Manchester United Terus Tenggelam, Tottenham Raih Kemenangan Berharga

Gol awal James Maddison memastikan kemenangan Tottenham Hotspur ke atas Manchester United. Pertembungan ini melibatkan dua pasukan yang dianggap sebagai ‘pencapaian di bawah tahap sebenar’ di Liga Perdana Inggeris.

Dalam perlawanan antara dua pasukan yang bergelut di liga, Tottenham dan Manchester United memulakan aksi pada kedudukan ke-14 dan ke-15 liga. James Maddison yang baru pulih daripada kecederaan betis muncul sebagai wira Spurs. Pada minit ke-13 beliau bertindak pantas menyambar bola muntah selepas Andre Onana menepis percubaan Lucas Bergvall, sekali gus menjaringkan gol tunggal perlawanan.

Kemenangan ini menyaksikan Spurs mencatat 2 kemenangan berturut-turut untuk kali pertama sejak September. Spurs juga melanjutkan rekod tanpa kalah menentang United kepada 6 perlawanan dalam semua kejohanan.

Sementara itu, United yang terpaksa menyenaraikan barisan pemain simpanan yang kebanyakannya terdiri daripada pemain muda akademi kekal di kedudukan separuh bawah liga selepas gagal mencari gol penyamaan.

Manchester United

Garnacho Adalah Penyerang Terbaik United

Pada minit ke-23, Manchester United terlepas satu peluang keemasan yang sepatutnya menghasilkan gol.

Berdasarkan jangkaan gol (xG), peluang Alejandro Garnacho hanya dinilai pada 0.15 tetapi ketika Bruno Fernandes berjaya melepaskan bola melepasi Pedro Porro dan membuka ruang kepada pemain muda Argentina itu, dia kelihatan hampir pasti akan menjaringkan gol.

Walaupun baru mengumpul 13 gol Liga Perdana dalam 81 penampilan, Garnacho kini muncul sebagai ancaman terbesar United di bahagian serangan.

Masalahnya, pemain-pemain lain tidak mempunyai keupayaan seperti Garnacho dalam menyerang ruang dan mengambil bola di kawasan lawan. Rasmus Hojlund dan Joshua Zirkzee tidak mempunyai keberanian seperti Garnacho. Ganarcho sentiasa bersedia untuk mengambil bola dan berlari terus ke arah pertahanan lawan untuk menguji lawan.

Berdasarkan keadaan semasa, sukar untuk mana-mana penyerang United mencapai 15 gol Liga Perdana musim ini. Tetapi jika ada yang mampu hampir dengan angka itu, Garnacho adalah pilihan terbaik – walaupun dia sendiri masih belum cukup matang untuk memikul tanggungjawab itu.

Namun, pujian yang diberikan kepadanya tidak mengubah hakikat bahawa dia melepaskan peluang keemasan pada minit ke-23. Dia mempunyai masa dan ruang untuk melakukan penyudah tetapi keputusannya untuk melepaskan rembatan awal dengan badan yang condong ke belakang menyebabkan bola melambung jauh dari sasaran.

Kesilapan itu membuatkan Amorim menggeleng kepala di tepi padang. Selepas itu, Garnacho berjaya menghasilkan 3 percubaan pada penghujung perlawanan tetapi beban besar di bahagian serangan terus menghantui pemain muda itu.

Dia sering mengabaikan larian Patrick Dorgu di bahagian kiri kerana terlalu fokus untuk mencari peluang sendiri.

Hakikatnya, Garnacho belum menjadi pemain yang lengkap atau sempurna. Dia baru berusia 20 tahun dan ini hanyalah musim ketiganya dalam pasukan utama. Namun, kelab sebesar Manchester United kini bergantung harap kepada pemain yang masih mentah ini untuk memberi tenaga kepada jentera serangan mereka.

Terdapat perlawanan di mana pendekatan Garnacho iaitu menyerang bertubi-tubi sehingga pertahanan lawan goyah membuahkan hasil. Tetapi perlawanan menentang Spurs ini bukan salah satu daripadanya.

Hari yang Sukar untuk Casemiro

Bagi Casemiro yang baru membuat penampilan ke-3 di Liga Perdana selepas 12 perlawanan, perlawanan ini sememangnya satu cabaran besar.

Sepanjang separuh masa pertama, ia menjadi satu tontonan yang sukar lebih-lebih lagi dengan taktikal pelik United ketika bertahan. Fernandes diminta bergerak ke kanan, Casemiro sering terdedah di tengah padang.

Gary Neville, bekas pemain United yang kini menjadi pundit di Sky Sports menyifatkan situasi ini sebagai:

“Memalukan. Anda takkan lihat perkara seperti ini dalam perlawanan bola sepak bawah 9 atau bawah 10 tahun.”

Kesilapan berturut-turut daripada United akhirnya membawa kepada gol tunggal perlawan. Diogo Dalot hanya fokus kepada Mathys Tel dan langsung tidak menyedari Son Heung-min berada di belakangnya.

Namun, sebelum ia berlaku Casemiro sudah menunjukkan aksi yang terlalu pasif.

Ketika Rodrigo Bentancur mengambil bola di sebelah kanan, Casemiro hanya berlari perlahan-lahan ke arahnya. Pergerakannya seperti pemain keletihan yang bermain pada minit ke-93, padahal perlawanan baru berada di minit ke-13.

Bentancur menghantar bola kepada Pedro Porro dan Casemiro terus mengikut bola tanpa tekanan. Porro dengan mudah menggelecek melepasi Casemiro seolah-olah dia tiada di situ. Pada masa yang sama, Garnacho tidak mengawasi pergerakan Bentancur dan membiarkannya meluru ke dalam kotak penalti.

Ini adalah rentetan kesilapan yang akhirnya membawa kepada gol kemenangan Spurs.

Ketika Casemiro dilayangkan kad kuning kerana menjatuhkan Son, ia semakin jelas bahawa dia tidak lagi mampu bersaing di tahap ini. Ketika itu, ramai yang tertanya-tanya sama ada dia akan dikeluarkan sebelum tamat perlawanan. Tetapi dia kekal di padang sehingga minit ke-91. Bukan kerana dia memberi impak besar tetapi kerana United kekurangan pemain gantian.

Perlawanan ini mengesahkan satu perkara: Casemiro sudah tidak mampu mengawal bahagian tengah seperti dulu.

Tottenham Hotspur

Tottenham Sekadar Cukup-Cukup Untuk Menang

Persembahan Tottenham dalam perlawanan ini bukanlah yang terbaik tetapi mereka tetap berjaya meraih 3 mata. Dengan kemenangan 1-0 ke atas Manchester United, Spurs akhirnya mencatat 2 kemenangan berturut-turut di Liga Perdana Inggeris untuk kali pertama sejak September.

Pada waktu itu, mereka menewaskan Brentford di laman sendiri sebelum membelasah United 3-0 di Old Trafford. Ketika itu, Spurs dilihat seperti bakal menikmati musim yang cemerlang. Namun, kecederaan pemain utama menyebabkan mereka gagal mengekalkan konsistensi.

Pada bulan ini, mereka sekali lagi mengalahkan 2 pasukan yang sama. 2 minggu lalu, Spurs menang 2-0 dalam aksi sukar menentang Brentford dan semalam mereka menewaskan United. Walaupun mereka tersingkir di 2 pertandingan domestik, kemenangan ini membuktikan mereka masih bergerak ke arah yang positif dalam saingan liga.

Kembalinya 5 pemain utama dari kecederaan juga memberi impak besar. 2 dari 5 pemain tereebut terus dimasukkan ke dalam kesebelasan utama, manakala 3 lagi tersenarai di bangku simpanan. Maddison, yang menjaringkan gol tunggal perlawanan, bukan sahaja pantas menyambar bola muntah dari Onana tetapi turut mengawal permainan.

Di bahagian pertahanan, Guglielmo Vicario memainkan peranan penting apabila melakukan beberapa penyelamatan hebat. Dia membantu Spurs bertahan walaupun United mencipta banyak peluang.

Sebelum perlawanan, terdapat protes penyokong terhadap pemilik kelab. Keadaan di dalam stadium berisiko menjadi tegang sekiranya Spurs gagal menang. Tetapi keputusan ini memberikan sedikit kelegaan kepada pasukan walaupun mereka tidak boleh berharap untuk menang dengan cara seperti ini pada setiap minggu.

Bahagian Tengah Tottenham Ambil Kesempatan ke Atas Kerapuhan United

Pada separuh masa pertama, Manchester United hanya mencatatkan 34% penguasaan bola – angka terendah pada separuh masa pertama sepanjang musim ini.

Spurs memang berhak mendapat pujian atas prestasi mereka terutamanya di bahagian tengah. Lucas Bergvall, James Maddison dan Rodrigo Bentancur beraksi cemerlang, mengatasi barisan tengah United dengan kerja keras dan gerakan yang teratur.

Sebaliknya, struktur United ketika bertahan kelihatan tidak kemas dan goyah.

United menghadapi masalah besar dalam susunan pemain. Dengan Amad Diallo cedera dan Patrick Dorgu diletakkan di posisi bek kiri, Ruben Amorim terpaksa melakukan perubahan taktikal. Di atas kertas, kelihatan seperti Joshua Zirkzee bermain di sebelah kanan tetapi dalam perlawanan sebenar, susunan mereka sering berubah.

Ketika Spurs memiliki bola, United cuba menekan dengan formasi 5-2-3 atau 5-3-2, Garnacho kadang-kadang turun membantu bahagian tengah atau menyertai Højlund dan Zirkzee di barisan serangan.

Namun, Tottenham mudah melepasi tekanan ini kerana mereka bijak bertukar-tukar posisi di antara Bergvall, Maddison dan Porro (yang sering bergerak ke dalam). Perubahan ini mengganggu struktur pertahanan United menyebabkan Bruno Fernandes sering terseret keluar dari posisi, sekali gus membuka ruang besar di tepi padang.

Ketika permainan dihentikan selepas Casemiro mengasari Son, Amorim segera memanggil Diogo Dalot untuk memberi arahan menukar formasi. Selepas permainan bersambung, Noussair Mazraoui (bek kanan United) sempat ditolak ke tengah untuk mengisi ruang Casemiro. Namun, perubahan ini gagal.

Dalam kelemahan ini, satu-satunya perkara positif bagi United ialah keupayaan mereka mencipta peluang melalui tekanan tinggi (counter-pressing). Mereka beberapa kali merampas bola di kawasan tinggi selepas kesilapan pemain Spurs.

Namun, peluang terbaik mereka pada separuh masa pertama, iaitu percubaan Garnacho yang tinggi melambung gagal disudahkan.

Selepas rehat, United mula bermain lebih baik. Dalot lebih agresif di sebelah kanan, membantu tekanan ke atas Spurs yang mula keletihan. Ia mencetuskan perlawanan yang lebih terbuka dengan peluang di kedua-dua belah pihak.

Garnacho menguji Vicario 2 kali, manakala Zirkzee hampir menjaringkan gol melalui tandukan.

Namun secara keseluruhannya, perlawanan ini menimbulkan banyak persoalan tentang kebolehan United untuk bersaing jika mereka terus kehilangan pemain utama seperti Manuel Ugarte, Kobbie Mainoo dan Toby Collyer untuk tempoh yang lebih lama.

Apa Kata Pengurus?

Ange Postecoglou

Selepas perlawanan, pengurus Tottenham Ange Postecoglou bercakap kepada Sky Sports mengenai kemenangan pasukannya.

“Kami memastikan United sukar untuk keluar dari tekanan dan ja sangat membantu kami mengawal permainan. Kami nampak tajam tetapi pergerakan di bahagian serangan masih kurang lancar.”

Postecoglou mengakui bahawa Spurs masih perlu meningkatkan kualiti serangan mereka walaupun kemenangan ini adalah satu usaha yang baik.

“Kami kurang sedikit kelancaran di bahagian serangan. Kami akan terus memperbaiki kelemahan ini kerana kami perlu meningkat. Tapi secara keseluruhan ia satu usaha yang baik.”

Beliau juga menyentuh mengenai kritikan yang diterima baru-baru ini:

“Orang ramai suka melihat benda yang akan gagal. Saya pasti ada yang menunggu Tottenham kecundang. Tapi saya tahu betapa kerasnya pemain-pemain ini berusaha.”

Postecoglou yakin pasukannya berada di landasan yang betul walaupun terdapat cabaran besar sepanjang musim ini.

“Kami masih fokus untuk memenangi perlawanan. Dalam masa yang sama kami ada cara tersendiri dalam melakukan sesuatu. Kami sentiasa mencari jalan untuk menjadi lebih baik tetapi kami juga tahu bahawa kami bukan satu-satunya pasukan yang menghadapi cabaran ini.”

Ruben Amorim

Pengurus Manchester United, Ruben Amorim bercakap kepada BBC Match of the Day selepas kekalahan pasukannya.

“Bezanya malam ini ialah mereka menjaringkan gol dan kami tidak. Kami ada peluang, kami ada serangan balas tetapi akhirnya, mereka berjaya menjaringkan gol dan kami gagal.”

Beliau juga menekankan kepentingan memulihkan pemain yang cedera.

“Kami mahu memulihkan pemain yang cedera. Saya rasa kami boleh mendapatkan semula beberapa pemain untuk perlawanan seterusnya. Kami perlu bersatu sebagai satu pasukan untuk menamatkan musim ini dengan baik.”

Mengenai pemain muda yang mengisi bangku simpanan United, Amorim berkata:

“Saya cuba berhati-hati dengan pemain muda. Saya rasa pasukan sudah cukup menekan untuk mendapatkan gol, jadi saya tidak mahu mengubah terlalu banyak. Tetapi mereka akan mendapat peluang bermain.”

Ketika ditanya mengenai tekanan ke atas dirinya, Amorim menjawab dengan tenang:

“Saya tidak risau. Saya faham perasaan penyokong, saya faham apa yang media fikirkan tentang situasi ini. Saya benci kalah. Itu adalah perasaan yang paling teruk.”

Beliau menegaskan bahawa fokusnya bukan pada dirinya sendiri tetapi pada pasukan dan kedudukan pasukan di liga.

“Saya hanya mahu membantu pemain saya. Saya faham kedudukan saya, tugas saya. Saya yakin dengan kerja saya dan yang paling penting sekarang adalah memastikan pasukan kembali menang.”

“Yang menjadi kebimbangan saya ialah kedudukan di liga, bukan tentang diri saya.

BACA:  Louis Van Gaal Bakal Kembali Menguruskan Pasukan Selepas Dua Tahun Dipecat Manchester United