Lukaku Dedah Tiga Kelab Yang Mahu Beliau Sertai Berbanding Chelsea

Romelu Lukaku telah mengakui yang beliau sebenarnya mahu menyertai Barcelona, Real Madrid atau Bayern Munich pada musim panas lalu berbanding kembali ke Chelsea.

Pemain kebangsaan Belgium itu kini telah mencetuskan sensasi di internet selepas beliau mengeluarkan beberapa kenyataan kontroversi dalam temu bualnya bersama Sky Italia beberapa hari yang lalu.

Selain menyindir Thomas Tuchel beliau turut mendedahkan yang dirinya tidak gembira dengan situasi di Stamford Bridge dan Lukaku secara terbuka turut mendedahkan hasratnya mahu kembali sertai Inter Milan.

Ia merupakan temu bual yang telah menyebabkan pandangan para penyokong Chelsea terhadap Lukaku berubah sepenuhnya dan turut menjadikan beliau sebagai insan paling dibenci di Stamford Bridge pada ketika ini.

Beliau meninggalkan Nerazzurri untuk kembali menyertai Chelsea pada musim panas baru-baru ini dengan yuran perpindahan memecah rekod kelab bernilai £97.5 juta.

Chelsea bahkan turut membayar Lukaku £212,000 seminggu dengan kontrak selama lima tahun.

Walau bagaimanapun, penyatuan semula antara beliau dengan Chelsea sepertinya tidak berjalan dengan seperti yang diharapkan.

Bahkan Lukaku sebenarnya seolah-olah mahu menyatakan yang Chelsea bukanlah destinasi pilihan beliau walau sebelum ini sembang kencang macam Stamford Bridge tu tempat lahir dia.

Beliau mendedahkan yang ada tiga kelab lain yang menjadi idaman untuk beliau sertai pada musim panas lalu, dam Chelsea bukanlah salah satu dari tiga kelab tersebut.

Ketika ketiga-tiga kelab Barcelona, Real Madrid atau Bayern Munich tidak menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmatnya, barulah Lukaku mengubah rancangan beliau untuk sertai Chelsea.

“Musim panas lalu, saya pergi berunding dengan pimpinan Inter dan saya meminta kontrak baru.”

Jelas Lukaku kepada Sky Italia.

“Saya kata: saya sudah 28, saya mahu rancang kehidupan saya di Itali dengan rundingan baru.. Tapi Inter kata tidak. Mungkin kedudukan ekonomi mereka tak mengizinkan. Bagi saya ia satu hal yang susah untuk diterima.”

“Ada tiga pasukan yang berada di tahap tertinggi: Barcelona, Real Madrid, Bayern Munich. Semua pemain ada impian untuk bermain bersama mereka, itu adalah kebenarannya. Saya fikir saya akan pergi sertai salah satu dari mereka selepas Inter.”

“Itu tidak berlaku dan saya kata: ada satu lagi kelab yang saya boleh bayangkan diri saya bersama mereka, ia adalah Chelsea.”

“Musim panas lalu saya tidak fikir untuk menyertai Chelsea sampailah mereka datang dengan tawaran. Simone Inzaghi bersikap sangat baik dengan saya.”

“Ketika Chelsea menghubungi saya, ia satu cabaran untuk saya. Juga kerana ia mengganggu saya selepas tidak pernah menang Premier League.”

“Ia sebenarnya sangat sukar untuk menolak kesempatan beraksi semula dalam saingan Premier League bersama kelab yang saya sokong sejak kecil.”

Lukaku telah berjaya menjaringkan tujuh gol dari 18 penampilan sepanjang kariernya keduanya di Stamford Bridge pada musim ini.

Ia jelas bukanlah satu rekod yang baik apa lagi beliau datang dengan standard yang tinggi dan yuran perpindahan yang memecah rekod kelab.

Tindakan beliau itu selayaknya dikritik kerana tidak profesional dan jelas sekali Lukaku tak sepatutnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan seperti itu kepada umum.

Tuchel sendiri ada mengeluarkan kenyataan yang beliau mahu mengajak Lukaku berunding permasalahan tersebut dan beliau juga kecewa melihat bintang Belgium itu mendedahkan hal-hal yang tidak sepatutnya kepada umum.

Beliau menganggap tindakan Lukaku itu sama sekali tidak membantu dan ia hanyalah satu sikap tidak profesional yang tak sepatutnya beliau lakukan.

Ketika temu bual yang sama, Lukaku mendakwa yang beliau telah menolak tawaran luar biasa menakjubkan dari Manchester City, setahun sebelum beliau kembali ke Chelsea.

Walau bagaimanapun, alasan beliau tidak menerima tawaran dari Manchester City bukanlah kerana menghormati Chelsea, sebaliknya hanya kerana masa yang tidak mengizinkan.

Walaupun sudah berlaku kontroversi yang agak panas pada ketika ini, sepertinya agak mustahil untuk melihat Lukaku meninggalkan Chelsea pada jendela perpindahan Januari ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Conte: Chelsea Tidak Boleh Benarkan 'Tragedi Salah & De Bruyne' Dari Terus Berulang