Manchester City Dominasi Jendela Perpindahan Januari 2025 dengan Perbelanjaan Besar

Jendela Perpindahan Musim Sejuk 2025: Manchester City Paling Banyak Berbelanja

Jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris kali ini berakhir dengan Manchester City menjadi kelab paling aktif membeli. Tepat pada detik akhir tarikh tutup perpindahan, mereka telah mengumumkan pembelian pemain tengah Porto, Nico Gonzalez dengan harga £49 juta. Gonzalez menyertai Omar Marmoush, Abdukodir Khusanov dan Vitor Reis sebagai sebahagian daripada skuad baharu City yang sedang mengalami perubahan besar.

City Langgar Kebiasaan dengan Berbelanja Besar

Selama ini, Manchester City jarang membuat pembelian pemain pada Januari kerana harga pemain biasanya lebih mahal. Namun pada awal tahun 2025, mereka mengambil pendekatan berbeza dan cuba memperbaiki musim mereka melalui pasaran perpindahan.

Keputusan itu memerlukan perbelanjaan besar.

Secara keseluruhan, City telah menghabiskan sekitar £178 juta untuk mendapatkan empat pemain baharu. Ia menjadikan jendela perpindahan kali ini antara yang paling mahal dalam sejarah kelab di bawah kendalian Pep Guardiola.

Dalam sejarah Liga Perdana, hanya Chelsea pernah membelanjakan lebih banyak pada jendela perpindahan Januari. Pada 2023, Chelsea membeli beberapa pemain termasuk Enzo Fernandez, Mykhaylo Mudryk dan Noni Madueke dengan jumlah keseluruhan £270 juta. Selain itu, Barcelona juga pernah membuat pembelian besar pada Januari 2018 apabila mereka mendapatkan Philippe Coutinho dari Liverpool dengan harga lebih £100 juta.

City bukan sahaja menjadi kelab paling banyak berbelanja, malah mereka menyumbang sekitar 44% daripada keseluruhan perbelanjaan kelab Liga Perdana pada Januari ini. Wolverhampton Wanderers yang cuba mengelak penyingkiran berada di tempat kedua dengan perbelanjaan hanya £42 juta.

City juga satu-satunya kelab Liga Perdana yang membelanjakan lebih daripada £50 juta dalam jendela kali ini. 8 daripada 19 kelab lain termasuk Liverpool, Arsenal dan Nottingham Forest memilih untuk tidak berbelanja langsung dan menunggu sehingga musim panas.

Jumlah keseluruhan perbelanjaan dalam Liga Perdana kali ini mencecah £403 juta, menjadikannya jumlah ketiga tertinggi dalam sejarah perpindahan Januari. Namun, jika tanpa perbelanjaan besar City jumlah ini sebenarnya lebih rendah dan lebih selari dengan trend di liga Eropah yang lain. Jika diambil kira perbelanjaan bersih (pembelian ditolak jualan) jumlah keseluruhan perbelanjaan Liga Perdana hanyalah £84 juta.

Pinjaman Pemain Mencuri Perhatian

Selain pembelian tetap, beberapa perpindahan pinjaman juga menarik perhatian. Marcus Rashford berpindah dari Manchester United ke Aston Villa. Mathys Tel menyertai Tottenham Hotspur dari Bayern Munich pada saat akhir tarikh tutup perpindahan. Evan Ferguson juga mengejutkan ramai apabila meninggalkan Brighton untuk dipinjamkan ke West Ham United, sesuatu yang tidak dibayangkan pada 6 bulan lalu.

Januari sering menjadi peluang kepada kelab yang sedang bergelut untuk menambah pemain baharu. Manchester United misalnya, membelanjakan £30 juta untuk mendapatkan Patrick Dorgu dari Lecce. Tottenham pula membawa masuk Tel, Antonin Kinsky dan Kevin Danso. Malah setiap pasukan dalam zon penyingkiran Liga Perdana turut mendapatkan pemain baharu. Wolves menjadi yang paling aktif melalui 3 pembelian.

Namun, jendela perpindahan kali ini tetap akan dikenang sebagai milik Manchester City.

City bukan sahaja membelanjakan jumlah yang besar, malah ini adalah jendela perpindahan Januari paling sibuk mereka sejak 2009. Ketika itu, selepas pengambilalihan oleh Sheikh Mansour mereka membawa masuk Nigel de Jong, Craig Bellamy, Shay Given dan Wayne Bridge untuk mencabar pasukan-pasukan besar lain.

Namun, situasi kali ini berbeza.

Dengan hanya 14 perlawanan liga berbaki, City kini ketinggalan 15 mata di belakang pendahulu Liverpool. Mereka bukan lagi pasukan yang cuba naik ke puncak sebaliknya sedang berusaha untuk kekal bersaing dan memastikan tempat dalam Liga Juara-Juara musim depan.

Kelab Berhati-hati Kerana Peraturan Kewangan

Walaupun City berbelanja besar, banyak kelab lain mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati kerana peraturan Keuntungan dan Kemampanan (PSR) Liga Perdana.

Newcastle United, Everton dan Nottingham Forest memilih untuk tidak membeli pemain kerana ingin mengelak masalah kewangan. Sementara itu, Aston Villa, Chelsea dan Leicester tetap membeli pemain baharu tetapi mengimbanginya dengan penjualan pemain untuk memastikan kewangan mereka stabil menjelang musim panas nanti.

Manchester United juga mungkin mahu berbelanja lebih tetapi kedudukan kewangan mereka membataskan pergerakan dalam pasaran perpindahan. Ruben Amorim yang dilantik sebagai ketua jurulatih pada November hanya menerima seorang pemain baharu iaitu Patrick Dorgu. Tambahan pula, masa depan pemain muda seperti Kobbie Mainoo dan Alejandro Garnacho masih menjadi tanda tanya kerana situasi kewangan kelab.

Salah satu perpindahan yang boleh memberi impak besar ialah perpindahan Rashford ke Aston Villa. Kelab itu boleh membelinya selepas tamat tempoh pinjaman dengan harga £40. Jika Aston Villa membelinya, United mungkin dapat menggunakan wang itu untuk membeli pemain baharu pada jendela seterusnya.

Liga Perdana Masih Dominasi Pasaran Pemain

Seperti biasa, Liga Perdana Inggeris kekal sebagai liga paling aktif dalam pasaran perpindahan berbanding liga Eropah lain.

Walaupun Paris Saint-Germain membuat pembelian besar dengan mendapatkan Khvicha Kvaratskhelia dari Napoli dengan harga £59 juta, perbelanjaan keseluruhan Ligue 1 Perancis hanya sekitar £215 juta. Bundesliga dan Serie A Itali juga lebih berhati-hati dalam pembelian pemain. Manakala La Liga Sepanyol hampir tidak membuat sebarang impak dengan hanya £38 juta dibelanjakan.

Dua daripada sepuluh perpindahan terbesar Januari melibatkan Liga Pro Saudi. Al Nassr membayar £64 juta untuk mendapatkan Jhon Duran dari Aston Villa. Al Ahli membeli pemain sayap Brazil, Galeno dari Porto dengan harga £42 juta.

Brighton hampir kehilangan Kaoru Mitoma apabila Al Nassr cuba membelinya dengan bidaan setinggi £61 juta tetapi tawaran itu ditolak. Walaupun kelab Saudi tidak seaktif tahun lalu, mereka masih menunjukkan minat untuk mendapatkan pemain berkualiti tinggi.

Seperti setiap tahun, Liga Perdana Inggeris terus menjadi pemimpin dalam pasaran perpindahan.

Namun kali ini, tidak ada kelab yang lebih agresif berbanding Manchester City.

BACA:  Kyle Walker Puji Karakter Michael Oliver Tidak Beri Penalti Kepada Liverpool