Manchester United Tempang Menjelang Pertemuan Menentang Liverpool Sabtu Ini

Perlawanan paling besar dalam Liga Perdana Inggeris bakal berlangsung tidak lama lagi. Perlawanan ini amat ditunggu-tunggu peminat seluruh dunia terutamanya rakyat Malaysia yang berdarah Manchester dan Merseyside.

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho bakal berdepan cabaran getir apabila berkunjung ke Anfield Sabtu ini. Tugasan tersebut menjadi lebih sukar kerana mereka bakal turun tanpa beberapa pemain utama termasuklah Paul Pogba, Michael Carrick dan Maroune Fellaini.

Perlawanan Liverpool-Manchester United hujung minggu ini merupakan perlawanan kali ke 51 mereka berentap sesama sendiri semenjak Liga Perdana Inggeris (EPL) diperkenalkan.

Abang saya cedera. Tak leh main lawan Liverpool.

Penyokong Liverpool masih merasai kekecewaan selepas mengetahui ayam tambatan mereka, Sadio Mane mengutip kecederaan serius di bahagian hamstring ketika bersama skuad kebangsaan Senegal.

Tetapi penyokong Liverpool tidak keseorangan merasai keperitan kehilangan pemain ketika tugasan antarabangsa. Peminat Manchester United turut risau dengan ketiadaan Maroune Felllaini yang mengalami kecederaan ketika bersama Belgium dan pemain kesayangan Mourinho ini terpaksa berehat paling kurang dua minggu.

Berita kecederaan Fellaini tidak disambut baik sebilangan besar peminat Red Devils selepas Fellaini beraksi cemerlang dalam beberapa perlawanan sebelum ini, antaranya menjaringkan dua gol ketika mereka mencatat kemenangan 4-0 ke atas Crystal Palace.

Pemain yang kental tetap mengalami kecederaan.

Pertarungan di bahagian tengah merupakan kunci utama untuk mendapatkan kemenangan Sabtu ini di Anfield. Mourinho pastinya pening kerana tanpa Pogba dan Fellaini, mereka hilang ‘physicality’ di bahagian tengah.

Pogba masih lagi bergelut untuk cergas sepenuhnya selepas mengalami masalah hamstring ketika pertemuan menentang Basel dalam saingan Liga Juara-Juara bulan lepas.

Seorang lagi pemain tengah, Michael Carrick pula masih lagi belum beraksi musim ini akibat masalah kecederaan yang tidak diketahui.

Tanpa mereka bertiga, Mourinho bakal mempertaruhkan pemain Sepanyol, Ander Herrera untuk mengisi bahagian tengah bersama-sama Nemanja Matic. Herrera sudah pasti mempunyai sesuatu untuk dibuktikan kepada Mourinho selepas kehilangan tempatnya dalam pasukan utama selepas ketibaan Matic dari Chelsea.

Mane juga mengalami kecederaan.

Mourinho gemar untuk meletakkan 3 pemain di bahagian tengah apabila bertemu pasukan kuat di tempat lawan. Dengan Herrera dan Matic hampir pasti diturunkan, Daley Blind mungkin akan menyertai mereka berdua di bahagian tengah dalam usaha Manchester United mengekang penguasaan bola Liverpool.

Mourinho juga mempunyai pilihan lain seperti Juan Mata untuk mengetuai barisan tengah tetapi senario ini mungkin sukar untuk berlaku. Sejarah membuktikan Mourinho gemar bermain secara negatif dalam perlawanan besar sebegini dengan pengurus berasal dari Portugal ini lebih gemar memilih pemain yang mempunyai fizikal yang bagus dari pemain yang kreatif.

Liverpool yang sedikit tempang tanpa Mane pula bakal mempertaruhkan gandingan Emre Can dan Jordan Henderson di bahagian tengah. Jurgen Klopp harus membuat keputusan siapa yang paling layak mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mane.

Atas kertas, Alex Oxlade Chamberlain adalah calon paling sesuai tetapi pemain England ini masih bergelut dengan prestasinya selepas menyertai Liverpool dari Arsenal pada hari terakhir tirai perpindahan lalu. Klopp juga mempunyai pilihan lain seperti Gini Wijnaldum ataupun James Milner untuk membarisi barisan tengah Liverpool.

Adam Lallana masih lagi menerima rawatan di sebuah klinik di Qatar dan beliau dijadualkan hanya kembali sekitar pertengahan November ini.

Adakah badi Chamberlain akan berterusan?

Bahagian serangan kedua-dua pasukan seperti tiada masalah dengan penyerang utama, Romelu Lukaku dan Roberto Firmino bebas dari sebarang kecederaan. Terdapat kerisauan terhadap Lukaku pada mulanya selepas beliau tidak bermain ketika perlawanan Belgium-Bosnia kerana cedera ringan.

Walaubagaimanapun, beliau kembali diturunkan Selasa lalu ketika Belgium membelasah Cyprus 4-0. Firmino mungkin sedikit keletihan kerana terpaksa mengharungi penerbangan yang jauh selepas pulang dari tugasan antarabangsa bersama Brazil.

Walauapapun yang berlaku, perlawanan Sabtu ini pasti bakal menarik perhatian semua pencinta bolasepak seluruh dunia. Manakan tidak, perlawanan Liverpool-Manchester United sering kali menghasilkan detik-detik kontroversi yang bakal membuatkan anda tidak senang duduk.

Jadi kosongkan jadual anda dan nikmati kemanisan bolasepak dengan menonton perlawanan panas ini.

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Izzuddin Ismail untuk disiarkan di thesukan.com

Baca Juga

Baca Juga