Man Utd Pilih Bintang PSG Sebagai Calon Pengganti Martial Dan Cavani

Manchester United sedang mempertimbangkan untuk menandatangani pemain penyerang Paris Saint Germain, Mauro Icardi seandainya kedua-dua Edinson Cavani dan Anthony Martial mahu meninggalkan kelab.

Martial pada ketika ini sedang dalam usaha beliau untuk meninggalkan kelab pada jendela perpindahan Januari ini, dengan Sevilla kini sedang berunding dengan setan merah untuk mendapatkan khidmat bintang Perancis itu.

Cavani sementara itu berkemungkinan akan kekal di Old Trafford pada jendela perpindahan Januari ini, namun beliau sudah hampir pasti akan meninggalkan kelab pada musim panas nanti.

Selain kerana kontraknya yang akan tamat, Cavani dilaporkan akan tetap pergi meninggalkan kelab pada musim panas nanti kerana beliau merupakan salah seorang daripada 17 pemain yang sedang tidak gembira di Old Trafford pada ketika ini.

Menurut sumber laporan dari media Perancis, L’Equipe, Icardi sedang dipertimbangkan sebagai calon pengganti kepada Martial dan Cavani seandainya kedua-dua pemain penyerang itu meninggalkan kelab.

Icardi berjaya menjaringkan 38 gol dari 82 penampilan bersama Paris Saint Germain sejak dari awal beliau ditandatangani sebagai pemain pinjaman dari Inter Milan pada tahun 2019 yang lalu.

Gembira dengan persembahan yang ditunjukkan oleh Icardi, Paris Saint Germain kemudiannya menandatangani beliau secara tetap setahun selepas itu.

Pemain kebangsaan Argentina yang kini berusia 28 tahun itu bergelut untuk mendapatkan minit permainan pada musim ini.

Walau bagaimanapun, beliau tetap cemerlang menjaringkan lima gol dari 20 penampilan beliau bersama kelab sepanjang musim ini.

United pada ketika ini masih belum menghubungi PSG tentang pemain penyerang itu, namun mereka dilaporkan akan bersedia untuk memulakan rundingan seandainya Martial dan Cavani meninggalkan kelab.

Menurut laporan sama, Juventus juga turut sama dikaitkan dengan berminat untuk mendapatkan khidmat Icardi dalam masa terdekat ini.

Gergasi Itali itu sangat berminat untuk mendapatkan Icardi sebagai pemain pinjaman, dan mahu melengkapkan perpindahannya secara tetap pada penghujung musim ini dengan tawaran bernilai £30 juta.

Icardi sementara itu baru-baru ini telah mencetuskan sensasi internet selepas hubungan rumah tangga beliau dengan Wanda Nara berantakan.

Kedua-dua mereka sah bercerai pada tahun lalu kerana Wanda Nara menuduh Icardi menipu dan mempunyai hubungan sulit dengan pelakon dan model Argentina, China Suarez.

Walau bagaimanapun, kedua-dua mereka akhirnya berdamai dengan Icardi telah menyerahkan segala yang beliau ada termasuk kontraknya pada ketika ini dan di masa hadapan berserta harta benda kepada Wanda Nara sehingga 2050 nanti dalam usahanya untuk menyelamatkan rumahtangga mereka.

Walau bagaimanapun juga, selain begitu banyak berita yang mendakwa United akan menandatangani pemain pada jendela perpindahan Januari ini, pengurus interim kelab, Ralf Rangnick tampil menolak semua dakwaan tersebut.

“Skuad yang ada sekarang sudah cukup besar, dengan begitu banyak persaingan yang ada dalam skuad.”

Jelas beliau kepada Sky Sports awal bulan ini.

“Untuk bercakap tentang calon pemain yang akan ditandatangani adalah satu hal yang tak masuk akal pada ketika ini, kerana kita perlu mencari jalan pemain mana dan di posisi mana serta cara penyelesaian terbaik untuk setiap perlawanan.”

“Ketika ini bagi saya, ia langsung tak masuk akal untuk membincangkan tentang pemain yang mahu ditandatangani. Tumpuan saya adalah sepenuhnya untuk skuad sedia ada dan untuk mencari kesebelasan serta formasi terbaik dalam setiap perlawanan.”

Ralf Rangnick selain perlu memikirkan kesebelasan terbaik dan formasi paling sesuai yang mahu beliau gunakan, beliau juga kini perlu memikirkan bagaimana caranya untuk beliau mengharmonikan semula bilik persalinan United.

Bilik persalinan Man Utd kini sudah tidak harmoni lagi, dengan 17 pemain yang tak gembira di Old Trafford itu membuktikan keadaan mereka pada ketika ini sangat teruk.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Inter Milan Bercadang Tukar Icardi Dengan Dybala