Lumba Basikal : Apa Itu Keirin

Azizulhasni Awang atau gelarannya The Pocket Rocket Man akhirnya berjaya membawa pulang pingat sukan Olimpik setelah mula mencuba dari tahun 2008 di Beijing, sehingga ke London 2012, dan akhirnya ke Rio 2016.

Kemerlangan Azizulhasni juga telah membawanya menjadi juara pecut dunia dan diteruskan lagi ke Sukan Asia 2018 Palembang/Jakarta.

Memandangkan lumba basikal bukanlah satu sukan ruji rakyat Malaysia, mungkin ramai yang tidak faham berkenaan acara kesukaan Azizulhasni, iaitu Keirin.

Pengenalan

Keirin berasal dari Jepun, dan ia bermaksud ‘perlumbaan beroda’, dan mula dimainkan pada tahun 1948.  Asalnya, sukan ini hanyalah satu acara untuk perjudian, sama seperti lumba kuda. Tapi lama kelamaan sukan ini dilihat berpotensi untuk pergi lebih jauh, tambahan pula golongan barat mula mempromosi acara ini di Negara masing-masing, maka akhirnya diiktiraf sebagai acara rasmi Union Cycliste Internationale (UCI) – Persekutuan Basikal Antarabangsa.

Pada tahun 1996, acara Keirin ini dimasukkan ke dalam mesyuarat jawatankuasa olimpik, untuk diundi sama ada perlu dijadikan sebagai satu acara olimpik atau tidak, dan pada Olimpik Sydney 2000, keirin menjadi acara rasmi dan dimenangi pengayuh dari Perancis, Florian Rousseau.

Sir Chris Hoy, pengayuh dari Britain telah memenangi dua pingat emas dalam acara keirin – pada 2008 dan 2012.

Sir Chris Hoy | Gambar : Chrishoy.com
Sir Chris Hoy | Gambar : Chrishoy.com

Syarat sah keirin

Antara syarat sah acara keirin menurut jumhur pengayuh adalah pertama sekali perlulah mempunyai sebuah basikal, topi keledar keselamatan yang diiktiraf dan juga cermin mata serta kasut.

Perlumbaan keirin dimainkan dalam jarak 2km, atau 8 pusingan trek velodrome 250m, atau 6 pusingan trek velodrome 333m. Dari pusingan pertama, pelumba akan mengikut seorang manusia yang menaiki motosikal atau basikal eletkrik yang dipanggil pacer atau The Derny. Kelajuan pelumba perlahan-lahan dinaikkan dari 25km/j ke 50km/j.

The Derny / Pacer | Gambar :
The Derny / Pacer | Gambar : rollapaluza.com

Ketika di belakang The Derny, pelumba tidak dibenarkan memotong The Derny dan tatkala kelajuan mencecah 50km/j, dan jarak garisan penamat sekitar 600m, The Derny akan bergerak ke tepi dan memberikan laluan kepada pelumba untuk memecut sepenuh hati sehingga ke garisan penamat.

Carta pertandingan

Pusingan pertama

Senarai pelumba yang layak ke olimpik akan ditapis sehingga 24 orang dan mereka akan dibahagikan kepada empat saringan pusingan pertama, dan setiap saringan mengandungi enam pelumba. Pemenang tempat pertama dan kedua akan layak secara automatik ke pusingan kedua, yang akan dijalankan sebanyak dua saringan manakala yang lain akan bersaing di pusingan repechage.

Repechage

Repechage ialah pusingan khas untuk menentukan kelayakan pelumba ke pusingan kedua. Repechage akan dijalankan dalam empat saringan, dengan penyertaan lima pelumba setiap saringan.

Dalam saringan 1 repechage yang disertai Azizulhasni, hanya empat pelumba yang bertanding kerana pelumba Colombia dibatalkan penyertaannya dalam pusingan pertama.

Dari empat saringan, hanya pemenang di tempat pertama akan layak ke pusingan kedua.

Pusingan kedua

Pusingan kedua dibahagikan kepada dua saringan, dengan enam pelumba setiap saringan. Pelumba yang berjaya mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga dari setiap saringan  akan layak ke pusingan akhir, manakala pelumba di tempat keempat, kelima dan keenam akan berlumba di pusingan penentuan tempat ke-7 sehingga 12.

Pusingan akhir

Pemenang pingat keirin Olimpik Rio | Gambar : FB Astro Arena
Pemenang pingat keirin Olimpik Rio | Gambar : FB Astro Arena

Pusingan akhir terdiri daripada enam pelumba dan pelumba yang mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga masing-masing dianugerahkan pingat emas, perak dan gangsa.

Rujukan :

  1. RIO 2016
  2. Wikipedia
  3. Radio Times

Baca Juga

Baca Juga