Manchester City Berbelanja Besar: Strategi atau Keperluan?

Manchester City dan Jendela Perpindahan Januari: Pelaburan Besar Demi Masa Depan


Perbelanjaan Besar, Tekanan Besar

Pada bulan Januari lepas, Manchester City telah membelanjakan hampir £177 juta untuk membawa masuk 5 pemain baharu. City muncul sebagai kelab paling banyak berbelanja di Eropah dalam jendela perpindahan kali ini. Vitor Reis (£29.5 juta), Abdukodir Khusanov (£33.5 juta), Omar Marmoush (£59 juta) dan Nico Gonzalez (£49.9 juta) dibeli untuk memperkuat pasukan. Manakala Juma Bah (£4.75 juta) telah dipinjamkan ke Lens.

Pelaburan ini adalah usaha untuk menghidupkan semula musim mereka yang semakin merosot dan mengukuhkan reputasinya sebagai kelab besar. Ramai penyokong percaya bahawa langkah ini sepatutnya dibuat lebih awal.


Kedudukan City dalam Perbelanjaan Bersih

Pep Guardiola menegaskan bahawa dalam tempoh 5 tahun terakhir, City hanya berada di kedudukan ke-11 dalam perbelanjaan bersih di kalangan kelab Eropah. City berada belakang beberapa kelab Liga Perdana seperti Liverpool, Chelsea, Manchester United, Arsenal dan Tottenham serta dibelakang PSG, Bayern Munich, Milan, Juventus dan Atletico Madrid.

Walaupun terus melabur untuk memperkuatkan skuadnya, City juga mengimbangi perbelanjaannya dengan menjual pemain akademi dan menguruskan kewangan dengan baik. Ia membolehkan City mematuhi peraturan keuntungan dan kelestarian Liga Perdana (PSR).


Perubahan Strategi dan Peluang di Pasaran

Pada mulanya, City hanya merancang untuk mendapatkan seorang pemain tengah box-to-box. Namun selepas kekalahan 5-1 kepada Arsenal, mereka mengubah strategi dan memutuskan untuk berbelanja lebih.

City turut menunjukkan fleksibiliti dalam pasaran perpindahan. Misalnya, walaupun pada mulanya mereka enggan membayar klausa pelepasan Gonzalez, mereka akhirnya bersetuju dengan struktur pembayaran yang berbeza.


Peranan Hugo Viana dalam Perpindahan City

Hugo Viana, yang akan menggantikan Txiki Begiristain sebagai pengarah bola sepak pada hujung musim nanti sudah terlibat dalam urusan perpindahan City lebih awal daripada jangkaan. Dia memainkan peranan penting dalam membawa masuk Reis dari Palmeiras. Reis pada mulanya hampir menyertai Arsenal.

City juga mengambil kesempatan dari Palmeiras yang tidak bersedia untuk menjual Reis sebelum Piala Dunia Kelab, membolehkan City bertindak pada saat akhir untuk mendapatkan pemain itu.


Krisis Kecederaan dan Keperluan Pemain Baharu

City menghadapi musim yang sukar dengan kecederaan pemain utama seperti Ruben Dias, John Stones dan Jeremy Doku. Guardiola pada awalnya berharap kepulangan mereka akan memulihkan pasukannya tetapi keadaan menjadi semakin buruk apabila kecederaan terus berlaku kali ini melibatkan Manuel Akanji dan Nathan Ake pula.

City terpaksa mengambil tindakan kecemasan dengan membawa masuk pemain seperti Marmoush untuk memperkukuhkan bahagian serangan dan Khusanov untuk membantu barisan pertahanan yang semakin kurang pilihan.


Perpisahan dengan Kyle Walker

Kyle Walker mengalami kesukaran dalam separuh pertama musim ini dan dia menerima kritikan kuat. Dia memilih untuk meninggalkan City dengan menyertai AC Milan secara pinjaman. AC Milan boleh membelinya pada harga £5 juta selepas tempoh pinjaman itu tamat. Guardiola kecewa kerana Walker tidak berbincang dengannya mengenai keputusannya itu.

Sebagai tindak balas, Ruben Dias telah dilantik sebagai naib kapten pasukan di belakang Kevin De Bruyne.


Situasi James McAtee: Kekal atau Pergi?

James McAtee telah menarik minat banyak kelab Eropah termasuk dari Bayer Leverkusen, Stuttgart, RB Leipzig, Frankfurt, Mainz, Fiorentina dan beberapa kelab Liga Perdana. Namun City enggan melepaskannya kerana keperluan skuad mereka yang semakin tertekan akibat krisis kecederaan dan keletihan pemain utama.

Walaupun Guardiola berulang kali mengatakan bahawa McAtee cukup bagus untuk bermain dalam pasukan utama tetapi pemain itu masih belum memulakan sebarang perlawanan Liga Perdana musim ini. Ia mencetuskan persoalan mengenai perancangan masa depannya di kelab.


City dan Minat terhadap Andrea Cambiaso

City cuba mendapatkan Andrea Cambiaso dari Juventus tetapi harga £66 juta yang diminta oleh kelab Itali itu terlalu tinggi. City dijangka akan cuba mendapatakan pemain itu pada musim hadapan.


Perbelanjaan Saat Akhir untuk Nico Gonzalez

Pada asalnya City hanya mahu mendapatkan seorang pemain tengah tetapi akhirnya Gonzalez menjadi pemain terakhir yang dibawa masuk dalam jendela perpindahan ini. Mereka juga mempertimbangkan Douglas Luiz namun memilih Gonzalez sebagai alternatif yang lebih sesuai.

Pembelian ini mencerminkan keperluan mendesak City untuk memperkukuhkan pasukannya dengan segera. Walaupun terpaksa membayar lebih daripada yang dirancang, jika Gonzalez mampu memberikan impak serta-merta dan menjadi sebahagian daripada projek jangka panjang City, perbelanjaan ini tetap berbaloi.


Kesimpulan: Keputusan Berani atau Terdesak?

Manchester City telah mengambil langkah berani dengan melakukan perbelanjaan besar dalam jendela perpindahan kali ini. Walaupun pelaburan itu selaras dengan strategi jangka panjangnya, pembelian saat akhir seperti Gonzalez menunjukkan sedikit unsur panik.

Namun, jika semua pemain baharu ini dapat memberi impak yang diharapkan dan membantu membina skuad yang lebih kukuh untuk tahun-tahun terakhir Guardiola di kelab, ia akan dianggap sebagai perbelanjaan yang bijak dan berbaloi.

BACA:  Yaya Toure Dakwa Guardiola Sering Ada Masalah Dengan Pemain Dari Afrika