol terbanyak sepanjang zaman untuk kelab dengan menjaringkan 198 gol dan beliau juga salah seorang sahabat karib Lionel Messi.

Selain Juventus dan Atletico Madrid, Suarez juga dikaitkan dengan bekas kelabnya, Ajax.

BACA:  Messi Jelaskan Perbezaan Antara 'MSN' Dan 'MNM' Dengan Cukup Terperinci