Manchester United Akan ‘Buang’ 200 Pekerja Lagi Untuk Jimatkan Kos

Manchester United Teruskan Langkah Penjimatan, 200 Lagi Pekerja Akan Diberhentikan

Manchester United telah mengesahkan bahawa mereka akan meneruskan langkah pemotongan kos dengan memberhentikan 150 hingga 200 pekerja lagi. Ini adalah sebahagian daripada strategi penstrukturan semula yang diketuai oleh Sir Jim Ratcliffe sejak mengambil alih kawalan operasi di Old Trafford.

Gelombang Baharu Pemecatan Selepas 250 Pekerja Diberhentikan Sebelum Ini

Sebelum ini United sudah pun memberhentikan 250 pekerja sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan perbelanjaan kelab. Kini, satu lagi pusingan pengurangan tenaga kerja akan dilakukan. Satu pengumuman rasmi telah dibuat kepada kakitangan dalam satu mesyuarat di Old Trafford pada petang Isnin lalu.

Langkah pemberhentian ini juga akan melibatkan pengurangan kakitangan di pejabat United di London serta perubahan dalam penyediaan makanan untuk pekerja kelab. Salah satu langkah yang bakal dilaksanakan ialah menutup kantin pekerja di Old Trafford. Di pusat latihan Carrington, penyediaan makanan buat masa ini tidak berubah tetapi apabila bangunan utama dibuka semula pekerja hanya akan ditawarkan sup dan roti. Walau bagaimanapun, tiada perubahan dalam penyediaan makanan untuk pemain.

Mengapa Manchester United Melakukan Pemotongan Kos?

Sejak lima tahun lalu, Manchester United rugi sebanyak £373 juta. Untuk separuh pertama musim 2024-25, mereka rugi lagi £26.3 juta. Sebahagian besar kerugian itu datang daripada bayaran pampasan kepada bekas pengurus Erik ten Hag dan bekas pengarah sukan Dan Ashworth, yang berjumlah sekitar £14.5 juta.

Masalah kewangan Manchester United berpunca daripada pembelian pemain yang tidak berkesan. Pemain yang dibeli gagal memberi impak, menyebabkan prestasi pasukan tidak stabil. Akibatnya, pengurus kerap ditukar, menambah beban kewangan kelab. Kini, United perlu memastikan mereka mematuhi peraturan perbelanjaan Liga Perdana (PSR) dan UEFA (FFP).

Kelab mempunyai £95.5 juta dalam bank tetapi jumlah itu ada kerana kelab menerima pelaburan £238.5 juta daripada Ratcliffe dan meminjam £200 juta tahun lalu. Ia menunjukkan kelab tidak mempunyai pendapatan yang cukup dan terpaksa bergantung pada pelaburan serta pinjaman.

Kenyataan Rasmi Dari Pihak Kelab

Ketua Eksekutif United, Omar Berrada, berkata: “Kami bertanggungjawab untuk memastikan Manchester United berada dalam kedudukan terbaik untuk mencapai kejayaan dalam pasukan lelaki, wanita dan akademi kami.

“Kami sedang melaksanakan beberapa langkah drastik untuk memperbaharui kelab ini. Malangnya, ini bermakna lebih banyak pemotongan tenaga kerja perlu dilakukan, dan kami amat menyesali kesan terhadap pekerja yang terlibat. Namun, langkah-langkah ini sangat penting untuk mengembalikan kestabilan kewangan kelab.

“Kami telah mengalami kerugian selama 5 tahun berturut-turut dan situasi ini tidak boleh berterusan. Keutamaan utama kami adalah mencapai kejayaan di atas padang serta meningkatkan kemudahan untuk pasukan dan penyokong. Jika kami terus mengalami kerugian, kami tidak dapat membuat pelaburan yang diperlukan untuk mencapai matlamat ini.

“Pada akhir proses ini, kami akan menjadi kelab yang lebih kukuh dari segi kewangan sambil memberikan perkhidmatan bertaraf dunia kepada rakan niaga kami. Dengan itu, kami akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk melabur dalam kejayaan pasukan serta meningkatkan kemudahan buat penyokong sambil memastikan pematuhan terhadap peraturan UEFA dan Liga Perdana.”

Berapa Banyak Wang Yang Dapat Dijimatkan?

Musim panas lalu, kelab telah memberhentikan seramai 250 pekerja untuk menjimatkan antara £40 juta hingga £45 juta setahun. Jika mereka mengurangkan 100 lagi pekerja, kelab boleh menjimatkan sekitar £18 juta, manakala jika jumlah pemberhentian mencecah 200 pekerja, penjimatan boleh meningkat hingga £36 juta.

Walaupun langkah ini membantu mengurangkan kos dalam jangka panjang, United masih perlu membayar pampasan kepada pekerja yang diberhentikan. Musim panas lalu, kos pampasan ini mencecah £8.6 juta dan jumlah yang hampir sama dijangka untuk fasa pemberhentian kali ini.

Bagaimana Kekuatan Tenaga Kerja United Berbanding Kelab Lain?

Manchester United mempunyai jumlah pekerja paling ramai dalam kalangan kelab Liga Perdana dengan purata 1,140 pekerja sebulan pada akhir musim 2023-24.

Sebagai perbandingan:

  • Manchester City – 611 pekerja (walaupun sebahagian daripada City Football Group yang ada 1,703 pekerja).
  • Liverpool – 1,008 pekerja (pada akhir musim 2022-23).
  • Chelsea – 872 pekerja.
  • Arsenal – 723 pekerja.

Sejak 2016 jumlah pekerja United meningkat setiap tahun. Ketika itu mereka hanya mempunyai 799 pekerja. Tahun lalu, mereka mencapai jumlah tenaga kerja paling ramai dalam sejarah kelab.

Perbelanjaan Utama Lain Yang Ditanggung United

Kos terbesar bagi mana-mana Liga Perdana adalah bil gaji terutamanya untuk pemain. Pada penghujung musim 2021-22, United mencatatkan rekod gaji tertinggi dalam sejarah bola sepak Inggeris dengan jumlah £384 juta, namun jumlah itu telah dikurangkan kepada £364 juta dan telah dipintas oleh beberapa kelab pesaing.

United juga berbelanja besar dalam pembelian pemain, tidak kira sama ada mereka layak ke Liga Juara-Juara atau tidak. Musim ini sahaja, kelab telah mencatatkan kos pemindahan sebanyak £102.7 juta.

Hutang kelab kini mencecah £734 juta, dengan sebahagian besar daripadanya berpunca daripada pengambilalihan kelab oleh keluarga Glazer pada tahun 2005. Memandangkan hutang ini dalam mata wang dolar AS, nilai hutang dan pembayaran faedah berubah-ubah bergantung kepada kadar pertukaran mata wang.

Musim lalu, Manchester United membayar £37.2 juta secara tunai untuk faedah hutang, jumlah yang hampir sama dengan penjimatan daripada pemberhentian pekerja kali ini.

Sejak keluarga Glazer mengambil alih kelab, United telah membayar sebanyak £847.6 juta hanya untuk faedah hutang.

Langkah Penjimatan Lain Yang Dilaksanakan

Ratcliffe dan INEOS telah mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan kos termasuk menamatkan peranan duta Sir Alex Ferguson yang sebelum ini menerima bayaran £2 juta setahun. Pembayaran kepada bekas pemain dan bekas ketua eksekutif David Gill juga dihentikan.

Kad kredit syarikat telah ditarik balik. Kakitangan tidak lagi mendapat tajaan perjalanan dan penginapan percuma untuk perlawanan akhir Piala FA serta majlis perayaan Krismas tahunan dibatalkan.

Penyokong juga terkesan dengan penjimatan ini termasuk kenaikan harga tiket pada pertengahan musim dan penghapusan diskaun untuk remaja bawah 18 tahun serta warga emas. Kini peminat bimbang harga tiket akan naik lagi untuk musim lebih-lebih lagi ketika pasukan masih belum stabil.

BACA:  Premier League 2021/22: Manchester United 0-5 Liverpool