Manchester Umum Cristiano Ronaldo Sah Kembali ke Pangkal Jalan

Selepas spekulasi itu ini, akhirnya Cristiano Ronaldo telah disahkan kembali ke kelab di mana dia mula mencipta nama, Manchester United dan perkara ini  telah diumumkan oleh akaun media sosial rasmi kelab tersebut.

Beberapa hari lalu, kapten pasukan kebangsaan Portugal ini dilaporkan semakin hampir menyertai seteru utama United, Manchester City, namun dengan kabel yang ada, pasukan Syaithon Merah tersebut akhirnya berjaya potong tang konar dan membawa pulang pemain ini ke Old Trafford.

Kepulangan ini pastinya menjadikan impian peribadi rata-rata penyokong United menjadi kenyataan, dan boleh diibaratkan bagai seorang bapa yang menanti kepulangan anak.

Ronaldo yang telah memenangi Ballon d’Or sebanyak lima kali, kini secara totalnya telah memenangi sebanyak 30 piala sepanjang kariernya, termasuk lima Liga Juara-Juara UEFA, empat Kejohanan Kelab FIFA, tujuh kali kejuaraan liga di England, Sepanyol dan Itali serta trofi Kejohanan Eropah bersama pasukan kebangsaan Portugal.

Ketika beraksi bersama United buat kali pertama, dia telah menjaringkan 118 gol dalam 292 perlawanan dan bersama Real Madrid, dia telah menjaringkan 450 gol sekaligus muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab La Liga tersebut.

Sebelum ini, timbul desas desus yang mengatakan bahawa dia hampir pasti akan bermain untuk Manchester City, namun United berjaya memintas perbincangan tersebut dan berjaya mendapatkan tandatangan pemain ini untuk kontrak selama dua tahun sehingga penghujung 2022-23.

Sebelum ini, dalam satu sidang media pada pagi Jumaat, pengurus Juventus Max Allegri telah mengesahkan bahawa Ronaldo akan meninggalkan kelab tersebut.

“Semalam, ada sembang dengan Ronaldo, dia bagitahu yang dia dah tak ada hati nak kekal di Juventus dan oleh sebab itu, dia tidak akan diturunkan esok (perlawanan menentang Empoli) dan pagi ni pun dia tak sertai latihan,” ujar Allegri.

“Aku tak ada rasa kecewa kerana Cristiano buat keputusan dia sendiri. Dia dah ada kat sini selama tiga tahun, dia bagi sumbangan, dia letak Juventus sebagai keutamaan dan sekarang ni dia nak keluar dah dan hidup perlu diteruskan.

“Cristiano dah bagi banyak benda untuk kelab ni, dia memang seorang yang juara. Aku ucapkan selamat maju jaya di ceruk mana pun dia main nanti.

“Dia patut diterima kasihkan selepas apa yang dia buat untuk Juventus.”

Ketika perbincangan dilakukan antara kelab dan Ronaldo, pengurus Ole Gunnar Solksjaer dilihat agak yakin bahawa bekas rakan sepasukannya akan kembali menyarung jersi keramat yang pernah menaikkan namanya ketika dibimbing oleh Sir Alex Ferguson dari tahun 2003 sehingga 2009 itu.

“Aku tak rasa Cristiano akan tinggalkan Juventus. Ada banyak spekulasi pagi ni dan beberapa hari lepas,” Ole bercakap kepada wartawan pada hari Jumaat.

“Kami memang ada komunikasi yang baik. Aku tahu Bruno (Fernandes) ada sembang dengan dia juga. Dia tahu apa yang kami rasa pasal dia dan jika dan hanya jika dia tinggalkan Juventus, dia tahu kami ada di sini.”

“Aku memang bernasib baik dalam main dengan dia, aku pun pernah melatih dia bila aku mula-mula dapat kerja (pengurus pasukan simpanan United).

“Dia memang seorang insan yang hebat jadi kita tengok apa yang akan terjadi dengan Cristiano. Semua orang yang pernah main dengan dia aku rasa ada soft spot di hati mereka kepada dia.”

Jadi berbalik kepada persoalan yang pernah diutarakan sebelum ini, jersi nombor berapakah yang akan dipakai oleh pemain ini di United nanti? Nombor 7 kini sedang digunakan oleh penyerang sensasi musim lalu, Edinson Cavani dan tak pasti sama ada pertukaran nombor jersi masih boleh dilakukan atau tidak.

Untuk rekod, ketika bermain dengan Sporting Lisbon, Ronaldo memakai jersi bernombor 28 dan ketika musim pertamanya di Real Madrid, dia telah mengenakan jersi bernombor 9.

Apapun nombor jersi yang dipakainya nanti, tidak dapat dinafikan kembalinya bintang ini ke Old Trafford bakal menaikkan moral seluruh pasukan dan juga meningkatkan prestasi kewangan kelab nanti.

BACA:  Ralf Rangnick Mengabaikan Permintaan Terbaru Dari Cristiano Ronaldo