Lukaku Mengaku Tak Gembira Bersama Chelsea Dan Mahu Kembali Sertai Inter Milan

Bintang Chelsea, Romelu Lukaku telah melakukan satu hal yang agak mengejutkan para peminat, selepas beliau dengan terbuka menghentam Thomas Tuchel.

Beliau juga mengakui yang dirinya tidak gembira dengan situasinya di Stamford Bridge pada ketika ini, dan pendedahan Lukaku itu telah mencetuskan sensasi di internet pada ketika ini.

Penyerang kebangsaan Belgium yang kini sudah berusia 28 tahun itu kembali ke saingan Premier League pada musim panas baru-baru ini dari Inter Milan.

Chelsea bahkan telah membayar yuran perpindahan memecah rekod bernilai £97.5 juta kepada Inter Milan untuk mendapatkan khidmat pemain penyerang itu.

Lukaku telah lapan kali diturunkan dalam kesebelasan utama Chelsea di bawah kendalian Thomas Tuchel pada musim ini.

Secara keseluruhannya, beliau telah membuat 13 penampilan dalam saingan Premier League dan turut berjaya menjaringkan lima gol.

Pemain kebangsaan Belgium itu sedikit terjejas di Stamford Bridge dek kerana beliau dibelenggu masalah kecederaan dan turut pernah disahkan positif C0V-19.

Namun begitu, ketika Lukaku berada ditahap kecergasan terbaiknya, beliau masih kerap diketepikan dari kesebelasan utama Chelsea.

Lukaku berjaya membuka tirai jaringan untuk skuad Chelsea ketika mereka turun beraksi bertemu Brighton kemarin dengan The Blues pada ketika itu hanya mampu mencatatkan keputusan seri 1-1 sahaja di Stamford Bridge.

Bekas penyerang Inter Milan itu berazam mahu kekal ‘profesional’ walau beliau sama sekali tidak gembira dengan situasi yang berlaku di Stamford Bridge pada ketika ini.

Beliau juga turut mendakwa yang beliau akan sedaya upaya berjuang bersama Chelsea sehingga hujung kariernya.

Lukaku mendedahkan kepada Sky Sports Italia bahawa:

“Secara fizikal saya baik-baik sahaja, bahkan saya rasa lebih baik dari sebelum ini. Selepas dua tahun di Itali, yang mana saya banyak berusaha bersama Inter dan para jurulatih serta pakar pemakanan, secara fizikalnya saya baik-baik sahaja.”

“Tapi saya tak gembira dengan situasi pada ketika ini, ini biasa sahaja. Saya rasa jurulatih sudah memilih untuk bermain dengan sistem lain, saya cuma perlu kuat dan tidak menyerah dan terus berusaha dan jadi lebih profesional.”

“Saya memang tidak gembira dengan situasi, tapi saya seorang yang bekerja keras dan saya perlu kuat dan tidak menyerah.”

Inter Milan membelanjakan £74 juta untuk menandatangani Lukaku dari Manchester United pada tahun 2019 dahulu.

Bekas bintang Manchester United dan Everton itu sempat membuat 95 penampilan bersama Inter Milan dan turut menjaringkan 64 gol sepanjang dua musim di San Siro.

Lukaku turut cemerlang membantu Inter Milan menjuarai saingan Serie A di bawah kendalian bekas pengurus Inter, Antonio Conte pada musim lalu.

Selepas kejayaan beliau membantu Inter Milan menjuarai saingan Serie A, Chelsea segera berusaha mendapatkan semula khidmat bekas pemain mereka itu.

Ketika temu bual yang sama, bekas bintang Inter Milan itu turut mendedahkan yang The Nerazzurri senantiasa ada dalam hatinya.

Lukaku kemudiannya turut menambah lagi yang beliau:

“Saya rasa semuanya yang berlaku tak sepatutnya berlaku seperti ini.”

“Bagaimana saya rasakan bersama Inter, bagaimana saya berkomunikasi dengan penyokong, hal ini mengganggu saya kerana ia bukan masa yang sesuai sekarang, tapi walaupun saya sudah meninggalkan kelab sekarang, saya masih rasa yang ini bukan masa yang sesuai.”

“Sekarang saya fikir tak salah untuk saya bercakap kerana saya selalu katakan yang Inter Milan ada dalam hati saya, saya akan kembali beraksi di sana, saya sangat berharap itu.”

“Saya sudah jatuh cinta dengan Itali, ini adalah masa paling tepat untuk bercakap dan biarkan semua orang tahu apa sebenarnya yang berlaku tanpa saya bercakap buruk tentang sesiapa, kerana saya bukan jenis macam itu.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Premier League 2019/20: Liverpool 5-3 Chelsea