Manchester United Hampir Pasti Tidak Akan Ke Liga Juara-Juara dan Apa Kesannya?

Boleh dikatakan Manchester United tidak akan layak ke Liga Juara-Juara melalui slot Liga Perdana Inggeris, iaitu perlu menamatkan kempen di kelompok 4 atau 5 teratas.

Secara teori, tempat kelima mungkin cukup untuk kelab-kelab England memperoleh tiket ke pertandingan elit Eropah itu. Namun, menurut analisis daripada Opta Analyst, peluang United untuk menamatkan musim di tempat kelima adalah 0%.

Bukan itu sahaja, peluang mereka untuk menduduki tempat keenam, ketujuh atau kelapan juga sangat tipis iaitu hanya 0.7%. Kedudukan ini penting kerana ia membuka laluan ke Liga Europa atau Liga Konferens. Harapan untuk layak ke Eropah melalui Piala FA juga telah musnah selepas mereka tewas kepada Fulham dalam penentuan penalti di pusingan kelima.

Jika melihat situasi semasa, United berkemungkinan menamatkan musim ini di separuh bawah liga untuk kali pertama dalam era Liga Perdana Inggeris. Ia juga boleh menyebabkan mereka gagal beraksi dalam pertandingan Eropah untuk kali pertama sejak musim 2014-15. Kali terakhir United tidak menyertai kejohanan Eropah adalah pada musim 1989-90.

Namun, masih ada satu peluang terakhir untuk mereka. Pada musim ini United adalah antara pasukan pilihan untuk menjuarai Liga Europa. Jika mereka berjaya menjuarai pertandingan itu, mereka akan mendapat tiket automatik ke Liga Juara-Juara.

Dalam keadaan kewangan kelab yang semakin ketat akibat perbelanjaan tidak terkawal dalam pembelian pemain dan gaji, United sangat memerlukan pendapatan daripada Liga Juara-Juara untuk menstabilkan kewangan mereka. Walaupun kempen liga domestik sudah hampir tamat, perlawanan Eropah yang masih berbaki menjadi antara yang paling penting untuk United.


Berapa Banyak Kerugian Jika United Tidak Beraksi di Liga Juara-Juara?

Tanpa Liga Juara-Juara akan memberi kesan besar kepada United dari segi kewangan. Ia bukan sahaja menjadikan kelab itu kurang menarik kepada penaja baharu malah penaja sedia ada pun boleh mengurangkan bayaran kepada mereka.

Pada musim panas 2023, United telah memperbaharui kontrak dengan pembekal jersi Adidas sehingga tahun 2035. Perjanjian itu bernilai £90 juta setahun. Dalam kontrak tersebut terdapat klausa pemotongan £10 juta jika United gagal layak ke Liga Juara-Juara.

Dalam kontrak sebelumnya yang bernilai £75 juta setahun, Adidas boleh memotong 30% bayaran jika United gagal ke Liga Juara-Juara 2 musim berturut-turut. Namun, United berjaya mengelakkan pemotongan itu dengan memenangi Liga Europa pada 2017 dan menamatkan musim dalam kelompok 4 teratas pada 2019-20.

Di bawah kontrak baharu, pemotongan £10 juta hanya akan bermula dari musim 2025-26. Namun, jika mereka gagal memenangi Liga Europa musim ini, pemotongan itu akan dikenakan pada musim depan.

Lebih daripada sekadar penaja, kegagalan ke Liga Juara-Juara juga memberi kesan kepada pendapatan siaran dan hari perlawanan. Laporan tahunan United menunjukkan pendapatan Eropah kelab itu turun naik berdasarkan prestasi di atas padang:

  • 2013-14; Suku Akhir (UCL), £49.4 juta
  • 2014-15; Tidak Layak, £1.9 juta
  • 2015-16; Kumpulan (UCL), £41.6 juta*
  • 2016-17; Juara (UEL), £48.5 juta
  • 2017-18; Pusingan 16 (UCL), £45.9 juta
  • 2018-19; Suku Akhir (UCL), £93.1 juta
  • 2019-20; Separuh Akhir (UEL), £20.9 juta
  • 2020-21; Kumpulan (UCL), £73.8 juta*
  • 2021-22; Pusingan 16 (UCL), £75 juta
  • 2022-23; Suku Akhir (UEL), £37.5 juta
  • 2023-24; Kumpulan (UCL), £53.8 juta

Pendapatan United dalam kejohanan Eropah sering berubah-ubah. Sebagai contoh, pada musim 2018-19, mereka memperoleh £93.1 juta selepas layak ke suku akhir Liga Juara-Juara. Namun, pada musim berikutnya, selepas gagal menamatkan liga di kelompok 4 teratas dan hanya bermain di Liga Europa, pendapatan mereka merosot kepada £20.9 juta.

Musim ini, tanpa Liga Juara-Juara, pendapatan siaran United telah merosot lebih satu pertiga dalam separuh pertama musim iaitu daripada £145.7 juta kepada £92.9 juta.


Berapa Banyak United Akan Dapat Jika Layak ke Liga Juara-Juara?

Dengan format baharu 36 pasukan, UEFA telah meningkatkan jumlah wang yang diagihkan kepada kelab-kelab Liga Juara-Juara kepada €2.47 bilion, naik daripada €2.03 bilion.

Sebahagian besar wang ini diagihkan berdasarkan prestasi kelab di Eropah dan saiz pasaran penyiaran. Walaupun jumlah tepat yang bakal diterima United sukar ditentukan, sebagai perbandingan, jika mereka layak musim ini, mereka mungkin menerima sekitar €40 juta.

Selain itu, setiap pasukan yang layak akan menerima €18.6 juta sebagai yuran penyertaan. Pasukan juga memperoleh €2.1 juta untuk setiap kemenangan dan €700,000 bagi setiap keputusan seri dalam peringkat liga.

Hadiah wang semakin meningkat bagi pasukan yang mara ke peringkat kalah mati. Dua finalis akan menerima €57 juta dan tambahan €6.5 juta kepada juara. Jika sesebuah pasukan menang kesemua perlawanan dari peringkat kumpulan hingga final, mereka boleh menjana sehingga €110.8 juta.

Jika United tersingkir awal, mereka masih boleh mataih sekitar €50-€60 juta melalui pelbagai bayaran. Sebagai perbandingan, jika mereka memenangi Liga Europa, jumlah maksimum yang mereka boleh dapat hanyalah sekitar €42.5 juta. Ia menunjukkan betapa besarnya perbezaan ganjaran antara dua kejohanan Eropah utama.


Bagaimana United Boleh Menampung Kerugian Jika Gagal Kes Liga Juara-Juara?

United cuba mengurangkan impak kehilangan pendapatan Liga Juara-Juara dengan memotong gaji kebanyakan pemain utama sebanyak 25%. Walaupun Liga Europa tidak menawarkan jumlah wang yang sama, ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kerugian.

Namun, pemotongan gaji ini telah pun berkuat kuasa pada musim ini dan keputusan buruk di liga mungkin menyebabkan mereka terlepas saingan Eropah pada musim depan.

Kali terakhir ketika United tidak bermain di Eropah pada musim 2014-15, mereka mencatatkan kerugian sebanyak £895,000. Ketika itu, mereka masih mampu menampung kerugian kerana sejarah kejayaan kelab yang panjang.

Namun, kini United telah melalui 5 tahun berturut-turut dengan kerugian keseluruhan mencecah £373 juta. Jika United mahu terus berbelanja seperti kelab Liga Juara-Juara, mereka perlu bermain dalam kejohanan itu setiap musim. Bagi United, kelayakan ke Liga Juara-Juara musim depan menjadi lebih penting berbanding sebelum ini.

BACA:  Man Utd Dianggap Terlalu Mundur Dan Akan Bergelut Untuk Mencabar Kedudukan Empat Teratas