Manchester United Terlepas Untuk Dapatkan Darwin Nunez Kerana Boss Besar Benfica Keracunan Makanan

Manchester United sebenarnya mungkin akan dapat membeli penyerang, Darwin Nunez, jika dan hanya jika mereka tidak membuat kesimpulan bahawa satu mesyuarat bersama presiden Benfica dibatalkan kerana tawaran mereka ditolak.

Perpindahan Nunez ke Liverpool telah disahkan pada minggu lalu dan penyerang Uruguay itu menjadi pemain termahal yang dibeli oleh kelab Merseyside tersebut, lebih mahal daripada pertahanan Belanda, Virgil Van Dijk.

Sebelum ini, pemain ini pernah mendapat perhatian daripada kelab lain di Liga Perdana Inggeris, dengan Brighton pernah menunjukkan minat mereka sebelum Nunez mengambil keputusan untuk menyertai Benfica. West Ham pula dikhabarkan pernah menghubungi kelab Portugal tersebut untuk mendapatkan Nunez pada bulan Januari.

Seteru utama Liverpool, Manchester United, turut mahukan penyerang berusia 22 tahun itu pada beberapa bulan lalu, malah mereka pernah mengaturkan satu pertemuan dengan presiden Benfica, Rui Costa, untuk membincangkan tentang kemungkinan perpindahan.

Walaubagaimanapun, Costa terpaksa membatalkan pertemuan ini selepas dia dan keluarganya mengalami keracunan makanan ketika sambutan hari lahirnya. Manchester United menyangka  bahawa pembatalan pertemuan tersebut merupakan isyarat penolakan tawaran mereka dan merasakan bahawa peluang mereka untuk mendapatkan Darwin Nunez sudah tertutup.

Maka pihak Manchester United mengambil keputusan untuk tidak lagi mengaturkan sebarang perbincangan dengan Costa.

Kalau nak ikutkan, pertemuan yang diaturkan tersebut dijadualkan sebelum perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara UEFA antara Benfica menentang Liverpool dan dalam peringkat itu, Nunez telah menjaringkan gol dalam kedua-dua pusingan.

Lagi pula, tanda harga Darwin Nunez secara automatik telah meningkat sebaik sahaja Benfica melepasi saingan peringkat kumpulan dan bermain di pusingan kalah mati. Jika pasukan gergasi Portugis tersebut gagal melepasi peringkat kumpulan, harga Nunez adalah sekitar £45 juta sahaja.

Gol yang dijaringkannya ketika menentang Liverpool ternyata telah menaikkan harga pemain ini kepada £85 juta – seperti mana yang telah dibelanjakan oleh bekas bakal juara Liga Perdana Inggeris itu.

Pembatalan pertemuan tersebut bukan sahaja situasi yang tidak condong kepada Manchester United, malah kepada Erik Ten Hag juga.

Ten Hag dilaporkan mempunyai minat terhadap penyerang Uruguay itu dan ketika Ajax bertemu Benfica, Nunez turut telah menjaringkan gol. Sebaik sahaja Ten Hag tiba di Manchester dan dilantik sebagai pengurus baharu menggantikan Ralf Rangnick, dia sudah terlambat untuk merencanakan perpindahan Nunez ke Old Trafford kerana perbincangan Liverpool dan Benfica sudahpun sedalam lautan India.

Aksi Darwin Nunez menjaringkang gol ketika menentang Ajax. Gambar : FFT

Pun begitu, keutamaan Ten Hag dalam jendela perpindahan kali ini adalah seorang pemain tengah dan kini perwakilan Manchester United memberikan sepenuh perhatian untuk membawa lari pemain Belanda, Frenkie De Jong dari Barcelona.

Frenkie De Jong sememangnya diketahui mempunyai kebolehan yang bagus selaku pemain tengah dan dalam perlawanan Liga Negara Eropah menentang Belgium, pemain Barcelona ini sekali lagi menampilkan aksi yang cemerlang sekaligus menjawab persoalan kenapa dia dikejar oleh Manchester United.

Dalam bahasa yang mudah, Frenkie De Jong boleh diangkat sebagai seorang pemain tengah yang elit dan berada satu tahap lebih tinggi daripada pemain lain.

Sepanjang perlawanan menentang Belgium dalam Liga Negara-Negara UEFA, pemain berusia 25 tahun ini menampilkan pelbagai variasi dalam sisi permainannya di mana dia mampu melakukan hantaran jauh seperti Andrea Pirlo, boleh menggelecek pemain lawan persis Zinedine Zidane serta memenangi perebutan bola di udara mirip Virgil Van Dijk.

Dia juga merekodkan 94 peratus hantaran sempurna dengan jumlah 77 hantaran – membuktikan dia adalah pemain yang mempunyai visi yang tinggi di atas padang.

Frenkie De Jong merekodkan satu bantuan gol – iaitu gol pertama perlawanan yang dijaringkan oleh Steven Bergwijn, mencipta empat peluang gol dan merampas bola sebanyak enam kali di bahagian tengah padang.

Kompilasi aksi bertaraf masterclass Frenkie De Jong ini dirangkumkan dalam video di bawah.

Untuk rekod, Frenkie de Jong merupakan antara pemain penting yang membantu Ajax untuk mara sehingga peringkat separuh akhir saingan Champions League musim 2018/19 ketika di bawah kendalian Ten Hag.

Gergasi Belanda itu berjaya menyingkirkan Real Madrid dan Juventus pada ketika itu dan mereka juga hampir sahaja untuk mara ke pentas perlawanan akhir, sebelum dikecewakan pada minit terakhir perlawanan oleh Lucas Moura sekaligus berjaya membawa Tottenham Hotspur bermain di pentas final.

Barcelona kemudiannya mengeluarkan dana bernilai €86 juta pada penghujung musim tersebut, untuk menandatangani Frenkie De Jong. Walaupun mempunyai reputasi yang tinggi sebagai pemain tengah muda yang bagus, Frenkie De Jong jarang diberikan peluang untuk membuktikan bahawa dia mampu mengatasi masalah Barca di atas padang.

BACA:  Inilah Punca Utama Kenapa Man Utd Terlepas Darwin Nunez Kepada Liverpool