Lutz Pfannenstiel – Pemain Yang Tolak Bayern Munich Demi Pulau Pinang

Lutz Pfannenstiel – bukanlah satu nama yang besar dalam bola sepak dunia, namun dia memiliki keistimewaannya tersendiri. Sebagai penjaga go, Pfannenstiel merupakan satu-satunya pemain yang pernah bermain di setiap benua di dunia ini. Andai kata Antartika turut mempunyai liga bola sepak, pasti Pfannenstiel akan turut bermain di sana.

Pfannenstiel juga pernah menolak kontrak daripada Bayern Munich dan memilih untuk beraksi untuk Pulau Pinang. Ya, Pulau Pinang yang ada nasi kandaq, Lim Guan Eng, Faiz Subri dan rakyatnya suka menyebut “harey toi”.

Ceritanya berbunyi begini.

Pfannenstiel memulakan kariernya bersama kelab Jerman,1. FC Bad Kötzting, kelab liga divisyen 5 Jerman, Landesliga Bayern-Mitte pada tahun 1991. Pasukan ini bukanlah satu pasukan professional sepenuhnya dan liga yang disertai mereka juga hanya dimainkan di sekitar negeri Bavaria.

Pada tahun 1993, ketika Pfannenstiel berusia 20 tahun, Bayern Munich telah berminat untuk mendapatkan pemain ini. Sebagai orang muda, Pfannenstiel pasti cukup gembira menerima lamaran kelab sebesar Bayern, namun dia agak terkejut setelah mendapat tahu Bayern hanya menawarkan kontrak amatur, bukan professional.

Pfannenstiel bersama peminatnya, Rivaldo.

Walaupun kontrak amatur, sekiranya Pfannenstiel cemerlang, maka kontrak amatur tersebut tetap akan menjadi professional, namun dengan keyakinan yang terlalu tinggi, Pfannenstiel menolak kontrak tersebut dan menyertai pasukan yang bermain di Liga Malaysia – Pulau Pinang, kerana Pulau Pinang menawarkan kontrak professional kepadanya.

Bersama pasukan Pulau Mutiara, Pfannenstiel telah beraksi sebanyak 12 perlawanan sebelum bakatnya dikesan oleh seorang scout Liga Inggeris pada tahun 1994 dan membawanya untuk bermain bersama AFC Wimbledon yang ketika itu bermain dalam Liga Perdana Inggeris!

Bayangkan Pulau Pinang eksport pemain ke EPL!

Jodohnya bersama The Crazy Gang tidak lama dan hanya beraksi sebanyak 12 perlawanan, sebelum berpindah ke Nottingham Forest dan gagal membuat sebarang penampilan. Pfannenstiel walaubagaimanapun tetap berjuang untuk meneruskan karier bola sepak professionalnya dan dipinjamkan kepada kelab Afrika Selatan, Orlando Pirates.

Selepas beraksi 7 perlawanan, Pfannenstiel menyertai kelab Finland,Tampereen Pallo-Veikot pada tahun 1997, dan berpindah ke kelab FC Haka, juga di Finland pada tahun yang sama.

Pada musim berikutnya, Pfannenstiel menyertai kelab Jerman, SV Wacker Burghausen dan sekadar beraksi 14 perlawanan sebelum kembali ke Asia Tenggara untuk beraksi bersama kelab Singapura, Geylang United. Pfannenstiel beraksi sebanyak 46 perlawanan sepanjang dua musim bersama kelab ini – jumlah tertinggi di satu-satu kelab yang dia sertai.

Ketika di Singapura, Pfannenstiel melalui episod sedih apabila dia dipenjarakan selama 101 hari atas kesalahan mengatur perlawanan yang tidak dilakukannya.

Merajuk dengan Singapura, Pfannenstiel menyertai kelab Dunedin Technical di New Zealand pada tahun 2001, sebelum dipinjamkan ke kelab Inggeris, Bradford Park Avenue di mana dia hanya melakukan satu penampilan dalam perlawanan.

Pada tahun 2001, Pfannenstiel berpindah lagi, kali ini ke Huddersfield Town, juga di England dan gagal untuk membuat sebarang penampilan. Tidak puas hati dengan apa yang berlaku, Pfannenstiel  kembali ke New Zealand untuk bersama Dunedin Technical pada tahun 2002.

Kali ini, Pfannenstiel telah mencetuskan kontroversi apabila telah mencuri seekor penguin dan menyimpannya dalam tab mandi rumahnya selama 24 jam! Kesalahan ini sebenarnya boleh menyebabkannya dipenjarakan namun dia terlepas kerana mengatakan penguin tersebut dijaga dengan rapi.

Pada tahun 2003, ketika kembali bermain untuk Bradford Park Avenue, Pfannenstiel  telah berlaga dengan seorang pemain lawan dan mengalami kecederaan yang menyebabkan jantungnya terhenti seketika. Mujurlah pakar fisioterapi pasukan, Ray Killick mempunyai ilmu CPR dan kembali membawanya daripada alam kematian sebelum ambulans tiba.

Sebaik kembali sedar di hospital, soalan pertama Pfannenstiel ialah,”kenapa aku kena tukar?” merujuk kepada perlawanan tersebut.

Pfannenstiel meneruskan karier nomadnya ke Norway untuk bersama Baerum SK, sebelum terbang ke benua Amerika untuk beraksi bersama kelab Kanada, Calgary Mustangs. Pada tahun 2004 dia menyertai kelab New Zealand, Otago United sehingga 2006 sebelum singgah ke Albania untuk menyertai Vllaznia Shkoder.

Kini Pfannenstiel bertugas di Hoffenheim

Pengalaman yang tidak dapat dilupakan Pfannenstiel di Albania ialah apabila dia berunding kontrak bersama pemilik kelab, dengan pistol diletakkan di atas meja.

Kariernya diteruskan ke Bentoit Ijevan, Armenia pada tahun 2007, sebelum kembali ke kelab Norway, Baerum SK, juga pada tahun 2007. Pada tahun yang sama juga, Pfannenstiel sekali lagi terbang merentasi lautan untuk bermain bersama Vancouver Whitecaps, sebelum turun ke selatan pada tahun berikutnya untuk menyertai kelab Brazil, Hermann Aichinger pada tahun 2008.

Sebaik sah menyertai kelab Brazil, Pfannenstiel secara rasminya telah bermain di enam benua di dunia – Eropah, Asia, Afrika Oceania, Amerika Utara dan Amerika Selatan, dan dia adalah satu-satunya pemain yang mampu berbuat demikian!

Pfannenstiel menamatkan keriernya sebagai pemain di kelab Ramblers FC, Namibia di mana dia bermain selama dua musim, 2009 sehingga 2011, bermain sebanyak 45 perlawanan.

Kini dia berusia 43 tahun dan bekerja sebagai Ketua Jabatan Bahagian Hubungan Antarabangsa dan Scout di kelab yang semakin meningkat naik, TSG Hoffenheim. Sekali sekala dia akan tampil sebagai pengulas bola sepak di televisyen Jerman.

Pada tahun 2014, ketika ditanya wartawan The Independent adakah dia menyesal tidak menerima lamaran Bayern Munich suatu ketika dahulu, dia sekadar menjawab tidak.

Kadang-kala dia menjadi pengulas bola sepak

“Aku bertuah, kalau aku terima kontrak Bayern tu, aku tahu hidup aku nanti macam mana. Semua yang berlaku ni sudah ditakdirkan.

“Aku mungkin boleh bermain untuk Bayern Munich, jadi pilihan kedua di belakang Oliver Kahn. Lima enam tahun kemudian aku dah ada duit.

“Lepas tu aku aku akan ke kelab lain, mungkin kelab divisyen dua di Jerman. Aku mungkin tamatkan karier aku di liga divisyen tiga, aku akan dapat isteri orang Jerman, rumah gaya jerman dan bekerja sebagai jurulatih penjaga gol atau ketua jurulatih di mana-mana.

“Adakah aku nak tukar pengalaman aku mengelilingi dunia dengan semua tu? Tak nak. Sumpah tak nak,” ulas Pfannenstiel panjang lebar yang mengahwini seorang wanita Pakistan.

Kisah hidupnya yang sentiasa berkelana mungkin tidak menaikkan namanya setaraf Oliver Kahn, Peter Schmeichel atau Bodo Ilgner. Tapi namanya terpahat sebagai pemain yang bermain di enam benua dan yang paling penting, pengalaman yang diperolehnya tidak dapat dibeli dan tiada di tepian pantai!

Semoga kisah Pfannenstiel ini menjadi inspirasi kepada pemain muda di Malaysia supaya keluar dari kepompong bola sepak Malaysia dan berhijrah ke luar negara.

Jangan berhijrah dua bulan lepas tu balik dah la.

Rujukan :

1- Wikipedia

2- The Independent

Baca Juga

Baca Juga