Manchester City Belasah Chelsea 4-0 Tanpa Pemain Utama

Manchester City melayan kunjungan Chelsea di Stadium Etihad untuk pertemuan kedua mereka dalam tempoh kurang seminggu dan kali ini untuk saingan pusingan ketiga Piala FA.

Tanpa barisan pemain utama seperti Erling Braut Haaland, Kevin De Bruyne serta Ilkay Gundogan tiada masalah untuk Manchester City membelasah Chelsea dengan empat gol tanpa balas.

Riyad Mahrez yang merupakan penjaring gol tunggal di Stamford Bridge telah menjaringkan dua gol ketika Manchester City meraih kemenangan selesa melalui sepakan percuma dan penalti.

Tiga daripada gol dalam pertemuan berat sebelah di Stadium Etihad itu hadir dalam tempoh 15 minit pada lewat separuh masa pertama apabila Mahrez, Julian Alvarez – dari sepakan penalti – dan Phil Foden semuanya menemui sasaran.

Ia merupakan kemenangan kedua Manchester City ke atas pasukan dari London dalam tempoh empat hari dan menimbulkan kekecewaan bagi pengurus mereka, Graham Potter.

Selepas hanya mencatat satu kemenangan dalam tujuh dalam semua pertandingan, penyokong Chelsea mengejek pasukan mereka dan turut terdengar melaungkan nama bekas pemilik Roman Abramovich dan bekas pengurus, Thomas Tuchel.

Manchester City tidak mempunyai kebimbangan sebegitu dan terus mahu mengejar Arsenal di puncak Liga Perdana, kini boleh menjadi tuan rumah pada pusingan keempat jika The Gunners dapat mengalahkan Oxford pada hari Isnin.

Kedua-dua pasukan melakukan 13 pertukaran antara mereka daripada pasukan yang bermain antara satu sama lain pada hari Khamis tetapi tidak lama kemudian ternyata Manchester City merupakan pasukan yang lebih kuat dan dominan.

Peluang dan percubaan adalah sangat terhad di awal permainan kerana sejak awal lagi tempo yang perlahan dari kedua-dua tetapi City selesa mengawal.

Riyad Mahrez mula mengugat apabila menewaskan Lewis Hall di sebelah kanan tetapi Kepa Arrizabalaga pantas menyambar hantaran lintangnya untuk mematikan sebarang bahaya.

Cole Palmer mensia-siakan peluang keemasan selepas 13 minit permainan apabila dia menerima umpanan bola panjang dari Aymeric Laporte dan terus merembat ke jaring tepi walaupun mempunyai pilihan menghantar kepada Julian Alvarez.

Riyad Mahrez tidak membuat kesilapan selepas dia dikasari di luar kawasan oleh Lewis Hall. Mahrez melencongkan sepakan percuma yang hebat ke sudut atas, walaupun terdapat sedikit biasan dari benteng, untuk meletakkan City di depan selepas 23 minit.

Keadaan menjadi lebih buruk untuk Chelsea selepas setengah jam apabila Kai Havertz hilang akal dan menumbuk bola dengan tangan. Kesalahan itu pada mulanya dilepaskan oleh pengadil, Robert Jones tetapi tidak Havertz tidak terlepas apabila VAR campur tangan.

Kesudahannya Manchester City mendapat sepakan penalti dan Julian Alvarez tenang menyempurnakan untuk menggandakan kedudukan walaupun Kepa Arrizabalaga cuba bermain permainan minda.

Julian Alvarez hampir menjaringkan gol ketiga tidak lama kemudian tetapi Kalidou Koulibaly pula hadir untuk menjadi batu penghalang dengan satu hadangan.

Phil Foden menjadikan kedudukan 3-0 apabila dia melengkapkan pergerakan pasukan yang baik lagi lancar tujuh minit sebelum rehat.

Bersambung babak kedua permainan terus menjadi milik Manchester City dan gol keempat City hadir pada minit ke-85 melalui sepakan penalti Riyad Mahrez.

Kesebelasan Utama Man City : Ortega Moreno; Walker, Akanji, Laporte, Gomez; Rodri; Bernardo, Foden; Mahrez, Alvarez, Palmer.

Pemain Simpanan : Ederson, Phillips, Stones, Ake, Cancelo, Gundogan, Haaland, De Bruyne, Lewis.

Kesebelasan Utama Chelsea : Kepa; Chalobah, Koulibaly, Humphreys, Hall; Jorginho, Kovacic; Ziyech, Gallagher, Mount; Havertz.

Pemain Simpanan : Bettinelli, Azpilicueta, Badiashile, Cucurella, Thiago Silva, Chukwuemeka, Zakaria, Hutchinson, D Fofana.

BACA:  Sarri: Jorginho Perlukan Sokongan Pemain Lain Untuk Menjayakan 'Sarri-ball'