Man United Sedang Pantau Seorang Lagi Bekas Bintang Ajax Untuk Ditandatangani Pada Musim Panas Ini

Erik ten Hag pada ketika ini sedang dalam usahanya untuk mengubah Man United menjadi Ajax di England dengan beliau tak henti-henti memantau perkembangan bekas pemainnya dalam saingan Eredivisie.

Pengurus baru Man United itu pada ketika ini sedang memantau perkembangan bekas anak buahnya itu untuk di bawa ke Old Trafford dalam usahanya untuk menyelesaikan masalah di bahagian jentera serangan skuad.

Setakat hari ini, Manchester United sepertinya tidak menjalani jendela perpindahan musim panas ini dengan seperti apa yang diharapkan.

Kelab dari saingan Premier League itu walaupun sedang dalam usaha mereka untuk memperbaiki skuad, namun jendela perpindahan mereka agak sendu.

Para peminat bahkan membandingkan jumlah pemain yang Man Utd tandatangani lebih kurang dari pemain yang mampu skuad kebangsaan Ghana naturalisasikan pada musim panas ini.

Tyrell Malacia merupakan pemain pertama yang ditandatangani oleh Manchester United di bawah kendalian Erik ten Hag, sementara Christian Eriksen pula bakal menjadi pemain kedua yang akan ditandatangani pada musim panas ini.

Tyrell Malacia merupakan pemain yang ditandatangani dari seteru utama Ajax, Feyenoord, namun pemain lain yang di bawah pemantauan Ten Hag pada ketika ini merupakan pemain yang pernah ada dan masih ada kaitan dengan Ajax.

Christian Eriksen merupakan pemain yang pernah beraksi bersama Ajax dan Ten Hag kini turut sedang memburu beberapa bintang yang masih beraksi dan pernah beraksi bersama gergasi Belanda itu.

Pemain sasaran utama Man Utd, Frenkie de Jong merupakan bekas bintang Ajax yang kini sedang beraksi bersama Barcelona dalam saingan La Liga.

Selain Man Utd, Chelsea juga pada ketika ini sedang mengintai kesempatan untuk mendapatkan khidmat pemain midfield Belanda itu.

Ten Hag juga pada ketika ini sedang mengintai kesempatan untuk menandatangani Anthony, Jurrien Timber dan Lisandro Martinez yang sedang beraksi bersama Ajax.

Terbaru, Ten Hag turut sedang memantau perkembangan karier pemain penyerang RB Leipzig, Brian Brobbey yang juga merupakan bekas anak buah pengurus dari Belanda itu.

Laporan sama mendedahkan yang Erik ten Hag sudah bercakap dengan pemain berusia 20 tahun itu menerusi panggilan telefon, dengan Man Utd boleh mendapatkan khidmatnya dengan yuran perpindahan bernilai £12.8 juta.

Pemain penyerang Belanda itu pernah beraksi bersama Ajax ketika di peringkat remaja, namun beliau memilih untuk menyertai RB Leipzig pada Julai 2021.

Beliau pada ketika itu meninggalkan kelab sebagai pemain bebas ejen dan kini Ten Hag sepertinya mahu membawanya ke Old Trafford.

Perjalanan karier Brobbey tidak berjalan seperti yang diharapkan di Jerman, dengan beliau gagal untuk menjaringkan sebarang gol walau sudah beraksi sebanyak 14 perlawanan untuk gergasi Bundesliga itu.

Beliau kembali ke Ajax pada Januari lalu menerusi perjanjian sebagai pemain pinjaman, dan beejaya menjaringkan tujuh gol dari 13 perlawanan.

Jelas sekali Brobbey sendiri turut sangat berminat mahu beraksi di bawah kendalian Erik Ten Hag yang beliau rasakan mampu mendapatkan yang terbaik darinya.

Tidak ada perjanjian pembelian semula dalam kontrak beliau sebagai pemain pinjaman musim lalu, dan beliau kini sudah kembali ke Jerman untuk sertai skuad Leipzig.

Seandainya Man Utd berusaha mengejar beliau, ia sebenarnya bakal menjadi satu persaingan antara setan merah dan Ajax sendiri yang turut mahu mendapatkan khidmatnya.

Ajax pada ketika ini sedang berunding untuk mendapatkan semula khidmat Brobbey, namun tak mustahil untuk melihat Man Utd sailang rundingan tersebut dan membawa pemain penyerang itu ke Old Trafford.

Brobbey juga sebenarnya pernah mengucapkan selamat maju jaya kepada Ten Hag ketika awal beliau dilantik sebagai pengurus United.

Memandangkan Man Utd mungkin akan kehilangan Cristiano Ronaldo, maka kerana itulah mereka pada ketika ini sedang gigih mencari pemain penyerang untuk ditandatangani.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ralf Rangnick Dedah Senarai Wishlist Pemain Yang Mahu Beliau Tandatangani