Manchester City Bangkit: Harapan Baru Selepas Menewaskan Newcastle

Manchester City membelasah Newcastle United 4-0, seolah-olah tempoh buruk mereka sebelum ini tidak pernah berlaku. Sebelum perlawanan ini, City hanya menang 8 daripada 24 perlawanan terakhirnya menyebabkan pasukan kehilangan keyakinan.

Pep Guardiola sendiri mengakui pasukannya sukar mengekalkan intensiti selama 90 minit penuh. Dalam sidang media sebelum perlawanan, beliau menyatakan kebimbangan terhadap kecederaan pemain utama dan bagaimana City kini lebih mudah kehilangan bola berbanding sebelum ini.

Namun, ketika menentang Newcastle kelemahan itu tidak kelihatan. City mengekalkan clean sheet, sesuatu yang jarang berlaku sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Guardiola menyebut Newcastle sebagai lawan sukar kerana kekuatan fizikal mereka tetapi kali ini City berjaya mengawal permainan dengan lebih baik.

Ketua jurulatih Newcastle, Eddie Howe mengakui pasukannya gagal dalam perebutan bola dan menyifatkan City masih pasukan terbaik dalam membina serangan. Namun, kenyataannya memberi gambaran bahawa City lebih lemah ketika tidak menguasai bola.

Pemain Baru Bersinar, Pemain Lama Bangkit

Untuk menang besar, City bukan sahaja perlu melihat Newcastle bergelut tetapi juga pemain mereka sendiri perlu meningkat prestasi. Itu lah yang berlaku.

Omar Marmoush mencuri tumpuan dengan hatrik pada separuh masa pertama. Pemain berusia 25 tahun ini memang direkrut untuk memberi impak segera dan akhirnya dia menunjukkan potensinya.

Nico Gonzalez juga memainkan peranan penting dalam kemenangan ini. Dalam debut Liga Perdana Inggerisnya, dia menang kebanyakan perebutan bola 50-50, sesuatu yang Guardiola anggap sangat penting. Malah, pengurus City itu membandingkannya dengan Rodri, walaupun dia masih jauh dari tahap pemain Sepanyol itu.

Abdukodir Khusanov, pertahanan berusia 20 tahun juga menunjukkan peningkatan berbanding debutnya yang kurang meyakinkan ketika menentang Chelsea pada Januari lepas. Guardiola memuji kelajuan dan tahap agresif pemain itu dalam bertahan, walaupun dia masih perlu belajar mengawal momentum dalam duel.

Pemain Berpengalaman Kembali Menyerlah

Selain pemain baru, beberapa pemain lama City yang mengalami keletihan mental dan fizikal juga menunjukkan peningkatan. Ilkay Gundogan dan Rico Lewis yang sebelum ini digunakan secara berlebihan pada penghujung 2024, kini lebih cergas dan memberi sumbangan besar dalam perlawanan ini.

Savinho juga memainkan peranan penting. Pemain sayap dari Brazil ini terkenal dengan prestasi yang tidak menentu tetapi pada hari itu, dia benar-benar menyerang pertahanan Newcastle terutama Lewis Hall, setiap kali mendapat peluang.

Cabaran Besar di Madrid

Walaupun kemenangan ini memberi harapan kepada City, cabaran sebenar menanti mereka di Bernabeu menentang Real Madrid dalam perlawanan kedua play-off Liga Juara-Juara. Kekalahan 3-2 di Manchester minggu lalu meletakkan mereka dalam keadaan sukar, bukan hanya kerana keputusan itu tetapi juga kerana prestasi mereka yang tidak konsisten sepanjang musim ini.

Guardiola sendiri tidak terlalu yakin. Dengan Ruben Dias dan Nathan Ake masih dalam keraguan untuk perlawanan itu, peluang City untuk bangkit kelihatan tipis. “Saya tidak tahu sama ada kami ada peluang 1% pun,” katanya. Tetapi dia menegaskan bahawa selagi masih ada peluang, mereka akan mencuba sedaya upaya.

Sekurang-kurangnya, kemenangan besar ke atas Newcastle memberi sedikit harapan kepada City sebelum perlawanan penting di Madrid.

BACA:  Man City Berdepan Dakwaan Lakukan 100 Penipuan FFP Dan Bakal Disingkir Dari EPL