Man Utd Menang Lawan Palace, Kenapa #ArtetaOut Yang Trending?

Manchester United telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan ketika bertemu Crystal Palace malam semalam.

Walau mereka hanya mampu mencatatkan kemenangan 1-0 sahaja hasil jaringan Lord Fred, namun harus diakui corak permainan yang dipamerkan oleh para pemain setan merah sungguh berbeza.

Dari awal sepak mula mereka sudah mula bermain dengan corak permainan heavy metal football dan United mampu kekalkan tahap persembahan yang sama sehingga wisel penamat dibunyikan.

Walau mereka ada kendurkan seketika aksi pada hujung-hujung aksi babak pertama namun harus diakui yang sepanjang perlawanan pemain United tidak henti-henti melakukan pressing.

Aksi yang sungguh menakjubkan dan pujian harus diberikan kepada Ralf Rangnick kerana berjaya mengubah corak permainan Man Utd dalam tempoh yang singkat sahaja.

Tidak nampak yang mereka ada masalah di posisi defensive midfielder, aksi Man Utd sempurna dan para pemain turut dilihat memberikan segalanya dalam perlawanan ini.

Fred, Harry Maguire, Victor Lindelof, Cristiano Ronaldo, Dalot dilihat bermain-main seolah-olah mereka sedang berada di waktu kemuncak masing-masing.

Andai ini yang dipamerkan oleh skuad Man Utd, tidak akan mengejutkan andai mereka kembali bersaing untuk mencabar kejuaraan liga dan turut pergi lebih jauh dalam saingan Champions League.

Satu minggu sudah menunjukkan peningkatan yang sangat mendadak, dalam tempoh sesingkat itu para pemain setan merah beraksi seolah-olah mereka sudah bertahun-tahun mengamalkan sistem yang sama.

Melihat perubahan ketara mereka dalam tempoh yang singkat, ada satu kelab lain dalam saingan Premier League ketika ini sedang bergaduh sesama sendiri.

Para penyokong Arsenal mula berperang antara kem #TrustTheProcess dan kem #ArtetaOut

Man Utd menang kenapa #ArtetaOut trending?

Selepas aksi menakjubkan yang dipamerkan oleh para pemain Manchester United, para penyokong Arsenal mula meluahkan rasa menyesal mereka kerana tak lantik Ralf Rangnick dari awal.

Mereka terkesima melihat bagaimana pengurus veteran itu mampu mengubah United hanya dalam satu minggu sahaja.

Apa sudah jadi? Arsenal tak main, Crystal Palace yang kalah, mengapa Arteta yang jadi mangsa?

Tak pasti apa yang dimaksudkan oleh penyokong Arsenal tentang pihak kelab melepaskan peluang untuk melantik Ralf Rangnick sebagai pengurus, kerana pengurus dari Jerman itu sepertinya tak pernah dikaitkan secara rasmi dengan Gunners.

Para penyokong mungkin rasa mereka perlu ada pemimpin yang baru selepas melihat Liverpool berjaya dikendalikan oleh Jurgen Klopp dan Chelsea turut menikmati kejayaan selepas dikendalikan oleh Thomas Tuchel.

Sebelum ini, Spurs yang sedikit huru hara kini juga semakin berkembang selepas berada di bawah kendalian Antonio Conte dan terbaru, United juga telah menunjukkan peningkatan mendadak selepas Ralf Rangnick mengambil alih kelab.

Oleh yang demikian, para penyokong turut berharap agar pimpinan Arsenal mencari pengurus berprofil tinggi untuk mengendalikan kelab, dan memimpin Gunners kembali berada di kelompok empat teratas.

Pada awal musim lalu, ketika Arsenal menjadi lubuk tiga mata, para penyokong sememangnya tidak henti-henti berharap agar Arteta dipecat.

Namun selepas Arteta memimpin Arsenal untuk mencatatkan kemenangan demi kemenangan, mereka seolah-olah sudah lupa kelab masih dikendalikan oleh individu yang sama.

Mereka bersemangat dan menganggap Gunners sudah kembali menjadi pasukan terkuat di muka bumi, mereka bahkan tidak sabar untuk bertemu pasukan gergasi lain, dan membuktikan kemampuan sebenar mereka.

Namun selepas dibedal 4-0 oleh Liverpool, mereka mula sedar yang Arsenal belum mampu menandingi pasukan big six dan hanya boleh sembang kemas dengan pasukan bawahan.

Kekalahan 3-2 bertemu United seolah-olah satu tamparan hebat untuk kem Arsenal, dengan para penyokong kecewa mereka kalah bertemu pasukan yang tiada pengurus, dan sedang tidak berada di tahap prestasi terbaik.

Kini melihat United sudah mula mendapatkan rentak kemenangan, mereka sudah hilang sabar, dan menuntut pihak kelab agar melakukan sesuatu.

Para penyokong Arsenal mahu Arteta dihumban keluar dan menggesa pihak kelab melantik pengurus berkelas dunia yang baru.

Belum main dah trending, bayangkan kalau Everton berjaya tewaskan Arsenal awal pagi esok?

BACA:ย  Europa League Semi Final 2020/21: Manchester United 6-2 Roma