Lukaku Akan Jaringkan Lebih Banyak Gol Berbanding Ronaldo

Romelu Lukaku dikatakan bakal menjaringkan lebih banyak gol berbanding Cristiano Ronaldo dalam saingan Premier League musim ini.

Menurut penyampai talkSPORT, Darren Bent, beliau sangat yakin dan percaya yang bintang Chelsea, Romelu Lukaku akan jaringkan lebih banyak gol berbanding legenda Man Utd, Cristiano Ronaldo pada musim ini.

Bent yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan England pernah beraksi bersama Tottenham Hotspur dan Aston Villa ketika kariernya.

Beliau telah mendedahkan kepada pendengar talkSPORT yang kebanjiran bakat pemain penyerang di Old Trafford akan menyebabkan ramai pemain yang bakal mencatat nama sebagai penjaring gol.

Jadi tidak mudah untuk Ronaldo terus menjaringkan gol kerana rakan sepasukannya juga mempunyai kualiti penyudah yang sungguh menakjubkan.

Sementara Lukaku pula, beliau akan menjadi penjaring gol utama di Stamford Bridge dengan rakan sepasukannya juga akan sentiasa menjadikan beliau ‘target man’.

“Saya akan katakan, musim ini, Lukaku.”

Jawab Bent ketika ditanya siapa yang beliau fikir akan lebih kerap menjaringkan gol antara dua pemain tersebut.

“Ketika kamu lihat pada Chelsea dan gol yang mereka jaringkan, saya rasa kebanyakannya akan datang dari Lukaku.”

“Kita semua tahu bagaimana bagusnya Ronaldo, tapi Mason Greenwood juga akan cipta nama sebagai penjaring, Fernandes dan Rashford jika beliau kembali juga sama, Cavani juga. Segelintir dari mereka mungkin tak main.”

“Lukaku pula beliau tentu akan bermain, melainkan jika beliau mengalami kecederaan.”

Kedua-dua Ronaldo dan Lukaku telah kembali ke kancah saingan Premier League pada musim panas ini, selepas kedua-dua mereka beraksi di Serie A pada musim sebelum ini.

Lukaku kembali ditandatangani oleh Chelsea dengan yuran perpindahan memecah rekod bernilai £97.5 juta pada musim panas ini.

Sementara Ronaldo pula, selepas 12 tahun meninggalkan Old Trafford untuk beraksi bersama Real Madrid dan Juventus, beliau memutuskan untuk kembali beraksi bersama Manchester United.

Walaupun ramai yang yakin Ronaldo bakal berjaya memberikan impak positif ke dalam skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer dalam saingan Premier League, Bent lebih yakin yang bintang Portugal itu akan kerap berada di bangku simpanan.

Lukaku dikatakan akan jaringkan gol lebih banyak berbanding Ronaldo

Beliau yakin yang Ronaldo akan lebih kerap berada dibangku simpanan berbanding Lukaku, dan kerana itulah bintang Belgium itu akan menjaringkan lebih banyak gol.

“Berkemungkinan, Ronaldo tidak akan diturunkan dalam semua perlawanan, kerana mereka akan ada banyak perlawanan.”

Jelas penyampai berusia 37 tahun itu.

“Lihat pada Lukaku, Chelsea beli dia kerana ada matlamat, paling penting dia perlu bermain. Itu bagi saya akan membezakan antara beliau dengan Ronaldo dan dia akan ada kelebihan lebih banyak minit permainan.”

“Dengar, saya tahu Ronaldo akan jaringkan gol, saya tak meragui itu, tapi saya rasa Lukaku, dia akan tetap mengatasi Ronaldo.”

Seperti yang didakwa oleh Bent, Lukaku sememangnya diberi kepercayaan untuk menjadi penggempur utama Chelsea dengan beliau telah turun beraksi dan menjaringkan satu gol setakat ini.

Lukaku berjaya menjaringkan gol ketika aksi bertemu Arsenal sebelum ini, dengan beliau dalam perlawanan itu berjaya membuli barisan pertahanan Gunners.

Namun ketika aksi bertemu Liverpool, beliau dilihat telah didominasi oleh Van Dijk dan Matip, dengan bekas penyerang Inter Milan itu jelas tidak mampu memberi ancaman bahaya ke gawang The Reds.

Sementara Ronaldo pula, beliau berkemungkinan akan melakukan debut keduanya bersama Manchester United pada hujung minggu ini, dalam aksi perlawanan liga bertemu Newcastle United.

Perebutan anugerah kasut emas dalam saingan Premier League pada musim ini sepertinya semakin menarik untuk disaksikan, selepas hadirnya pemain-pemain bertaraf dunia seperti Lukaku dan Ronaldo.

Sumber: SB

BACA:  Inilah Perlawanan Pembuka Jalan Untuk Cristiano Ronaldo Jadi Pemain Terbaik Dunia