Keadaan di Old Trafford kini bukan sahaja suram dari segi prestasi di atas padang tetapi juga dari segi kewangan kelab. Laporan terbaru menunjukkan bahawa Manchester United mengalami kerugian besar dan perlu mengambil langkah drastik untuk mengawal perbelanjaannya.
Salah satu perkara utama dalam laporan suku kedua kelab adalah kos pemecatan pengurus Erik ten Hag, kakitangan kejurulatihannya serta pengarah sukan Dan Ashworth. Jumlah keseluruhan yang terpaksa dibayar akibat pemecatan ini adalah £14.5 juta.
Daripada jumlah itu, £4.1 juta digunakan untuk membawa Ashworth dari Newcastle United tetapi beliau meninggalkan kelab selepas hanya 5 bulan. Ia menyumbang kepada kerugian keseluruhan sebanyak £26.4 juta untuk musim ini.
Pembaziran di Bawah Kepimpinan Baharu
Apabila Sir Jim Ratcliffe membeli sebahagian saham kelab, beliau berjanji untuk menguruskan kewangan dengan lebih baik. Namun perbelanjaan besar untuk pemecatan pengurus dan pengarah sukan menunjukkan pembaziran masih berlaku di Manchester United.
Ratcliffe kini cuba mengurangkan kos dengan pelbagai cara. Pada musim panas lalu, kelab telah membuang 250 pekerja dan kini lebih 100 lagi kakitangan berisiko kehilangan pekerjaan. Selain itu peminat juga marah dengan kenaikan harga tiket yang berlaku pada pertengahan musim.
Manchester United telah mencatat kerugian 5 tahun berturut-turut dan Ratcliffe memberi amaran bahawa lebih banyak keputusan tidak popular mungkin dilakukan pada masa depan.
Hutang Masih Tinggi Walaupun Ada Pelaburan Baru
Sejak keluarga Glazer mengambil alih kelab pada tahun 2005, hutang Manchester United sentiasa ada dalam perbincangan. Ketika itu, kelab mempunyai hutang sebanyak £660 juta. Kini selepas hampir 20 tahun, hutang kelab telah meningkat kepada £731 juta.
Hutang ini terdiri daripada 2 bahagian:
- $650 juta (sekitar £500 juta) dalam bentuk mata wang dolar AS, yang nilainya berubah mengikut kadar pertukaran.
- £210 juta dalam bentuk kredit yang boleh digunakan apabila kelab kekurangan wang tunai.
Sejak tahun lalu Ratcliffe telah melabur £238.5 juta ke dalam kelab. Sebahagian daripada wang ini digunakan untuk membayar hutang kredit tetapi sejak tahu lepas jumlah keseluruhan hutang hanya berkurang £42 juta.
Di samping itu, Manchester United juga mempunyai hutang berkaitan perpindahan pemain yang mencecah £319 juta. £154 juta perlu dibayar dalam tempoh setahun.
Bayaran Faedah Hutang Semakin Meningkat
Manchester United perlu membayar faedah ke atas hutang mereka dan jumlah bayaran itu semakin meningkat. Pada separuh pertama musim ini, kelab telah membayar £18.8 juta dalam bentuk faedah hutang.
Untuk musim 2022-23, jumlah keseluruhan bayaran faedah adalah £32 juta dan pada musim lalu ia meningkat kepada £37 juta. Ia bermakna kelab terpaksa menghabiskan puluhan juta setiap tahun hanya untuk membayar faedah hutang yang berpunca daripada pengambilalihan Glazer pada tahun 2005.
Duit Tunai Semakin Berkurang
Selain hutang tinggi, jumlah wang tunai dalam simpanan Manchester United juga semakin berkurangan. Pada tahun 2019, kelab mempunyai £308 juta dalam bank. Namun, kini jumlah itu telah turun kepada hanya £95.5 juta.
Antara sebab utama penurunan itu adalah kerana kelab masih mengalami aliran tunai negatif sebanyak £54 juta pada suku kedua musim ini. Mereka terpaksa berjimat dalam pembelian pemain pada bulan Januari dan hanya membelanjakan £26.7 juta untuk mendapatkan Patrick Dorgu dan Ayden Heaven.
Adakah Manchester United Akan Melanggar Peraturan Kewangan?
Manchester United juga perlu berhati-hati dengan peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (Premier League) dan UEFA. Mengikut peraturan Profit and Sustainability Rules (PSR), kelab hanya dibenarkan mengalami kerugian maksimum £105 juta dalam tempoh tiga tahun.
Namun, Manchester United telah mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak £196 juta dalam tempoh 3 musim terakhir. Walaupun terdapat pengecualian untuk perbelanjaan dalam bola sepak wanita dan pembangunan pemain muda, kelab mengakui bahawa mereka berisiko melanggar peraturan ini pada masa hadapan.
Peningkatan Pendapatan Hari Perlawanan
Walaupun banyak aspek kewangan kelab menunjukkan angka negatif, satu perkara positif adalah peningkatan pendapatan daripada jualan tiket perlawanan.
Dalam suku kedua musim ini, Manchester United mencatatkan pendapatan £52 juta daripada jualan tiket, meningkat sebanyak £4.4 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Sebahagian besar peningkatan ini adalah kerana permintaan tinggi untuk pakej hospitaliti VIP bukan kerana kenaikan harga tiket biasa. Namun, kenaikan harga tiket tetap memberi kesan kepada penyokong dan mencetuskan kemarahan mereka.
Kos Pemain dan Pengurusan Meningkat
Manchester United juga mencatatkan peningkatan besar dalam kos berkaitan pemain dan staf kejurulatihan. Kos amortisasi, iaitu bayaran yang dibuat untuk perpindahan pemain dan kontrak kejurulatihan, telah mencecah £102.7 juta dalam tempoh 6 bulan pertama musim ini.
Jika trend ini berterusan, jumlah kerugian akhir untuk musim ini dijangka melebihi £200 juta, hampir menyamai rekod yang pernah dicatatkan oleh Chelsea pada musim 2022-23.
Masalah utama adalah kos ini tidak seiring dengan prestasi di atas padang. Berbeza dengan Arsenal yang meningkatkan perbelanjaan dan berjaya bersaing dengan Manchester City tetapi United masih gagal menunjukkan prestasi yang meyakinkan.
Kesimpulan: Masa Depan Manchester United Kabur
Dengan hutang yang tinggi, aliran tunai negatif dan risiko melanggar peraturan kewangan, Manchester United berada dalam situasi yang mencabar.
Sir Jim Ratcliffe kini berusaha untuk mengawal kewangan kelab tetapi langkah-langkah yang diambil seperti pemecatan pekerja dan kenaikan harga tiket telah menimbulkan ketidakpuasan dalam kalangan penyokong.
Jika United ingin kembali ke puncak bola sepak, mereka perlu mencari jalan untuk menguruskan kewangan dengan lebih baik sambil memastikan prestasi di atas padang terus meningkat. Buat masa ini, masa depan kelab masih tidak menentu dan penyokong hanya boleh berharap agar keadaan akan berubah ke arah yang lebih baik.