Man Utd Goyang Memikirkan ‘Badi’ Ronaldo Bertemu Chelsea

Cristiano Ronaldo sememangnya terkenal dengan kemampuan beliau untuk menjaringkan gol dan beliau juga dianggap antara penjaring terhebat dalam sejarah dunia bola sepak.

Mana-mana padang, liga, negara atau kelab, Cristiano Ronaldo tetap tenang untuk menunjukkan kemampuan beliau dalam menjaringkan gol dan mempamerkan aksi persembahan yang menakjubkan.

Walau bagaimanapun, itu tidak bermaksud yang beliau sentiasa sempurna dan tiada rekod buruk ketika beraksi bertemu mana-mana pasukan.

Bintang berusia 36 tahun itu sebenarnya memiliki rekod yang tidak begitu baik ketika bertemu Chelsea sepanjang kariernya.

Beliau mengharungi karier yang sungguh luar biasa menakjubkan sebelum kembali semula ke Old Trafford selepas 12 tahun meninggalkan kelab.

Dari 14 penampilan dalam semua pertandingan pada musim ini, Cristiano Ronaldo berjaya menjaringkan 10 gol, dengan enam darinya merupakan gol penting yang membantu United mara ke pusingan kalah mati dalam saingan Champions League.

Ia merupakan pencapaian yang agak membanggakan untuk setan merah dalam saingan Champions League, walaupun mereka gagal pamer aksi yang sama dalam saingan premier league.

Minggu ini, skuad setan merah akan turun beraksi dalam saingan liga bertemu pendahulu carta saingan Premier League, Chelsea.

Skuad kendalian Thomas Tuchel itu hanya mencatatkan empat bolos sahaja dari 12 perlawanan mereka sepanjang musim ini, dan ia merupakan satu hal yang dirisaukan oleh kem United.

Lebih parah lagi untuk Ronaldo sendiri, beliau sepanjang kariernya memiliki rekod yang tidak begitu baik ketika bertemu Chelsea.

Ketua pasukan kebangsaan Portugal itu telah 15 kali bertemu Chelsea sepanjang kariernya, dengan beliau berjaya mencatatkan lima kemenangan, enam kekalahan dan empat keputusan seri sepanjang tempoh tersebut.

Apa yang lebih mengejutkan, beliau hanya pernah menjaringkan satu gol sahaja ketika bertemu Chelsea yang mana gol itu dijaringkan ketika aksi perlawanan akhir Champions League pada tahun 2008 yang lalu.

Setan merah berjaya memenangi gelaran Champions League pada ketika itu, namun Ronaldo gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam perlawanan yang dilangsungkan di Luzhniki Stadium itu.

Beliau juga langsung tidak pernah menjaringkan gol ketika bertemu Chelsea dalam saingan Premier League dan The Blues juga merupakan satu-satunya pasukan yang kerap beliau jumpa tapi gagal untuk jaringkan gol.

Ronaldo walau bagaimanapun berjaya mencatatkan dua assists ketika bertemu Chelsea, dengan satu beliau lakukan pada musim 2005/06 dan satu lagi pada musim 2008/09.

Melihat kepada statistik dan rekod tersebut, kem United mula bimbang badi Ronaldo bertemu Chelsea akan berlanjutan sehingga sekarang.

Dengan rekod cemerlang Chelsea pada ketika ini, dan ditambah pula dengan aksi tidak menentu serta persembahan buruk United, ia jelas satu hal yang perlu dirisaukan oleh kem United.

Ronaldo sangat diharapkan untuk menjaringkan gol, seterusnya menghilangkan badi beliau bertemu gergasi dari London itu pada minggu ini.

Rekod Chelsea bertemu United sejak kebelakangan ini juga tidak begitu baik, dengan mereka gagal mencatatkan sebarang kemenangan bertemu mereka dari tujuh perlawanan terakhir.

Dari empat pertemuan terakhir mereka di Stamford Bridge, United berjaya memenangi tiga perlawanan, dengan satu keputusan seri.

Melihat Chelsea kini sedang dalam rentak persembahan terbaik mereka, Michael Carrick jelas sekali perlu melakukan sesuatu untuk menewaskan mereka.

United pada minggu ini akan dikendalikan oleh pengurus sementara mereka, Michael Carrick dengan Ralf Rangnick yang dikatakan bakal jadi pengurus interim kelab masih sedang menguruskan permit kerjanya.

Paling awal untuk Rangnick mula bertugas adalah ketika aksi bertemu Arsenal di Old Trafford nanti.

Sumber: talkSPORT

BACA:  Premier League 2019/20: Liverpool 5-3 Chelsea