Man Utd Bakal Lantik Legenda City Sebagai Pengurus Tetap Yang Baru

Bekas pengurus Manchester City, Roberto Mancini telah dikaitkan dengan bakal menjadi pengurus tetap Manchester United untuk menggantikan Ole Gunnar Solskjaer.

Mancini yang ketika ini merupakan pengurus skuad kebangsaan Itali itu dilaporkan akan mengambil alih Manchester United, selepas tamat tempoh Ralf Rangnick bertugas sebagai pengurus interim.

Manchester United pada ketika ini sedang dalam usaha mereka untuk mencari pengurus tetap yang baru, yang bakal mula bertugas pada musim panas akan datang.

Setan merah sebelum ini telah memecat pengurus kelab, Ole Gunnar Solskjaer, dengan mereka telah mengumumkan Ralf Rangnick sebagai pengurus interim sehingga akhir musim ini.

Rangnick dijangka akan mula bertugas pada minggu hadapan, dengan pengurus dari Jerman itu diberikan kontrak selama enam bulan sebagai pengurus interim.

Selepas tamat enam bulan tersebut, Ralf Rangnick akan mula bertugas sebagai penasihat kelab selama dua tahun, dengan beliau akan diberi kuasa untuk menentukan pemain serta pengurus baru yang mahu kelab tandatangani.

Manchester United dilaporkan sudah menyenaraikan beberapa nama untuk dilantik sebagai pengurus tetap seperti Brendan Rodgers, Mauricio Pochettino, Erik Ten Hag dan beberapa nama besar yang lain lagi.

Walau bagaimanapun, dengan tiba-tiba, Man Utd kini telah dikaitkan dengan bakal melantik bekas pengurus Manchester City, Roberto Mancini sebagai pengurus tetap yang baharu.

Roberto Mancini sebelum ini pernah mengendalikan Manchester City selama empat tahun bermula pada tahun 2009 sehingga 2013.

Pengurus kebangsaan Itali itu berjaya memenangi gelaran Premier League pada musim 2011/12, yang mana ia merupakan Piala pertama yang dimenangi oleh City di bawah pemilik baru pada ketika itu.

Ia juga turut kekal menjadi antara detik kemenangan paling sengit dalam sejarah, dengan City disahkan sebagai Juara liga beberapa detik sahaja sebelum berakhirnya musim tersebut.

Sergio Aguero menjaringkan gol kemenangan diminit akhir permainan, untuk merampas kejuaraan liga dari Manchester United yang ketika itu sudah bersedia untuk menjulang Piala liga.

Roberto Mancini turut cemerlang urus skuad kebangsaan Itali

Roberto Mancini turut pernah mengurus kelab seperti Galatasaray, Zenit St. Petersburg dan Inter Milan sebelum beliau dilantik sebagai pengurus skuad kebangsaan Itali.

Namun bukan semuanya berakhir dengan kejayaan seperti mana beliau lakukan ketika kariernya sebagai pengurus Manchester City.

Beliau walau bagaimanapun telah menunjukkan hasil yang sungguh luar biasa menakjubkan selepas mengendalikan skuad Itali sejak 2018 yang lalu.

Beliau mengambil alih skuad kebangsaan Itali selepas mereka gagal untuk layak ke Piala Dunia 2018 dan skuad Azzurri pada ketika itu juga sangat huru hara.

Mancini berjaya membina semula skuad kebangsaan Itali dengan menggunakan barisan pemain yang beliau percaya, dan turut melakukan beberapa perubahan berkait taktikal dan corak permainan.

Beliau turut mengubah sepenuhnya pendekatan yang kebiasaannya digunakan oleh skuad Itali dengan beliau mengamalkan corak permainan menyerang berbanding mengekalkan tradisi bertahan yang sering digunakan oleh skuad Itali.

Perubahan itu berjaya membuahkan hasil yang sungguh menakjubkan dengan beliau berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dan turut membantu Itali untuk menjuarai saingan Euro 2020.

Adakah Mancini sesuai untuk Manchester United?

Manchester United tidak ada identiti tersendiri mereka pada ketika ini, dan hal itu jelas sekali akan berubah kerana pihak kelab sudah melantik Ralf Rangnick sebagai pengurus interim.

Pengurus dari Jerman itu dikenali sebagai seorang pakar dari segi taktikal, dan mempunyai falsafah bola sepak tersendiri yang akan beliau bawa ke kelab.

Membawa masuk Mancini yang mempunyai pendekatan berbeza mungkin akan cetuskan sedikit masalah antara kedua-dua mereka dari segi taktikal.

Tambahan pula rekod beliau sebagai pengurus Man City dan pernah merampas gelaran Premier League dari Man Utd mungkin akan menyukarkan untuk beliau diterima oleh peminat.

Walau bagaimanapun, tiada yang mustahil untuk berlaku seandainya pihak kelab bersetuju untuk melantik Roberto Mancini, dan membenarkan beliau bekerjasama dengan Ralf Rangnick.

Mungkin gabungan taktikal kedua-dua mereka bakal menghasilkan satu falsafah baru yang lebih menakjubkan, dan tidak mengejutkan untuk melihat United kembali menjadi pasukan paling digeruni lawan andai gabungan mereka menjadi.

Sumber: Sportskeeda

BACA:  Ralf Rangnick Secara Terbuka Menyatakan Apa Yang Dia Tidak Suka Tentang Tindakan Bahaya Fred dan McTominay