Manchester United Batalkan Hajat Dapatkan Rabiot Kerana Minta Gaji Yang Gila

Manchester United kini telah menarik diri dan membatalkan hajat bagi mendapatkan pemain tengah Juventus, Adrian Rabiot kerana permintaan gaji yang tinggi dan melampau.

Pada awalnya semuanya seperti berjalan dengan lancar apabila Manchester United telah bersetuju mengikat pemain itu dari Juventus dengan yuran perpindahan bernilai £15 juta dan kemudiannya meningkat menjadi £20 juta.

Harga tiada masalah dan persetujuan awal telah dicapai bersama kelab Itali itu namun semuanya musnah kerana terdapat jurang yang besar antara gaji yang ditawarkan dan yang dimahukan Rabiot ketika perbincangan terma peribadi berlangsung.

Adrian Rabiot diwakili ejen yang juga merupakan ibunya sendiri iaitu Veronique yang terkenal dengan mulut puakanya dengan permintaan tidak masuk akal.

Pemintaan gaji yang tinggi ini terjadi kerana Rabiot merasakan Manchester United sangat memerlukannya pada ketika ini dan dalam masa yang sama Setan Merah menganggap permintaan Rabiot sesuatu yang gila.

Jika Setan Merah yang terkenal dengan sikap membazir pun boleh anggap gaji di minta Rabiot sebagai gila memang betul-betul melampau la kan? Dah serik dengan Pogba kot.

Adrian Rabiot kini hanya mempunyai baki kontrak selama setahun bersama Juventus dan terpaksa menunggu sehingga hujung musim dan berstatus free agent jika mahukan gaji yang besar.

David Ornstein dari The Athletic melaporkan bahawa perjanjian masih lagi boleh diselamatkan namun itu tidak mungkin terjadi dan Manchester United kini sudah mengejar sasaran baru.

Manchester United sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemain termasuklah pemain tengah Real Madrid, Casemiro.

Pemain berusia 30 tahun itu dianggap sebagai salah seorang pemain tengah terbaik dunia, memenangi lima gelaran Liga Juara-Juara dan tiga La Liga sepanjang sembilan tahun berkhidmat di Santiago Bernabeu.

Marca mendakwa pemain antarabangsa Brazil itu adalah pemain pilihan dengan tiada sesiapa di ibu kota Sepanyol itu dapat melarikan diri dari ‘pergerakan pasaran.’

Pemain muda Brighton and Hove Albion, Moises Caicedo dikatakan telah ditawarkan kepada United tetapi tiada perbincangan rasmi setakat ini dilakukan.

Moises Caicedo menyertai Brighton pada 2021 yang pada mulanya hampir menyertai Manchester United dengan harga £4 juta pada 2020.

Dengan hancurnya perjanjian ini maka harapan untuk melihat ejen/ibu Rabiot memaki dan bergaduh dengan Harry Maguire tidak tercapai.

Emak Rabiot Bergaduh Dengan Keluarga Mbappe dan Pogba

Emak kepada pemain tengah Perancis, Adrien Rabiot telah bergaduh dengan keluarga Kylian Mbappe dan Paul Pogba ekoran kekalahan pasukan juara dunia itu kepada Switzerland di EURO 2020.

Perancis pada suatu ketika kelihatan selesa mendahului 3-1 ketika perlawanan berbaki 10 minit dan boleh dikatakan sebelah kaki sudah berada di suku akhir.

Namun Switzerland bangkit mengikat lalu mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti menyaksikan Granit Xhaka dan rakan sepasukan mara ke suku akhir.

Pemain sensasi EURO 2020, Kylian Mbappe gagal menyempurnakan sepakan kelima dan yang terakhir menyaksikan Perancis pulang agak awal dengan barisan pemain terbaik dunia.

Paul Pogba juga tidak terlepas dari kritikan walaupun menjaringkan gol lencong yang sungguh cantik kerana kesilapan beliau membolehkan Switzerland menjaringkan gol ketiga yang merupakan gol penyamaan.

Penyingkiran Perancis di kaki Switzerland merupakan kejutan terbesar di EURO 2020 dan RMC Sport melaporkan pergaduhan tercetus dikalangan keluarga pemain yang datang menonton.

Ibu merangkap ejen kepada Adrien Rabiot, Veronique telah mencetuskan kekecohan apabila tanpa beralas telah mengecam Paul Pogba kerana telah kehilangan bola yang menyebabkan gol penyamaan terhasil.

Selain itu bapa kepada Kylian Mbappe juga tidak terlepas daripada semburan Ibu Andrien Rabiot yang menyarankan bapa Mbappe supaya mengubah Mbappe dan jadikannya kurang sombong.

Selepas bergaduh mulut dengan bapa Mbappe, Veronique juga dilaporkan berperang mulut dengan ibu Mbappe, Fayza Lamara berhampiran wartawan yang berada di kawasan sekitar.

Bebelan, kecaman serta kritikan Veronique dengan keluarga pemain Perancis itu yang sungguh agresif nyata mengejutkan dan berlangsung selama 20 minit.

Veronique kembali tenang dan menjadi sopan terus selepas Perancis sah tersingkir dan tewas kepada Switzerland.

Menurut saksi berhampiran ketegangan berpunca dan bermula daripada kerana kecaman agresif dan negatif kenalan rapat Paul Pogba selepas Andrien Rabiot melakukan kesilapan.

Pengawal keselamatan yang berada berhampiran terpaksa masuk campur untuk meredakan situasi dan meminta sanak saudara Pogba supaya bertenang.

Kemudian Veronique pula membalas kembali kecaman kepada anaknya itu dengan lebih agresif, 20 minit kot membebel.

Baca Juga

Baca Juga