Manchester United Terciduk Lagi Dan Laluan Ke Champions League Makin Sukar

Pasukan paling kelakar di muka bumi ketika ini, Manchester United terciduk lagi dan menyebabkan laluan serta impian ke Champions League musim hadapan tampak semakin sukar dan mustahil.

Selepas liga kembali bersambung dari rehat cuti antarabangsa, Manchester United perlu menang dalam kesemua baki perlawanan untuk ke Champions League sambil berharap Tottenham Hotspur, Arsenal dan West Ham United keciciran mata.

Tapi sayang Manchester United hanya sekadar seri menentang Leicester City dalam perlawanan yang sepatutnya mereka boleh meraih tiga mata berharga.

Bertemu Everton pasukan yang bermasalah juga menyaksikan Setan Merah tewas lagi ketika Arsenal juga kehilangan tiga mata.

Manchester United bermula garang dan meyakinkan memberi harapan untuk membawa pulang mata penuh dengan terus mengasak kubu Everton dari awal permainan.

Kecemerlangan Jordan Pickford telah berjaya menafikan dua percubaan berbahaya dari Marcus Rashford, satu melalui rembatan dan satu melalui satu sundulan tajam.

Everton mempamerkan aksi agak tidak meyakinkan lagi longlai namun semuanya berubah pada minit ke-27 melalui jaringan Anthony Gordon.

Bola dihantar kepada Richarlison agak meliar namun kembali dikawal pemain Brazil itu yang tidak dikawal. Aaron Wan Bissaka tiba untuk mencabar.

Richarlison memotong masuk ke dalam dan cuba menghantar bola kepada Alex Iwobi tetapi berjaya dipotong malangnya bola sampai kepada Anthony Gordon.

Bola sampai seperti satu setting yang cantik, Gordon terus mengambil langkah melepaskan satu rembatan, Bruno Fernandes datang cuba menghadang tetapi gagal.

Harry Maguire juga cuba menggunakan badan untuk menghalang malangnya bola terbias masuk ke kiri gawang menewaskan David De Gea yang sudah bersedia untuk ke kanan.

Mati langkah David De Gea yang hanya mampu untuk menyaksikan bola masuk menerjah gawang untuk gol pembukaan Everton. Gol tersebut bukannya kesilapan Harry Maguire.

Lantaran tewas maka sudah pasti nama Harry Maguire meniti dibibir peminat setan merah untuk dipersalahkan dan dijadikan kambing hitam.

Pemain Setan Merah yang meningkat prestasi di bawah Ralf Rangnick, Fred terpaksa dikeluarkan pada minit ke-36 selepas mengalami kecederaan dan Paul Pogba masuk.

Ketiadaan Fred yang agak berprestasi tinggi dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada Manchester United.

Separuh masa kedua menyaksikan Setan Merah seperti ditambat dan bergelut untuk mendapatkan gol penyamaan apatah lagi gol kemenangan.

Jaringan tunggal Anthony Gordon sudah cukup untuk Everton yang kini bergelut dengan pelbagai masalah dalaman meraih tiga mata berharga dan menjarakkan diri dari zon penyingkiran.

Marcus Rashford yang menghadirkan dua percubaan merbahaya pada awal perlawanan seperti lesap dan tidak memberi impak kepada pasukan untuk baki perlawanan.

Bruno Fernandes yang telah mendapat kontrak lanjutan gagal memberi impak seperti beberapa perlawanan yang sudah dan bergelut untuk mempamerkan yang terbaik.

Dalam 2 perlawanan terakhir, Bruno Fernandes kehilangan bola sebanyak 48 kali secara terkumpul dan gagal menghadirkan permainan yang kreatif.

Ralf Rangnick telah merekodkan peratusan kemenangan paling rendah oleh mana mana pengurus dalam Liga Perdana Inggeris musim ini.

Godfather bola sepak Jerman itu hanya merekodkan 8 kemenangan sahaja dari 17 perlawanan di Premier League dan secara nisbahnya adalah 47 peratus kemenangan sahaja.

Ini merupakan kekalahan kelapan Setan Merah di Premier League. Manchester United hanya menang 1 daripada 7 perlawanan terakhir mereka.

Manchester United juga telah melepaskan kelebihan yang mereka miliki dalam persaingan ke top 4 sebelum ini, dan kini berada 6 mata di bawah slot Champions League selepas Spurs terus mencatatkan kemenangan.

Everton: Pickford, Coleman, Godfrey, Keane, Mykolenko, Delph, Allan, Iwobi, Gordon, Calvert-Lewin, Richarlison.

Subs: Kenny, Holgate, Gray, Begovic, Doucoure, Andre Gomes, Branthwaite, Rondon, Alli.

Man Utd: De Gea, Wan-Bissaka, Lindelof, Maguire, Alex Telles, Fred, Matic, Rashford, Bruno Fernandes, Sancho, Ronaldo.

Subs: Jones, Pogba, Mata, Lingard, Dalot, Heaton, Henderson, Elanga, Mejbri.

Referee: Jonathan Moss (County Durham)

BACA:  Mourinho: Saya Hormat Pencapaian Wenger Dan Tidak Mahu Beliau Bersara