Maguire Beri Amaran Dan Ancam Tinggalkan Man Utd Selepas Prestasi Cemerlang Menentang Brentford

Harry Maguire melalui kenyataan terbarunya mengancam untuk meninggalkan Manchester United pada Januari hadapan sekiranya peranannya bersama pasukan itu di bawah kendalian Erik ten Hag terus dipandang sebelah mata oleh pengurus dari Belanda itu.

Maguire dilucutkan peranannya sebagai kapten pasukan pada musim panas lalu, berada di dalam kesebelasan utama United pada hujung minggu lalu menentang Brentford selepas krisis kecederaan di kelab itu memaksa enam pemain pertahanan sedia ada untuk berehat.

Dalam perlawanan tersebut Maguire beraksi cemerlang untuk mendiamkan pengkritiknya dan turut menghasilkan satu assist untuk gol kemenangan United yang dijaringkan oleh Scott McTominay pada detik akhir perlawanan.

Walaupun demikian pemain pertahanan berusia 30 tahun itu berpotensi untuk kembali memanaskan bangku pemain simpanan apabila pemain seperti Raphael Varane dan Lisandro Martinez kembali cergas.

Situasi itu pasti menyukarkan Maguire yang mengintai tempat di dalam skuad England kendalian Gareth Southgate untuk Kejohanan Euro 2024 di Jerman pada musim panas akan datang.

“Saya tidak akan terus duduk di sini sepanjang hidup saya dan beraksi sebulan sekali. Jika ia berterusan saya dan pihak kelab pasti akan duduk berbincang untuk perkara selanjutnya,” kata Maguire yang kini bersama skuad England untuk dua perlawanan antarabangsa menentang Australia dan Itali bermula hujung minggu ini.

“Ia bukan keputusan daripada saya untuk bermain sebagai pemain kesebelasan utama United di perlawanan seterusnya. Selepas beberapa minggu saya akan kembali [ke Old Trafford] dan akan membuat kepastian.

“Saya sentiasa yakin dengan kemampuan diri dan ia sememangnya sukar setakat ini. Saya mahu bermain banyak perlawanan dan merasakan diri diperlukan oleh pasukan.

“Pada masa ini saya belum beraksi sekerap yang saya mahukan. Itulah perkara terutama yang perlu diambil kira.”

Maguire sebenarnya hampir sahaja berhijrah ke West Ham pada musim panas lalu namun turut berkata sanggup kekal bersama United sekiranya Ten Hag memberikan peluang dan minit perlawanan yang diperlukan.

“Saya hanya perlu pastikan diri sentiasa bersedia untuk menggunakan peluang apabila ia datang,” tambah Maguire.

“Rekod saya di bawah kendalian pengurus [Ten Hag] ini cukup untuk berbicara [mengenai kemampuan saya]. Peratusan kemenangan setiap kali saya bermain adalah tinggi.

“Pada masa ini saya mahu fokus kepada dua perlawanan bersama England dan kemudian saya akan berjuang dan cuba memenangi kembali tempat saya bersama Manchester United, dan membantu pasukan untuk kembali memperbaiki kedudukan liga.

Karier dan masa depan Maguire sentiasa samar sejak ketibaan Ten Hag di Old Trafford pada 2022.

Pemain pertahanan berusia 30 tahun itu hanya melakukan lapan permulaan liga, dan hanya beraksi pada dua minit terakhir di ketika pasukan itu menjulang Piala Carabao pada musim lalu.

Sering kali menjadi mangsa cemuhan penyokong sendiri dan lawan, Maguire bagaimanapun dipuji kerana kekentalannya menangani isu tersebut.

Ia sebenarnya agak janggal melihat Maguire mengetuai posisi pertahanan United dari permulaan pada hujung minggu lalu selepas kecederaan yang menimpa Varane, Lisandro Martinez, Aaron Wan-Bissaka, Tyrell Malacia, Luke Shaw dan Sergio Reguilon.

Ten Hag turut terpaksa menggunakan khidmat Victor Lindelof di posisi bek kiri pada msa ini.

Walaupun demikian Varane dan Reguilon dijangka akan kembali ke dalam skuad utama United untuk perlawanan seterusnya menentang Sheffield United.

Dan sekali lagi Maguire akan berhadapan dengan situasi yang dilaluinya sebelum perlawanan menentang Brentford.

BACA:  Ole Gunnar Solskjaer Secara Rasminya Sah Dipecat Manchester United