Man Utd Perlu Bayar £56k Kepada Ajax Setiap Kali Martinez Dimainkan

Manchester United bakal membayar £56,000 kepada Ajax sebagai bonus setiap kali Lisandro Martinez membuat penampilan untuk kelab.

Setiap satu penampilan Lisandro bersama Man United, pihak skuad setan merah itu perlu membayar £56,000 kepada Ajax dan ia akan berterusan sehingga tamat kontrak bintang Argentina itu di Old Trafford.

Lisandro Martinez ketika ini sedang bersama rakan sepasukannya yang baru untuk menjalani aksi pra musim bersama Man United.

Selepas hampir sebulan beliau dikaitkan dengan bakal menyertai Manchester United, Lisandro Martinez pada dua minggu lalu akhirnya diumumkan secara rasmi sebagai penandatanganan terbaru kelab.

United membeli pemain centre back berusia 24 tahun itu dengan yuran perpindahan bernilai £47.5 juta dan ditambah bonus bernilai £8.5 juta.

Walau bagaimanapun, laporan terbaru telah mendedahkan yang United mungkin akan perlu mengeluarkan dana tambahan bernilai £1.7 juta sepanjang lima tahun kontrak beliau bersama Manchester United.

Menurut sumber laporan dari media Belanda, De Telegraaf, bekas kelab Martine akan menerima £56,000 untuk setiap aksi beliau bersama Manchester United.

Manchester United perlu membayar nilai tersebut untuk setiap penampilan Martinez (maksimum 30 perlawanan semusim).

Klausa tersebut walau bagaimanapun tidak menetapkan penampilan seperti mana yang Ajax maksudkan, maka dengan itu, United perlu membayar nilai tersebut kepada gergasi Belanda itu tidak kira Martinez dimasukkan sebagai pemain utama atau pemain gantian.

Ia juga bermaksud Man Utd akan tetap perlu membayar nilai tersebut walau Martinez hanya beraksi satu minit sahaja dalam mana-mana perlawanan kompetetif.

Musim lalu, skuad setan merah itu bermain 49 perlawanan, sementara Martinez sendiri pada musim lalu membuat 37 penampilan bersama Ajax dalam semua pertandingan.

Beliau turut membuat 24 penampilan bersama kelab dalam saingan Eredivisie dan lapan penampilan dalam aksi saingan Champions League.

Selepas menandatangani kontrak bernilai £120,000 seminggu di Old Trafford, pemain kebangsaan Argentina itu menyatakan yang Man United sememangnya destinasi pilihan utama beliau, dengan Arsenal turut dikaitkan dengan pemain pertahanan itu.

Ketika ditanya mengapa beliau memilih untuk menyertai Manchester United, Martinez kemudiannya mendedahkan bahawa:

“Jadi, Manchester United saya rasa merupakan antara kelab terhebat di dunia ini. Semua pemain mahu bermain di sini.”

“Kesempatan itu sudah ada, jadi saya ambil dan sekarang saya sangat gembira untuk berada di sini.”

Beliau turut bercakap tentang Erik ten Hag, pengurus yang sudah menguruskan beliau selama beberapa tahun di Amsterdam.

“Sangat menarik, itu sudah tentu. Permainan bola sepak yang menarik. Mentaliti juara, kamu tahu, itulah hal yang paling penting sekali.”

Tambah Martinez lagi.

“Setiap pemain perlu faham tentang segalanya. Saya rasa dia sangat jelas dan saya juga rasa dengan dia setiap hari kamu akan belajar sesuatu yang baru dan dalam perlawanan kamu boleh faham sepenuhnya dari segi taktik dan segalanya.”

Para penyokong sepertinya tidak begitu gembira mendengar yang pihak kelab perlu membayar nilai tersebut kepada Ajax dan ia sepertinya lebih mahal dari gaji pemain mereka.

Seandainya Martinez bermain dua perlawanan dalam tempoh seminggu, maka United perlu membayar lebih dari £100 ribu kepada Ajax hanya kerana klausa tersebut.

Kerana itulah para penyokong merasakan agak dungu untuk pihak kelab bersetuju dengan syarat tersebut sedangkan Martinez mungkin hanya di bawa masuk sebagai pemain back up sahaja.

Lebih teruk lagi, hal itu akan terus berlanjutan sehingga kontrak Martinez tamat nanti dan Ajax boleh memanfaatkan dana tersebut untuk membayar gaji dua pemain dari skuad utama mereka.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Manchester United Umum Perubahan Di Stretford End