Maguire Beri Bayangan Tinggalkan Leicester Sekiranya Manchester United Datang Memanggil

Pemain pertahanan England, Harry Maguire membuka pintu untuk menyertai Manchester United pada masa hadapan sambil berkata sukar untuknya menolak pelawaan dari kelab besar jika Leicester menerima tawaran yang kukuh.

Maguire yang menolak pelawaan Jose Mourinho untuk berpindah ke Old Trafford musim panas lalu berkata beliau mempunyai cita-cita untuk bermain dengan kelab yang beraksi di Liga Juara-Juara Eropah.

Jika terdapat tawaran untuk mendapatkan khidmatnya pada masa terdekat, Maguire mengakui beliau mungkin tidak akan menolaknya terutamanya jika tawaran itu dari kelab yang beraksi di Liga Juara-Juara Eropah.

Maguire akan menilai tawaran yang tiba untuknya pada masa hadapan

Maguire merupakan antara pemain England yang menyerlah ketika beraksi dalam Piala Dunia 2018 yang lalu dimana beliau berjaya menjaringkan satu gol dan memainkan peranan penting membawa England mara sehingga ke peringkat separuh akhir.

Bekas pemain Hull City dianggap antara pemain pertahanan berkelas tinggi di Liga Perdana Inggeris ketika ini dan setakat ini telah mempamerkan prestasi yang baik bersama Leicester selepas mengharungi 8 perlawanan.

Pada jendela perpindahan musim panas lalu, Mourinho meletakkan Maguire sebagai pilihan utama untuk memperkuatkan bahagian pertahanan United namun Red Devils tidak sanggup membayar jumlah yang diminta Leicester iaitu £75 juta.

Maguire terus kekal di King Power Stadium dan baru sahaja menandatangani kontrak selama 5 tahun. Namun demikian, Maguire tidak menolak kemungkinan untuk berpindah dalam masa terdekat kerana beliau memasang impian untuk bermain di Liga Juara-Juara Eropah pada masa hadapan.

Maguire berpindah ke Leicester pada tahun 2017 dan cepat menyesuaikan diri sehingga mendapat panggilan antarabangsa England

“Ya, amat sukar untuk saya menolak tawaran dari kelab besar pada masa hadapan. Saya seorang pemain yang bercita-cita tinggi. Jika anda tidak bercita-cita tinggi, anda berada dalam sukan yang salah.”

“Setiap pemain mahu beraksi di peringkat tertinggi dan beraksi dalam kejohanan terbesar di dunia. Dan salah satunya adalah Liga Juara-Juara Eropah.”

Walaupun sering dikaitkan dengan beberapa kelab ternama, Maguire berkata beliau terhutang budi dengan Leicester kerana membentuk beliau menjadi pemain utama dalam skuad kebangsaan England.

“Saya mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap Leicester tahun ini. Saya akan lihat sejauh mana saya mampu membawa kelab ini ke hadapan.”

Maguire kecewa gagal membawa England ke final namun gembira dengan pencapaian keseluruhan England di Russia

“Platform yang disediakan Leicester sehingga saya dipilih untuk ke Russia dan beraksi di Piala Dunia merupakan perkara yang saya tidak akan lupakan. Jadi sekarang adalah masa yang sesuai untuk saya membalas jasa mereka.”

“Impian saya adalah untuk bermain setiap minggu di Liga Perdana Inggeris dan dipilih bermain untuk England. Walau bagaimanapun, saya juga mahu memenangi trofi. Saya mahu memenangi trofi bersama England dan juga di peringkat kelab.”

BACA:  Hikmah Kewujudan Bruno Fernandes Di Manchester United