Kempen telah bermula untuk mendesak Manchester United menaikkan bayaran gaji mingguan terhadap pekerja stadium mereka, dengan sebilangan pekerja baru menerima gaji kurang daripada £7 sejam.
Kempen ini dilakukan bagi mendesak pihak kelab mengecilkan jurang di antara gaji pemain dan staff yang bekerja dengan Manchester United. Desakan ini timbul selepas United memecahkan tabung mereka untuk membayar gaji tertinggi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris kepada Alexis Sanchez baru-baru ini.
Badan yang bertanggunjawab mengadakan kempen ini, Citizens UK telah menghantar surat rasmi kepada pihak kelab bagi menyatakan sokongan mereka untuk menaikkan bayaran yang diterima staff stadium.
Surat yang ditujukan kepada Naib Pengerusi Eksekutif, Ed Woodward itu mendesak Manchester United mengamalkan polisi mengutamakan komuniti terlebih dahulu dan bukannya bisnes sahaja.
“Kami meminta kamu [Manchester United] melakukan perkara yang betul terhadap mereka yang menerima gaji terkecil di kelab Manchester United. Pekerja-pekerja ini memberitahu bagaimana mereka bergelut untuk hidup dengan bayaran yang sangat rendah dikala pemain bolasepak menerima gaji mingguan seperti seorang raja.”
Pemain yang baru tiba di Old Trafford, Alexis Sanchez dilaporkan menerima gaji mingguan berjumlah £505,000. Bagi pekerja stadium United, mereka memerlukan masa selama 35 tahun untuk mengumpul jumlah yang diperolehi Sanchez selama seminggu.
“Semangat dan minat yang ditunjukkan komuniti setempat yang terdiri daripada pekerja bergaji rendah telah membantu membina reputasi kelab ini sehingga digelar ‘Theatre of Dreams’. Semua pihak yang terlibat dalam membantu menjayakan magis pada hari perlawanan patut hidup dengan lebih terhormat.”
Manchester United sekali lagi diumumkan sebagai kelab terkaya di dunia untuk dua tahun berturut-turut mengikut kajian yang dilakukan oleh majalah Forbes pada tahun 2017.
Walaubagaimanapun, pihak kelab mempertahankan tindakan mereka membayar gaji rendah tersebut dan mendakwa bayaran mereka adalah kompetitif.
“Manchester United membayar gaji staff mereka dengan gaji yang sangat kompetitif berdasarkan kerja yang dilakukan masing-masing.”