Luke Shaw Gagal Penuhi Potensi Jika Terus Kekal Bersama Manchester United

Bekas pemain Manchester United, Phil Neville menyuarakan kekecewaan beliau terhadap situasi yang melanda Luke Shaw dalam pasukan ketika ini dan mengakui Shaw mungkin perlu berpindah ke tempat lain dalam mencari minit perlawanan.

Produk akademi Southampton ini diturunkan dalam satu perlawanan sahaja musim ini, itupun hanya 45 minit dalam saingan Piala Carabao. Shaw masih lagi belum diturunkan dalam mana-mana perlawanan liga dan hanya dinamakan untuk mengisi bangku simpanan sekali sahaja iaitu dalam perlawanan terakhir mereka menentang Newcastle United.

Pemain berusia 22 tahun ini menyertai Manchester United dari Southampton pada tahun 2014 dengan Red Devils membayar sekitar £30juta untuk mendapatkan khidmatnya. Nilai yang dibayar pada ketika itu boleh dikatakan agak tinggi untuk seorang pemain yang masih muda.

Sejak menyertai Machester United, segalanya serba tidak kena dengan pemain ini. Beliau sering mengalami kecederaan yang membantutkan perkembangan beliau sebagai seorang pemain. Terbaru, Shaw telah dikritik pengurusnya, Jose Mourinho pada September lalu dimana Mourinho memberitahu Shaw harus memperbaiki permainannya jika mahu bermain dalam pasukan utama.

Phil Neville adalah individu yang bertanggungjawab membawa masuk pemain ini ke Old Trafford selepas menilai persembahan Shaw ketika bermain bersama The Saints.

Neville kecewa dengan perkembangan Shaw

Neville mengakui beliau amat kecewa dengan perkembangan karier pemain ini, dan berpendapat Shaw harus keluar dari Manchester United bagi menyelamatkan kariernya dari terus tenggelam.

“Dengar sini, Shaw sepatutnya pemain yang harus mengisi posisi bek kiri England. Saya yang menilai bakat beliau ketika saya menjadi salah seorang jurulatih untuk Manchester United. Ketika Shaw masih di Southampton, saya berkata pemain ini bakal menjadi bek kiri England untuk masa hadapan. Shaw juga merupakan antara pemain bek kiri muda terbaik pernah saya lihat. Ketika menyerang, beliau mempunyai segala-galanya.”

“Saya berasa sangat kecewa kerana beliau tidak mengambil peluang yang ada dihadapan beliau dan memenuhi bakat besar yang ada padanya. Shaw harus bermain bolasepak dan saya tidak pasti beliau akan diberikan peluang jika masih berada di Manchester United.

Bulan lepas, Luke Shaw mengakui beliau berharap dapat kembali bekerjasama dengan pengurusnya ketika di Southampton dulu iaitu Mauricio Pochettino pada masa hadapan. Pochettino adalah pengurus yang bertanggungjawab mengetengahkan bakat Shaw pada masa itu sehingga dikenali seluruh England.

Neville turut mencadangkan agar Manchester United dan Tottenham melakukan pertukaran pemain dengan menukarkan Shaw bagi mendapatkan Danny Rose.

Rose menjadi pemain yang semakin dilupakan peminat Spurs musim ini selepas mengeluarkan kenyataan mahu berpindah keluar untuk memenangi trofi awal musim lalu. Beliau juga telah kehilangan tempat dalam pasukan utama kepada pemain antarabangsa Wales, Ben Davies.

Baca Juga

Baca Juga