Manchester United Sailang Lyon dan Capai Persetujuan Bersama Tyrell Malacia

Berita terpaling positif buat peminat Manchester United hadir di awal bulan julai apabila Manchester United dan Tyrell Malacia telah menyatakan persetujuan dengan terma dan syarat yang termaktub dalam kontrak.

Tindakan selanjutnya adalah Tyrell Malacia akan menjalani pemeriksaan kesihatan yang dijangka dalam minggu ini sebelum menurunkan tandatangan untuk menjadi Setan Merah secara rasmi.

Tyrell Malacia akan diikat selama 4 tahun dengan pilihan lanjutan kontrak kepada 5 tahun dan Manchester United akan membayar Feyenoord €15 juta berserta bonus tambahan €2 juta.

Satu harga yang paling logik akal pernah diterima oleh Setan Merah.

Lyon telah disailang oleh Manchester United untuk mendapatkan Tyrell Malacia selepas pemain itu telah pun bersetuju secara lisan untuk ke Lyon dengan yuran perpindahan €13 juta berserta tambahan €2 juta.

Oleh kerana persetujuan hanya dicapai secara lisan dan tiada tanda tangan lagi diturunkan, Setan Merah menyetan memotong tang konar dengan tawaran €15 juta.

Tyrell Malacia terus merubah fikiran dan mahu ke Old Trafford, sebusuk-busuk Man Utd pun kelab ini jauh lebih gah berbanding Lyon.

Bincang punya bincang maka Tyrel Malacia meluahkan kata-kata manis kepada Setan Merah untuk hidup bersama membuatkan Lyon makan hati.

Agree term atau persetujuan dicapai atau persetujuan secara lisan malah sudah selesai ujian perubatan juga belum tentu sah dan masih lagi boleh disailang selagi kontrak tidak ditandatangan .

Malcom paling legend membabitkan cerita sailang menyailang ini ketika dalam perjalan ke AS Roma untuk mengikat kontrak bersama kelab Itali itu, Malcom menerima panggilan.

Barcelona mahukannya, serta merta Malcom ubah penerbangan ke Sepanyol dan menyertai kelab Catalan itu ketika Roma sudah membuat persiapan untuk penguman rasmi.

Jadi selagi kontrak belum ditandatangan maka peluang untuk disailang masih wujud.

Tyrell Malacia merupakan seorang left-back, pada hakikat Manchester United memerlukan seorang right-back bagi menggantikan Aaron Wan Bissaka yang tidak diperlukan lagi.

Tak kisah la siapa pun, asal boleh beli dan yang penting dari Belanda.

Malacia, 22, telah membuat 50 penampilan dalam semua pertandingan musim lalu ketika dia membantu membimbing pasukannya ke final Liga Persidangan UEFA pada Mei sebelum tewas kepada Roma.

Pemain berusia 22 tahun itu membuat penampilan sulung untuk Belanda pada September lalu dan telah mempunyai lima caps untuk pasukan kebangsaannya.

Sesuatu yang Erik Ten Hag suka kepada Malacia adalah komitmennya di atas padang dan di luar padang. Dia merupakan pemain yang benar benar fokus kepada bola sepak sebagai keutamaan.

Malacia menepati ciri ciri pemain yang dikehendaki Erik Ten Hag. Bek sisi moden yang boleh melakukan gerakan bahaya dari tepi padang dengan larian progresif.

Satu lagi perkara yang menarik adalah mentaliti pemain ini. Sebelum ini Louis Van Gaal menggertak Jurrien Timber agar menolak tawaran Man United atau pemain itu berpotensi kehilangan tempat dalam skuad kebangsaan Belanda.

Van Gaal merasakan Timber hanya akan menjadi pemain simpanan di United. Dan dia sudah menegaskan, jika pemain itu tak mengumpul minit perlawanan yang memuaskan, dia akan dibuang daripada skuad Piala Dunia.

Tyrell Malacia pula tidak risau dengan Van Gaal. Walaupun dia tahu dia tidak akan menjadi pemain yang automatik dalam kesebelasan utama di United dan peluang itu kelihatan lebih cerah jika dia bersama Lyon.

Namun Malacia mahu mengembangkan kariernya di kelab seperti United dan sedia membuktikan kepada Van Gaal. Mentaliti ini yang sangat kuat dan terpuji

Manchester United kini masih dan terus berusaha untuk mencapai persetujuan dengan Ajax untuk menandatangani Lisandro Martinez dan dipercayai Setan Merah sebagai pilihan kegemaran untuk pemain Argentina ketika persaingan hadir daripada Arsenal.

Rundingan lanjutan sedang berlangsung antara United dan Ajax, dengan pemain itu dipercayai berminat untuk bersatu semula dengan bekas jurulatihnya Erik ten Hag.

Sementara itu United meneruskan usaha mereka untuk merekrut Frenkie de Jong dan Christian Eriksen yang masih kekal menjadi sasaran.

Baca Juga

Baca Juga