Perlawanan di Stadium Etihad menyaksikan Manchester City dan Brighton & Hove Albion terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2. Walaupun keputusan ini boleh dianggap adil namun kedua-dua pasukan akan merasakan mereka lah sepatutnya menang. Keputusan ini juga mungkin akan memberi kesan besar dalam perebutan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.
Masalah Pertahanan City Berulang Lagi
Dalam perebutan tempat 4 teratas, tidak ada pasukan yang benar-benar sempurna. Biasanya, pasukan yang bertarung untuk slot Liga Juara-Juara adalah pasukan yang mempunyai kelemahan tertentu yang menyebabkan mereka sukar untuk mengekalkan konsistensi.
Dahulu, kelab seperti Manchester United, Tottenham atau Arsenal sering berdepan masalah ini. Tetapi pada musim ini, City pula yang kelihatan goyah. Sejak kebelakangan ini mereka kelihatan semakin baik tetapi masih belum stabil sepenuhnya. Jika Carlos Baleba berjaya menjaringkan gol pada penghujung perlawanan, Brighton mungkin akan pulang dengan kemenangan 3-2.
City telah melepaskan 40 gol musim ini, sesuatu yang belum pernah berlaku kepada mana-mana pasukan kendalian Pep Guardiola. Ia juga kali ke-13 untuk musim ini mereka membenarkan sekurang-kurangnya 4 peluang besar kepada lawan.
Situasi itu jelas menunjukkan kelemahan pertahanan City dan membuktikan bahawa pasukan seperti Brighton, Bournemouth, Fulham dan Aston Villa mempunyai peluang untuk bersaing merebut tempat ke Liga Juara-Juara.
Adakah Ortega Penjaga Gol Yang Tepat?
Krisis di posisi penjaga gol City masih berterusan. Ederson tidak diturunkan kerana mengalami kecederaan di bahagian perut. Dia juga tidak akan menyertai skuad Brazil dalam rehat antarabangsa yang akan datang.
Pada minggu lepas Ederson dikritik selepas kesilapannya memberi kemenangan kepada Nottingham Forest namun ketiadaannya tetap dirasai. Keupayaan Ederson menghantar bola jauh dan tenang di bawah tekanan cukup penting ketika berdepan pasukan yang bermain secara agresif seperti Brighton.
Stefan Ortega yang menggantikan Ederson, tidak melakukan kesilapan besar tetapi jelas dia tidak mempunyai keupayaan hantaran jauh seperti Ederson. Ia menyebabkan City sukar memanfaatkan serangan balas pantas.
Ortega bernasib baik kerana tidak bolos awal apabila pengadil menganggap Kaoru Mitoma telah merebut bola dari tangannya sebelum menjaringkan gol. Namun timbul persoalan tentang prestasinya apabila Purvis Estupinan menjaringkan gol menerusi sepakan percuma pada minit ke-21 untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Posisi Ortega sebelum sepakan itu juga menjadi tanda tanya. Dia berdiri sedikit di kiri gawang tetapi bergerak ke arah yang salah sebelum Estupiñán menyepak bola. Akibatnya, dia tidak sempat menutup ruang dan bola terus menerjah gawang selepas terkena tiang.
Aksi Agresif Jadikan Perlawanan Lebih Menarik
Perlawanan ini berlangsung dengan begitu sengit kerana kedua-dua pasukan bermain secara agresif. Ia menyebabkan perlawanan menjadi lebih terbuka dan menarik.
Kesemua 4 gol dalam perlawanan ini berpunca daripada tekanan tinggi di bahagian tengah yang membawa kepada serangan pantas. Hanya 1 gol, iaitu jaringan Omar Marmoush dari luar kotak penalti, hadir daripada situasi permainan terbuka selepas Ilkay Gündogan menghantar bola kepadanya.
City memperoleh penalti selepas Savinho merampas bola daripada João Pedro yang turun membantu pertahanan Brighton. Sementara itu, Brighton memanfaatkan kesilapan Nico González sebanyak 2 kali. Yang pertama, membawa kepada sepakan percuma yang disempurnakan oleh Estupiñán dan yang kedua, menyebabkan mereka mendapat sepakan sudut yang akhirnya menghasilkan gol sendiri oleh Abdukodir Khusanov.
Walaupun perlawanan ini penuh dengan strategi taktikal, ia juga didorong oleh keberanian, kekuatan fizikal dan semangat juang dari kedua-dua pasukan dalam permainan intensiti tinggi.
Keputusan seri ini menambah lagi drama dalam perebutan tempat ke Liga Juara-Juara. Dengan baki perlawanan yang semakin sedikit, siapa yang akan berjaya menamatkan musim di kelompok empat teratas?
Hanya masa yang akan menentukan.