Manchester City Bakal Menggandakan Gaji Bernardo Silva

Manchester City dilaporkan sudah bersedia untuk menggandakan gaji Bernardo Silva, seterusnya menjadikan beliau sebagai antara penerima gaji termahal dalam saingan Premier League.

Silva berjaya menjadi pemain Man City yang paling berprestasi pada ketika ini dengan beliau cemerlang meledak tujuh gol dari 22 penampilan dalam semua pertandingan.

Media UK mendakwa yang Man City kini sedang dalam usaha mereka untuk menggandakan gaji yang diterima oleh pemain midfield itu kepada £300,000 seminggu.

Seandainya Manchester City benar-benar menawarkan gaji tersebut kepada Bernardo Silva, maka bintang Portugal itu bakal menjadi antara penerima gaji tertinggi kelab dibelakang Kevin De Bruyne dan Raheem Sterling.

Silva sebenarnya sudah hampir untuk meninggalkan Manchester City pada jendela perpindahan musim panas lalu, terutama selepas ketibaan Jack Grealish dari Aston Villa.

Sebaik pihak kelab melengkapkan perpindahan mega bernilai £100 juta untuk membawa Grealish dari Villa Park ke Etihad, terdapat banyak khabar angin yang mengaitkan bahawa mereka mahu melepaskan Silva.

Walau bagaimanapun, pemain kebangsaan Portugal itu memilih untuk kekal di Etihad dan kini beliau telah membuktikan yang sangat berbaloi untuk kelab mempertahankannya.

Bernardo Silva berjaya menjadi pemain terpenting dalam sistem kendalian Pep Guardiola sepanjang musim ini, dan beliau boleh dianggap sebagai pemain yang akan sentiasa diturunkan dalam kesebelasan utama City.

Awal bulan lalu, pengurus Man City, Pep Guardiola turut memberikan pujian yang menggunung kepada Bernardo Silva selepas kejayaan beliau menjaringkan gol kemenangan bertemu Aston Villa.

“Dia merupakan pemain yang terbaik.”

Jelas Guardiola.

“Dia merupakan yang terbaik pada dua ke tiga musim yang lalu. Dia juga yang terbaik selepas itu. Dia ada kemampuan istimewa untuk melakukan apa yang dia mahu lakukan dengan bola.”

“Bertemu penjaga gol yang bagus, dia mampu lakukan penyudah yang hebat.”

“Kamu perlu pergi kembali kepada ketika kami memenangi liga dengan 98 mata, lihat video ketika itu, kamu akan lihat pemain yang sama sedang beraksi sekarang.”

Silva masih mempunyai baki kontrak selama empat tahun bersama kelab di Etihad, dengan beliau turut bermain selama 90 minit ketika aksi kemenangan 4-0 membelasah Newcastle hujung minggu baru-baru ini.

Kemenangan itu berjaya membantu Manchester City memimpin carta liga dengan kelebihan tiga mata mengatasi Liverpool yang sekadar mencatatkan keputusan seri bertemu Tottenham Hotspur awal pagi tadi.

Skuad kendalian Pep Guardiola akan menikmati Krismas pada tahun ini sebagai pendahulu saingan Premier League, dan tentunya mereka mahu kedudukan itu kekal sehingga akhir musim nanti.

Sementara Bernardo Silva pula, ramai yang percaya beliau bakal memenangi anugerah pemain terbaik tahunan Premier League selepas mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan sepanjang musim ini.

Walau bagaimanapun, selain Bernardo Silva, Mohamed Salah juga sedang berada di tahap persembahan terbaiknya pada ketika ini, dan beliau lebih berpotensi untuk memenangi anugerah tersebut.

Namun masih terlalu awal untuk memutuskan siapa paling layak untuk memenangi anugerah tersebut, cuma yang pasti, kedua-dua Salah dan Silva antara yang paling layak.

Seandainya kedua-dua mereka konsisten mempamerkan aksi persembahan seperti sekarang dan akan mampu membantu kelab masing-masing muncul sebagai Juara, maka jelaslah salah seorang dari mereka yang paling layak.

Dan agak mustahil untuk melihat akan ada pemain lain yang boleh menewaskan kedua-dua mereka, kerana Salah dan Silva seolah-olah berada di kelas yang tersendiri pada musim ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Premier League 2019/20: Manchester City 3-0 Arsenal