Pada separuh masa pertama, Everton bermain dengan penuh keyakinan. Malah bekas pemain mereka, Derek Mountfield sempat bergurau dengan berpura-pura menghayunkan siku ke arah pemain Manchester United yang keluar dari terowong untuk memulakan babak kedua.
Mountfield pernah memenangi beberapa trofi bersama Everton. Dia berada di padang ketika rehat untuk menerima penghormatan sebagai “Legenda Everton”. Ketika dia berjalan keluar, pemain United pula masuk semula ke padang.
Bruno Fernandes tidak suka dengan tindakan Mountfield yang seolah-olah mengejek pasukannya. Fernandes menegurnya supaya lebih menghormati lawan. Mountfield, yang kini berusia 62 tahun membalas dengan nada sinis dan bertanya siapa sebenarnya Fernandes.
Fernandes menjawab ejekan itu dengan cara terbaik, dia menjaringkan gol menerusi sepakan percuma. Gol itu memberi harapan kepada United. Namun, kejadian itu menunjukkan betapa lemahnya United sekarang sehingga mereka mudah menjadi bahan ejekan lawan.
Manchester United Bermain Tanpa Arah
Jurulatih Ruben Amorim berkata selepas perlawanan bahawa United seperti “tidak wujud” pada separuh masa pertama. Kata-katanya betul kerana pemain United kelihatan hanya membiarkan permainan berlaku tanpa melakukan banyak usaha. Mereka bertindak balas kepada pergerakan lawan bukannya mengawal permainan.
Kadang-kadang, kesilapan mereka membawa masalah besar. Baru 5 minit perlawanan bermula, Diogo Dalot tersilap ketika cuba menyepak bola, lalu bola melantun ke muka Casemiro. Tidak lama selepas itu, Noussair Mazraoui yang baru masuk semula ke padang selepas menerima rawatan, tersilap langkah bersama Harry Maguire, menyebabkan Everton mendapat peluang menyerang.
Kemudian, Beto hampir menjaringkan gol dengan tandukan, dan itu bukan kali terakhir pemain United melakukan kesilapan sesama sendiri.
Gol pertama Everton berpunca daripada kesilapan berulang United. Pemain berbaju merah mempunyai 8 peluang untuk membuang bola tetapi gagal melakukannya.
Gol kedua lebih buruk. Hanya dengan satu hantaran mudah di bahagian sayap, Everton mendapat kelebihan 2 lawan 1. Penjaga gol Andre Onana hanya mampu menepis sepakan Jack Harrison ke udara. Maguire sepatutnya boleh membuang bola tetapi dia menunggu terlalu lama, memberi peluang kepada Abdoulaye Doucoure untuk bertindak lebih pantas dan menjaringkan gol. Seperti kata Amorim, seolah-olah pertahanan United tidak wujud.
Di seluruh stadium Goodison Park, penyokong Everton mengejek dengan nyanyian, “Akan turun liga, akan turun liga!” Walaupun kedengaran seperti gurauan, situasi United sebenarnya membimbangkan. Jika mereka terus bermain seperti ini, mereka mungkin hanya mengumpul 42 mata di bawah Amorim – jumlah yang sama dengan West Ham ketika mereka tersingkir dari Liga Perdana pada musim 2002-03.
United kelihatan takut untuk bermain. Amorim kecewa apabila Casemiro hanya menyepak bola jauh tanpa arah. Dalot pula tersilap hantaran selepas sepakan sudut Fernandes, hampir memberikan Everton peluang untuk menyerang balas.
Ketika Patrick Dorgu berada di posisi yang baik di bahagian sayap, Casemiro tidak menghantar bola kepadanya. Sebaliknya, dia memilih untuk menghantar kepada Matthijs de Ligt. Penyokong United yang duduk berdekatan mula hilang sabar dan menjerit, “Serang, serang, serang!” kerana pasukan mereka seolah-olah tidak mahu menyerang.
Namun, pemain yang diharapkan untuk memimpin serangan pula kehilangan keyakinan. Dalam satu peluang yang baik, Rasmus Hojlund memasuki kotak penalti tetapi memilih untuk berhenti dan tidak melepaskan rembatan. Manuel Ugarte juga melakukan perkara sama, menghantar bola ke belakang kepada Maguire tetapi tersalah kawal sehingga bola hampir dirampas oleh Beto. United sepatutnya berada dalam posisi menyerang tetapi bertukar menjadi bertahan akibat keputusan mereka sendiri.
Separuh Masa Kedua: United Bangkit, Tapi Masih Lemah
Bruno Fernandes mendedahkan bahawa Amorim sangat marah ketika rehat separuh masa. Selepas perlawanan, Amorim berkata,
“Kami terlalu banyak hilang bola tanpa tekanan. Pemain bebas tetapi tidak berada di posisi yang betul. Semua orang tahu Everton kuat dalam perebutan bola kedua, dan dua gol yang kami bolos berpunca daripada itu. Separuh masa pertama, kami langsung tidak bermain. Tapi sekurang-kurangnya, di babak kedua, pemain kekal di posisi dengan lebih tenaga dan kualiti.”
Amorim tidak menukar pemain tetapi hanya mengingatkan mereka supaya mengikut apa yang telah dilatih sepanjang minggu. Namun, permainan United hanya berubah selepas Fernandes menjaringkan gol menerusi sepakan percuma, satu-satunya percubaan tepat mereka setakat itu. Malah percubaan pertama United dalam perlawanan hanya berlaku pada minit ke-42 apabila Ugarte melepaskan rembatan jauh yang tersasar.
Ketika United menjaringkan gol, Hojlund sudah digantikan oleh Chido Obi. Pemain berusia 17 tahun itu menunjukkan semangat yang semakin pudar dalam diri Hojlund. Obi bijak mencari ruang antara pertahanan dan tengah Everton, membolehkan United membina serangan dengan lebih baik.
Joshua Zirkzee pula mula memenangi perebutan bola, manakala Alejandro Garnacho yang masuk menggantikan Casemiro, memberikan ancaman lebih langsung kepada Everton. Fernandes juga bermain lebih ke bawah untuk membantu mengawal permainan.
Pemain yang paling menyerlah dalam pasukan United ialah Patrick Dorgu. Sejak sepak mula, rakan sepasukan sering mencari Dorgu kerana mereka yakin dia boleh mengawal bola dan membawanya ke depan. Dia menyentuh bola sebanyak 89 kali, ke-2 terbanyak selepas Fernandes (109). Dorgu bijak menggunakan badannya untuk melindungi bola, sama ada dengan menggelecek atau memaksa lawan menjatuhkannya.
Namun, untuk bergantung kepada pemain berusia 20 tahun yang baru bermain 3 kali di England bukan lah strategi terbaik. Ia menunjukkan betapa banyak masalah dalam pasukan United.
United hampir memenangi perlawanan pada saat akhir tetapi mereka juga hampir tewas. Pengadil Andy Madley pada mulanya memberikan penalti kepada Everton selepas Ashley Young dijatuhkan tetapi selepas melihat ulang tayang VAR, dia membatalkan keputusannya. Penyokong United tahu betapa mudahnya Young menjatuhkan diri, dan walaupun sentuhan daripada Maguire dan De Ligt cukup lembut.
Selepas wisel penamat, pemain kedua-dua pasukan bertelagah. Di terowong, Maguire bersemuka dengan Young, bekas rakan sepasukannya di United dan England. Sekurang-kurangnya, itu tanda bahawa United masih ada semangat juang. Tapi untuk menjadikan ia sesuatu yang bermakna, masih banyak kerja yang perlu dilakukan.