Manchester United Keluarkan Kenyataan Rasmi Mengenai Ronaldo

Manchester United telah mengeluarkan satu kenyataaan ringkas berhubung kait mengenai pemain mereka Cristiano Ronaldo yang tantrum lalu membuka cerita dalam kain kelab ketika temuramah bersama Piers Morgan.

Kenyataan daripada Manchester United ini telah disiarkan melalui laman sesawang rasmi kelab, manutd.com.

Dalam kenyataan itu Manchester United menyatakan:

“Manchester United sedar akan liputan media mengenai wawancara oleh Cristiano Ronaldo.”

“Kelab akan mempertimbangkan maklum balasnya selepas fakta penuh dipastikan.”

“Fokus kami kekal pada persediaan untuk separuh kedua musim ini dan meneruskan momentum, kepercayaan dan kebersamaan yang dibina di kalangan pemain, pengurus, kakitangan dan peminat.”

Sebagai organisasi yang besar Manchester United akan meniliti fakta penuh akan kontroversi terbaharu dari Ronaldo ini sebelum tindakan diambil bagi menjaga kepentingan banyak pihak.

Ronaldo Kecam Manchester United dan Erik Ten Hag

Cristiano Ronaldo telah menggegarkan dunia bola sepak dengan satu kecaman yang keras ke atas Erik Ten Hag dan Manchester United atas pengkhianatan ke atas dirinya serta dijadikan kambing hitam.

Pemain bintang sensasi itu juga telah meluahkan bahawa tiada rasa hormat darinya kepada pengurus Manchester United ketika ini, Erik Ten Hag.

Sejak musim baharu bermula keributan melanda karier Ronaldo di Old Trafford dengan kontorversi demi kontroversi namun berakhir dengan pendamaian.

Namun dalam temuramah penuh sensasi bersama Piers Morgan, Ronaldo tidak mampu berdiam diri lagi apabila telah meluahkan amarahnya lantaran tidak merasakan dia dihormati dengan sepatutnya.

Cristiano Ronaldo menganggap dia kini berada dalam ‘tempoh paling sukar dalam hidup’ secara profesional dan juga secara peribadi.

Penjaring gol terbanyak sepanjang zaman itu merasakan dia ‘dikhianati’ dengan cara layanan diberikan oleh Manchester United.

Tidak cukup dengan itu, Ronaldo kini berada dalam situasi getir apabila telah ditekan untuk keluar dari Old Trafford.

“Man United cuba memaksa saya keluar. Bukan sahaja pengurus, tetapi juga individu lain yang berada di sekeliling kelab. Saya rasa dikhianati”.

“Saya rasa ada orang tidak mahu saya di Manchester United, bukan sahaja tahun ini malah musim lalu juga”

Ronaldo juga merasa sangat mengjengkelkan apabila menjadi ‘kambing hitam’ di mana akan dipersalahkan apabila terjadi sesuatu tidak betul di kelab.

Ten Hag dan Rangnick

Sejak membuat kepulangan kembali bersama Setan Merah, Ronaldo telah bermain di bawah tiga pengurus berbeza, Ole Gunnar Solskjaer dipecat selepas seminggu Ronaldo tiba.

Ralf Rangnick yang digelar bapa bola sepak Jerman juga ke laut lalu digantikan dengan Erik Ten Hag yang mempunyai reputasi yang baik namun tidak pernah bersama kelab gergasi.

Ronaldo menyatakan tiada rasa hormat darinya untuk Ten Hag:

“Saya tidak menghormati dia kerana dia tidak menunjukkan rasa hormat kepada saya.”

“Jika anda tidak menghormati saya, saya tidak akan menghormati anda.”

Mengenai Rangnick, yang tidak menguruskan pasukan bola sepak selama lebih sedekad, dia berkata:

“Jika anda bukan seorang jurulatih, bagaimana anda akan menjadi bos Manchester United? Saya tidak pernah mendengar tentang dia.”

Ralf Rangnick gagal untuk membuktikan sesuatu di Old Trafford malahan Ten Hag sendiri tidak mahu bersemuka dengan Rangnick serta tidak perlukan lelaki Jerman itu menjadi penasihat kelab.

Wayne Rooney

Bagi beberapa pengkritiknya yang paling lantang, seperti seorang lagi bekas rakan sepasukan Wayne Rooney yang telah menyerang Ronaldo secara terbuka selama berbulan-bulan dan menggesa United untuk menyingkirkannya.

Dia berkata,

“Saya tidak tahu mengapa dia mengkritik saya dengan teruk . . . mungkin kerana dia menamatkan kerjayanya dan saya masih bermain di peringkat tinggi.”

Sambil ketawa Ronaldo menambah:

“Saya tidak akan mengatakan bahawa saya kelihatan lebih baik daripada dia. Tapi itulah yang sebenarnya. . . ”

Selain Wayne Rooney, Gary Neville merupakan bekas pemain yang lantang mengkritik Ronaldo dan merasakan pemain itu tidak diperlukan Manchester United.

Kepulangan Semula

Ronaldo juga menyentuh tentang kepulangan semula bersama Manchester United yang pada awalnya mahu ke Manchester City namun Sir Alex Ferguson campur tangan memastikan perpindahan ke City tidak menjadi realiti.

Dia berkata:

“Saya mengikut kata hati saya. Dia (Sir Alex) berkata kepada saya, ‘Mustahil untuk anda datang ke Manchester City, dan saya berkata, ‘OK, Boss’.”

Bagaimanapun, Ronaldo tidak lama kemudian menyedari bahawa kelab itu tidak lagi sama seperti ketika dia keluar kali pertama.

Ronaldo menyambung:

“Kemajuan adalah sifar. Sejak Sir Alex pergi, saya tidak melihat sebarang evolusi dalam kelab itu. Tiada apa yang berubah.”

“Saya rasa peminat sepatutnya tahu perkara sebenar. Saya mahukan yang terbaik untuk kelab. Inilah sebabnya saya datang ke Manchester United.”

“Tetapi anda mempunyai beberapa perkara di dalam diri yang tidak membantu (kami) mencapai tahap teratas seperti City, Liverpool dan juga Arsenal sekarang.”

“Kelab dengan dimensi ini sepatutnya berada di puncak pada pendapat saya, malangnya mereka tidak.”

Dengan kenyataan keras dan brutal ini sepertinya satu penamat buat karier Ronaldo bersama Manchester United, mampukah pusingan U terjadi lagi?

Liga akan berehat panjang untuk Piala Dunia dan selepas liga kembali jendela perpindahan januari akan diaktifkan dan mungkin itulah jalan keluar bagi Ronaldo.

BACA:  Bukti Mentaliti Elite Tahap Dewa Ronaldo Sebelum Juve Benam Barcelona 3-0