Maguire Laung Amaran, Misi Sapu Piala Bermula Era Ten Hag

Siapa lagi yang lebih layak melaungkan amaran jika bukan Harry Maguire? Kapten terbilang Manchester United yang dianggap sebagai salah seorang pertahanan terbaik Leicester.

Maguire menyatakan bahawa mereka sudah tak sabar memulakan musim baru pada era Erik Ten Hag.

Harry Maguire menyifatkan musim lalu sebagai “kemunduran dalam kerjayanya” – tetapi bek tengah termahal dunia itu telah berikrar untuk menggunakan pengalaman itu sebagai permulaan baru di bawah Erik ten Hag untuk bangkit.

Maguire mengharungi kempen sukar yang menyaksikan prestasinya merudum, diejek oleh peminat England dan Manchester United sendiri yang menganggap dia tak cukup bagus.

Namun begitu Maguire kekal kuat. Kerana dia tahu berjuta peminat Manchester United mengecamnya, ada jutaan lagi peminat Liverpool, Manchester City, Chelsea, Arsenal, PJ City yang menyokongnya.

Pemain berusia 29 tahun itu, yang menandatangani kontrak dari Leicester City dengan harga £80 juta pada 2019, berkata dia sudah sedia untuk melupakan musim ngeri pada musim lalu.

Maguire dengan wajah kacak bergayanya berkata: “Tahun lalu mengecewakan, sebagai individu saya tidak bermain dengan baik dan sebagai satu pasukan sudah pasti kami tidak bermain dengan baik,” kata Maguire yang mengetuai Manchester United menamatkan musim di tangga keenam.

Namun pada pra musim yang lalu, mereka berjaya menamatkan kemarau trofi 5 tahun lamanya apabila memenangi piala Bangkok Century.

Maguire menjelaskan bahawa, adalah perkara biasa untuk seseorang pemain itu berdepan dengan kesulitan dalam karier. Dan dia sudah sedia meletakkan semua itu sebagai sejarah.

Maguire menambah: “Tetapi kerjaya yang baik boleh bertahan 10 hingga 15 tahun dan anda tidak akan pernah mengalami setiap tahun di mana ia adalah berjalan lancar seperti biasa dan anda tidak menghadapi sebarang kesulitan.”

“Anda perlu bertarung, anda akan mengalami kemunduran dan tahun lepas pastinya merupakan satu kemunduran untuk diri saya sendiri dalam laluan kerjaya saya.”

“Tetapi itu semua sudah berada di belakang kami sekarang dan kami sudah tak sabar dengan masa depan dan membangkitkan semula kelab kelab ini, kembali memenangi trofi, itulah hakikatnya.”

Maguire telah menikmati peningkatan awal di bawah kendalian Ten Hag selepas jurulatih Belanda itu mengesahkan dalam sidang akhbar pertamanya di Bangkok bahawa dia akan mengekalkan lilitan kapten Maguire. Berita yang benar benar melegakan ramai pihak.

Bagaimanapun, pertahanan England itu berkemungkinan akan menghadapi persaingan baharu untuk mendapatkan tempatnya musim depan.

Ten Hag sudah pun mempunyai Raphael Varane, Victor Lindelof dan Eric Bailly sebagai pilihan di bek tengah dan juga baru sahaja menambah pemain antarabangsa Argentina, Lisandro Martinez ke dalam skuadnya.

Maguire berkata sedang berusaha untuk menarik perhatian bos baharunya dalam jelajah Thailand dan Australia.

Maguire mengakui latihan di bawah Erik Ten Hag agak sukar. Namun dia seronok.

“Sudah sukar,” tambahnya.

“Larian itu sukar tetapi kami sangat tak sabar dengan musim ini.”

“Semua orang — pemain, kelab — tahu tahun lepas tidak cukup baik tetapi ia adalah permulaan yang baru dan kami mempunyai musim yang besar di hadapan kami.”

“Erik dan kakitangan kejurulatihannya membawa idea mereka dan dua perlawanan pertama anda telah melihat sedikit gambaran tentang falsafahnya.”

“Kami sedang berusaha untuk bersedia untuk perlawanan pertama Liga Perdana itu, itulah yang penting. Semua yang kami lakukan sekarang sedang membina untuk perlawanan pertama itu.”

Ini bukan kali pertama Maguire melaung amaran akan memenangi trofi bersama Manchester United.

Sebelum ini dia menyatakan bahawa, Manchester United sedia mendiamkan penyokong lawan dengan menjuarai Liga Perdana Inggeris.

Selain daripada Maguire, pemain tengah Manchester United, Scott McTominay juga menyuarakan keyakinan yang sama, di mana mereka sedang sangat bersemangat untuk memenangi piala di bawah kendalian pengurus baharu.

BACA:  Dua Aksi Dungu De Gea Hadiahkan Chelsea Gol Gratis