Pada malam tadi Manchester City masih menunjukkan sisa-sisa kehebatan mereka ketika menentang Real Madrid tetapi hakikatnya, era kegemilangan pasukan ini semakin hampir ke penghujung.
City sendiri sedar perkara ini. Mereka telah membelanjakan hampir £200 juta untuk membawa masuk 4 pemain utama dalam jendela perpindahan musim sejuk dan merancang untuk menambah lagi pemain pada musim panas nanti. Dalam masa yang sama mereka juga bersedia mengucapkan selamat tinggal kepada beberapa pemain penting yang telah membawa pasukan ini ke tahap yang luar biasa dalam bola sepak Inggeris.
Musim Masih Panjang dan Cabaran Makin Sengit
Masalahnya, masih ada lebih 3 bulan sebelum musim ini berakhir dan sepanjang tempoh itu, kelemahan pasukan ini akan terus dilondehkan oleh pasukan lain yang lebih bertenaga dan berkualiti.
Namun, ini tidak bermakna City sudah mati. Mereka masih cukup kuat untuk memastikan kelayakan ke Liga Juara-Juara untuk musim depan terutama sekali jika tempat ke-5 juga memberikan tiket ke kejohanan itu.
Malah, tidak mustahil mereka mampu mengejutkan Madrid di Santiago Bernabeu pada minggu depan kerana mereka memiliki Erling Haaland dan jangan lupa bola sepak sentiasa penuh dengan kejutan.
Cuma realitinya pasukan ini sudah tidak mampu kembali ke tahap yang sama seperti dahulu, sebuah pasukan yang memenangi 4 kejuaraan Liga Perdana berturut-turut atau menang 6 kali daripada 7 musim terakhir. Pasukan yang meraih 100 mata dan meraih treble (Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-Juara).
Kelemahan Ketara dan Masalah Berulang
Kekalahan kepada Madrid bukanlah faktor utama yang menunjukkan kejatuhan City, mereka sebenarnya sudah bergelut sejak hampir 4 bulan lalu dan masih tiada tanda-tanda pemulihan.
Ketika menentang Madrid, jelas mereka telah bermain sepenuh tenaga mengikut perancangan yang ditetapkan tetapi tetap tidak cukup untuk meraih kemenangan.
Masalah yang menghantui mereka sejak November lalu masih belum diselesaikan. Mereka kurang mobiliti dan kekuatan fizikal di bahagian tengah. Lihat sahaja bagaimana Jude Bellingham dengan mudah melepasi pertahanan mereka pada minit-minit terakhir perlawanan.
Di bahagian pertahanan pula, mereka seolah-olah berada dalam kitaran kecederaan yang tidak berkesudahan. Ruben Dias sendiri menyebut situasi ini sebagai “urutan kematian,” di mana seorang pemain baru kembali daripada kecederaan tetapi pemain lain pula terpaksa diketepikan.
Pada hari Sabtu lepas Dias baru sahaja kembali ke kesebelasan utama, Nathan Ake juga kembali beraksi malam tadi dan John Stones pula masih dalam proses pemulihan selepas 2 kali gagal untuk pulih sepenuhnya sejak November. Walaupun Stones bermula di bahagian tengah menentang Madrid, dia kelihatan keletihan pada 30 minit terakhir selepas turun bermain sebagai pertahanan.
Kesilapan dan Kelemahan Yang Sering Berulang
Satu lagi masalah besar yang City hadapi pada musim ini adalah mereka sering melepaskan gol dalam tempoh yang singkat. Sejak sebulan terakhir sahaja, pasukan seperti Real Madrid, Arsenal, Paris Saint-Germain dan Brentford telah berjaya menjaringkan 2 gol dalam masa yang singkat. Kebanyakan gol ini pula berpunca daripada kesilapan City sendiri.
Contohnya, Ederson menghadiahkan gol ke-2 kepada Madrid melalui hantaran yang tersasar dan keadaan bertambah buruk apabila Mateo Kovacic dan Rico Lewis cuai sehingga membenarkan gol ke-3 dijaringkan oleh pihak lawan.
Pep Guardiola sendiri mengakui perkara ini selepas perlawanan.
“Banyak kali ia berlaku,” kata Guardiola mengenai kesilapan dan keputusan yang lemah. “Feyenoord, Sporting Lisbon, Brentford, Man United – banyak perlawanan yang pada akhirnya kami sendiri memberikan peluang kepada lawan. Pada tahap ini, perkara seperti ini sangat sukar. Ini bukan kali pertama ia berlaku tetapi sudah banyak kali.”
Selain itu, City juga menghadapi masalah dengan hantaran lintang ke dalam kotak penalti serta situasi bola mati. Walaupun kelemahan itu tidak begitu ketara ketika menentang Madrid. Tetapi berdasarkan corak permainan mereka pada musim ini, kelemahan itu pasti akan terus berulang tidak lama lagi.
Mereka Masih Berjuang, Tetapi Tidak Lagi Cukup Kuat
Satu perkara yang boleh dipuji tentang pasukan ini adalah, walaupun mereka mengalami banyak kelemahan dan kesilapan, mereka tetap bangkit dalam perlawanan berikutnya dengan semangat juang yang tinggi. Mereka masih berlari, menekan lawan dan berusaha sebaik mungkin.
Namun, masalahnya adalah mereka sudah tidak cukup bagus.
Ia mungkin kedengaran pelik untuk mengatakan pasukan dengan kualiti setinggi ini tidak cukup bagus tetapi hakikatnya, kejayaan City selama ini bukan hanya kerana mereka memiliki pemain hebat. Mereka berjaya kerana pemain mereka sebelum ini cukuo serasi antara satu sama lain. Setiap individu memainkan peranan mereka dengan sempurna.
Kini kerana masalah kecederaan, faktor usia, atau kedua-duanya sekali, kebanyakan pemain beraksi di bawah tahap sebenar. Mereka tidak lagi kelihatan sesuai dengan sistem Guardiola terutama sekali di bahagian tengah di mana kekurangan tenaga dan kepantasan sangat jelas.
Adakah Ini Masih Pasukan Guardiola?
City telah dikenali sebagai pasukan yang mengawal bola dengan cemerlang dan menekan lawan dengan agresif. Tetapi jika mereka tidak dapat menyimpan bola dengan baik dan gagal merebutnya kembali dengan pantas, adakah ini masih pasukan Guardiola?
Jika ada satu pemain yang benar-benar melambangkan semangat juang City untuk terus melawan, dia ialah Kevin De Bruyne. Sama seperti pasukan secara keseluruhan, dia masih mampu menunjukkan detik-detik kecemerlangan tetapi jelas sekali zaman terbaiknya sudah berlalu.
Ini bukan salahnya, dia telah mengalami beberapa kecederaan serius dalam tempoh itulah realitinya.
Pasukan ‘Tua’ Yang Semakin Lemah
Selepas City menewaskan Club Brugge untuk mara ke pusingan ini, Guardiola sendiri mengakui bahawa City kini adalah “pasukan yang sudah tua”. Dia menyebut nama De Bruyne (33 tahun), Ilkay Gundogan (34 tahun) dan Kovacic. Walaupun Kovacic baru 32 tahun, dia sudah mula menunjukkan masalah fizikal sama seperti 2 pemain senior itu.
Bernardo Silva juga tidak berada pada tahap terbaiknya. Secara keseluruhan ramai pemain kelihatan keletihan dan hilang keyakinan.
Sebelum perlawanan menentang Madrid, Guardiola ditanya tentang peluang pasukannya dan dia sendiri mengakui bahawa dia tidak pasti apa yang bakal berlaku.
“Kami tidak lagi konsisten. Sebelum ini kami adalah mesin yang luar biasa setiap 3 hari. Tetapi sekarang, saya sendiri tidak tahu.”
Namun dalam hati kecilnya, Guardiola pasti sedar apa yang bakal berlaku dan ia bukanlah sesuatu yang positif.
Dia pasti sedar bahawa setiap perlawanan kini lebih sukar berbanding sebelumnya. Dia pasti sedar bahawa pasukannya tidak lagi mempunyai jawapan untuk banyak masalah yang mereka hadapi.
Mungkin ada bahagian dalam dirinya yang sudah menjangkakan keputusan-keputusan seperti ini melainkan sikap optimis seorang pengurus itu berada di tahap tertinggi, yang tidak membenarkan dia untuk mengakuinya.
Guardiola Kini Dipersoalkan
Malah, cara Guardiola menguruskan situasi ini kini mula dipersoalkan oleh penyokong City sendiri.
Formasi dan strategi permainannya kini mula menjadi masalah. Ia tidak lagi menjadi penyelesaian. Dia masih mahu pasukannya menekan lawan dengan tinggi dan bermain agresif tetapi dengan tenaga dan fizikal yang semakin berkurang, mereka sering meninggalkan ruang besar di bahagian tengah.
Ketika City berada di tahap terbaiknya, mereka masih tidak begitu kuat dalam bertahan berbanding serangan balas, kecuali pada penghujung musim treble lalu, ketika para pemain bertahan, mereka cergas dan penuh keyakinan.
Menentang Madrid, mereka mengekalkan garisan pertahanan tinggi tetapi dalam babak kedua, mereka tidak lagi menekan dengan agresif dan ia boleh dianggap sebagai satu tindakan berisiko tinggi.
Faktor Kepenatan dan Harapan Baru
Salah satu sebab utama mengapa City kelihatan kurang bertenaga adalah kerana mereka keletihan.
Selepas Nico Gonzalez, pemain tengah yang baru dibeli mengalami kecederaan dalam perlawanan debutnya pada hari Sabtu lepas, siapa lagi yang boleh membantu bahagian tengah apabila Nathan Ake hanya mampu bertahan selama sejam dan De Bruyne sudah keletihan? Jawapannya: Kovacic dan Gundogan, 2 pemain yang juga mengalami masalah fizikal.
Mungkin apabila Gonzalez kembali cergas dan pemain seperti Omar Marmoush, Abdukodir Khusanov serta Vitor Reis sudah menyesuaikan diri dengan pasukan, keadaan akan berubah. Mungkin pemain lain akan mendapat rehat yang mencukupi dan prestasi akan meningkat.
Tetapi buat masa ini, City masih berada dalam kitaran yang sama sejak beberapa bulan lalu dan Newcastle, Madrid serta Liverpool bakal menjadi lawan mereka dalam tempoh seminggu. Harapan untuk perubahan segera kelihatan tipis.
Kesimpulan: Kejatuhan Yang Tidak Dapat Dielakkan?
City menunjukkan bahawa mereka masih mampu mengancam Madrid. City 2 kali mendahului dalam perlawanan itu. Mungkin mereka boleh melakukannya lagi pada minggu depan. Jika bukan kerana kesilapan pada penghujung perlawanan, mereka sepatutnya memenangi perlawanan itu.
Tetapi realitinya, kesilapan itu tetap berlaku. Faktor usia pasukan ini tetap wujud. Kecederaan masih membelenggu mereka dan pasukan ini semakin rapuh.
City masih mempunyai kualiti dan mereka masih berjuang tetapi ia sudah tidak mencukupi.
Itulah realitinya.