Manchester United Semakin Hampir Muktamadkan Perjanjian Dapatkan Khidmat Bintang Shakhtar Donetsk

Manchester United berada dalam fasa terakhir untuk menamatkan perjanjian membawa masuk bintang Shakhtar Donetsk, Fred ke Old Trafford.

Menurut sumber Sky Sport News, pasukan naib juara Liga Perdana Inggeris musim ini sangat berminat untuk mendapatkan pemain tersebut bagi memperkuatkan bahagian tengah United musim hadapan.

Fred bakal dibawa masuk untuk memperkuatkan bahagian tengah United yang agak rapuh musim ini

Fred yang berasal dari Brazil telah dinamakan dalam skuad 23 pemain yang bakal berangkat ke Russia untuk menghadapi Piala Dunia tidak lama lagi. Pemain yang baru berusia 25 tahun itu mempunyai 7 penampilan bersama skuad kebangsaan.

Pengurus Red Devils, Jose Mourinho telah mengenalpastik bahagian tengah sebagai salah satu punca mereka gagal memenangi sebarang trofi musim ini dan bertindak cepat untuk mendapatkan Fred sebelum disambar kelab besar lain.

Mourinho risau nilai Fred akan meningkat berkali ganda sekiranya pemain tersebut mengharungi kempen Piala Dunia 2018 dengan cemerlang. United dilaporkan akan membayar €50 juta (£43.7juta) kepada Shakhtar Donetsk untuk membawa pemain terbabit ke Old Trafford pada jendela perpindahan pemain yang akan datang.

Sebelum ini, Fred dilaporkan menjadi sasaran Manchester City untuk menggantikan tempat Fernandinho yang semakin dimamah usia. Posisi asal Fred adalah pemain tengah bertahan tetapi beliau juga mampu mengisi posisi bek kiri dengan selesa. Beliau merupakan pemain yang versatile dan ini merupakan perkara yang cukup digemari Pep Guardiola

Pep Guardiola juga berminat untuk mendapatkan Fred tetapi disailang lebih awal oleh Mourinho

Bahagian tengah dilihat sebagai bahagian yang memerlukan kemasukan pemain baru berikutan persaraan Michael Carrick dan Maroune Fellaini yang enggan menandatangani kontrak baru.

Selain Fred, Mourinho turut menyasarkan untuk mendapatkan khidmat bintang muda Lazio, Sergej Milinković-Savić bagi memperkuatkan bahagian tengah United. Lazio dilaporkan bersedia untuk melepaskan Milinkovic kerana kegagalan mereka untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

Menurut laporan dari Itali, Lazio mahu sekurang-kurangnya €100juta (£87.4juta) bagi kelab yang berminat untuk mendapatkan aset paling bernilai yang dimiliki mereka ketika ini. Menarik untuk disaksikan sama ada Red Devils sanggup untuk membayar jumlah yang hampir sama pernah mereka bayar kepada Juventus untuk mendapatkan Paul Pogba pada tahun 2016.

Selamat jalan Darmian

Dalam perkembangan lain, bek kanan United Matteo Darmian dilihat semakin hampir untuk meninggalkan Old Trafford memandangkan beliau hanya mempunyai baki setahun sahaja lagi dalam kontraknya. Darmian dilaporkan bakal menyertai Juventus dalam perjanjian yang dianggarkan bernilai €12juta.

BACA:  Jurgen Klopp Terus Menganjing Man Utd Sebaik Tiba Di Bangkok