Manchester United Benam Leicester 3-0, Højlund dan Garnacho Tamatkan Kemarau Gol

Manchester United mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Leicester City. Rasmus Højlund dan Alejandro Garnacho akhirnya menamatkan kemarau gol.

Pada babak pertama, Højlund berjaya memecahkan rekod tanpa gol selama 21 perlawanan, manakala Garnacho turut menamatkan penantian 24 perlawanan tanpa jaringan apabila dia mencetak gol pada pertengahan babak kedua. Bruno Fernandes, yang sedang dalam prestasi terbaik, melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga pada lewat perlawanan, hanya beberapa hari selepas mencatat hatrik dalam aksi Liga Europa menentang Real Sociedad.

Kemenangan ini melonjakkan skuad Ruben Amorim ke tangga ke-13 di carta liga, memintas Tottenham, Everton dan West Ham. Namun, perlawanan di Stadium King Power tidak sepenuhnya berjalan lancar apabila pemain muda, Ayden Heaven terpaksa dikeluarkan dengan pengusung selepas mengalami kecederaan pada awal separuh masa kedua.


Højlund Akhirnya Meledak di Stadium King Power

Selepas 94 hari, akhirnya penyokong United dapat melihat semula keraikan Gladiator daripada Højlund. Kali terakhir dia menjaringkan gol untuk United ialah pada 12 Disember ketika menentang Viktoria Plzen di Liga Europa.

Seperti biasa, Bruno Fernandes menjadi dalang utama serangan United. Dari dalam kawasannya sendiri, dia melambungkan bola tepat kepada Højlund. Pemain Denmark itu berjaya membaca hantaran dengan baik dan apabila Boubakary Soumare gagal memintas bola, Højlund menampan bola dengan dada sebelum meluru ke dalam kotak penalti.

Tanpa teragak-agak, dia melepaskan rembatan kencang ke penjuru bawah gawang dengan kaki kanannya, sesuatu yang agak ironik memandangkan sebelum ini dia kerap mensia-siakan peluang dengan kaki kirinya.

Bagi Højlund, tidak kira bagaimana gol itu terhasil. Yang penting bola masuk ke gawang. Itu sahaja yang diperlukan selepas sekian lama kenarau jaringan.

Sejak menyertai United dari Atalanta pada Ogos 2023 dengan harga €85 juta (£71.5 juta), musim keduanya di United penuh dengan cabaran. Setakat ini, dia hanya menjaringkan 3 gol dalam saingan Liga Perdana, termasuk jaringan malam ini. Kadangkala, dia kelihatan hilang keyakinan walaupun sering berada di posisi yang baik.

Namun, jaringan ini adalah permulaan yang baik untuknya. Sekurang-kurangnya, beban besar yang menghantuinya selama ini akhirnya terlepas.

Heaven Cedera Selepas Permulaan Yang Menjanjikan

Seminggu lalu, Ayden Heaven langsung tidak mempunyai pengalaman bermain dalam Liga Perdana. Satu-satunya penampilannya bersama skuad utama adalah ketika bersama Arsenal. Dia masuk sebagai pemain gantian selama 10 minit dalam aksi Piala Carabao menentang Preston North End.

Namun, sejak menyertai United pada jendela perpindahan Januari, Heaven mula mencuri perhatian. Pada seminggu lepas dia beraksi dengan baik ketika menggantikan Leny Yoro dalam perlawanan menentang Arsenal dan terus diberi kepercayaan untuk bermain dalam kemenangan 4-1 ke atas Real Sociedad.

Menentang Leicester, Heaven bergandingan dengan Victor Lindelof di bahagian pertahanan. Dia tampak tenang, melakukan beberapa larian penting dan berjaya mengekang tekanan daripada hantaran-hantaran tinggi lawan.

Namun, nasib tidak menyebelahinya apabila dia mengalami kecederaan pada minit ke-51 ketika cuba menghalang Patson Daka. Heaven terus terbaring di atas padang dan segera memberikan isyarat kecederaan kepada pegawai perlawanan.

Ketika dia dibawa keluar dengan pengusung, kakinya dilindungi dengan pelindung khas. Wajahnya jelas menunjukkan kesakitan. Amorim menghampirinya dan memberikan tepukan semangat sebelum dia dibawa ke bilik rawatan.

Fernandes Hampir Sebaris Dengan Legenda United

Jika kemarau gol Højlund sudah cukup lama, Garnacho mungkin lebih terseksa. Kali terakhir dia menjaringkan gol adalah pada 28 November dalam perlawanan Liga Europa menentang Bodo/Glimt.

Pada minit ke-56, dia hampir menggandakan kedudukan tetapi golnya dibatalkan kerana ofsaid. Namun 11 minit kemudian, dia tidak mensia-siakan peluang. Dengan pantas, dia menyambar hantaran pendek Fernandes dan menewaskan penjaga gol Leicester, Mads Hermansen.

Gol ini juga menambah jumlah bantuan jaringan Fernandes di Liga Perdana kepada 50, menjadikannya antara 10 pemain terbaik Manchester United dari segi sumbangan gol (62 gol, 50 bantuan). Ironinya, dia memintas Ruud van Nistelrooy dalam senarai tersebut yang kini merupakan pengurus Leicester.

Seperti yang ditunjukkan dalam perlawanan menentang Real Sociedad, Fernandes adalah nadi utama pasukan ini. Dia bukan sahaja kapten yang berpengaruh tetapi juga contoh terbaik untuk pemain muda United.

Amorim sebelum ini menegaskan bahawa akademi United perlu menjadi tonggak kejayaan pasukan. Disebabkan itu, dia memberi peluang kepada Harry Amass, yang membuat penampilan Liga Perdana pertamanya pada hari jadinya yang ke-18 sebagai pemain sayap kiri.

Keputusan Amorim untuk memberikan peluang kepada pemain muda seperti Toby Collyer, Chido Obi, Amass dan Heaven menunjukkan falsafahnya yang jelas – jika anda cukup bagus, umur bukan penghalang untuk bermain dalam pasukan utama.

Apa Kata Ruben Amorim?

Dalam sidang media selepas perlawanan, Amorim berkata:

“Persembahan kami semakin baik. Apabila anda bermain dengan baik dan memperoleh keputusan positif, keyakinan akan meningkat. Saya mula melihat perubahan dalam pasukan ini, terutama malam ini. Walaupun ada sedikit keletihan, pasukan masih mampu mencari jalan untuk menang. Itu satu petanda yang baik.”

Mengenai Højlund, Amorim berkata:

“Ia sangat penting untuknya. Dia telah melakukan perkara yang betul, bekerja keras dan akhirnya dia mendapat ganjaran dengan jaringan yang sangat baik. Saya fikir dia paling layak mendapat gol itu.”

United kini mempunyai rehat selama 2 minggu sebelum perlawanan seterusnya pada 1 April. Amorim menjelaskan bahawa dia akan membahagikan pasukan kepada beberapa kumpulan.

“Sesetengah pemain seperti Mason Mount dan Toby Collyer perlu berusaha untuk meningkatkan kecergasan mereka. Kami juga perlu memulihkan pemain seperti Harry Maguire dan Kobbie Mainoo untuk fasa akhir musim ini. Beberapa pemain lain akan diberikan rehat lebih panjang.”

Mengenai debut Amass, dia berkata:

“Kadang-kadang, apabila pemain utama cedera, pemain muda mendapat peluang. Amass dan semua pemain muda harus sedar bahawa mereka sangat bertuah dapat bermain untuk Manchester United. Itu adalah hadiah terbaik untuknya.”

Kemenangan ini memberikan nafas baru buat United. Dengan rehat antarabangsa yang bakal tiba, Amorim pastinya berharap pasukannya dapat kembali dengan lebih segar dan bersedia untuk cabaran akhir musim.

Baca Juga

Baca Juga