Manchester United Tidak Akan Menang Liga Lebih Dari 30 Tahun Lagi – Penyokong Liverpool

Suatu ketika dahulu, Manchester United dilihat sangat dominan dan menguasai Liga Perdana Inggeris sejak diperkenalkan pada tahun 1992. Namun selepas persaraan pengurus legenda mereka, Sir Alex Ferguson, pada tahun 2013, kelab tersebut dilihat sangat terkial-kial dalam mencari ramuan yang berkesan untuk kembali menjulang trofi liga yang paling berprestij di dunia tersebut.

Dengan prestasi yang terumbang-ambing ini, seorang penyokong Liverpool telah meramalkan bahawa pasukan Manchester United tidak akan mampu menjuarai liga sekurang-kurangnya dalam tempoh 30 tahun lagi.

Selepas kali terakhir muncul juara pada musim 2012-13, United telah dua kali muncul naib juara – sekali di bawah Jose Mourinho dan sekali ketika dikendalikan oleh Ole Gunnar Solskjaer.

Empat pengurus telah dipecat sejak kejayaan kali ke-20 Liga Inggeris mereka dan kini mereka dilihat ibarat jauh panggang dari api untuk kembali ke puncak seperti suatu ketika dahulu.

Seteru utama mereka, Liverpool, telah mengakhiri penantian selama tiga dekad apabila Jurgen Klopp berjaya membawa pulang trofi liga ke Anfield pada musim 2019-20.

Kini, seorang penyokong Liverpool meletakkan satu taruhan bernilai £500 (RM2840) dengan mengatakan bahawa kelab Syaithon Merah tersebut perlu menunggu lebih lama berbanding kelab Merseyside tersebut untuk memenangi liga.

“Aku akan letak £500 taruhan – Man United akan tunggu lebih lama daripada kami suatu ketika dahulu,” ujar penyokong tersebut kepada talkSPORT.

“Secara jujurnya, memang kelab korang dah mereput sampai ke akar,” tambah penyokong itu lagi.

Penyokong The Reds tersebut mengatakan bahawa Liverpool telah mencabar kejuaraan beberapa kali dalam tempoh kemarau kejuaraan tersebut, terutamanya ketika dikendalikan oleh Rafael Benitez dan juga Brendan Rodgers.

Walaubagaimanapun, mereka berjaya berubah dan kini bagaikan dilahirkan semula selepas menerima pelaburan daripada pihak yang betul.

Foto memaparkan detik kali terakhir Manchester United menjulang trofi EPL

Ketika menjawab tentang soalan prestasi Liverpool sekitar 1990 sehingga 2020, dia berkata;

“Sejak 1990 atau 1989 – kali terakhir kami menang – sejak itu sehingga kami betul-betul muncul juara, berapa banyak pasukan yang kuat kami ada?

“Kami ada sekali, dengan Gerard Houllier dan kami mungkin berjaya ada lagi beberapa tahun kemudian di bawah Rafa dan kemudiannya Rodgers.

“Tapi, boleh tengok la yang Chelsea [melalui fasa tersebut] dengan Roman Abramovich, City pun begitu juga, United ada Fergie, Arsenal ada Arsene Wenger bersama-sama Thierry Henry, Patrick Vieira, Dennis Bergkamp.

“Jadi, memang kami terkapai-kapai dan kami tidak menerima pelaburan, tapi sejak ada duit masuk kami kelihatan seperti sebuah kelab yang sangat-sangat lain.

“Korang [Man United] sekarang ni mempunyai pemilik yang salah, korang dah dapat beberapa orang pengurus terbaik kat sana tapi tak mampu cungkil apa-apa daripada pemain, korang belanja bagai nak gila,” ujarnya panjang lebar.

Apa yang dikata oleh penyokong Liverpool tersebut ada benarnya.

Sejak ketiadaan Fergie, United menjadi sebuah pasukan yang tidak stabil dan gagal menemukan ramuan yang berkesan untuk membina skuad atau pasukan yang mampu mencabar kejuaraan liga.

Keadaan hari ini bertambah buruk.

Pada awal musim, United dilihat akan meneruskan momentum sebagai pencabar Manchester City selepas menamatkan saingan liga di tangga kedua pada musim lalu. Tambahan pula, mereka telah berbelanja besar dengan membeli pemain berprofil tinggi seperti pertahanan Raphael Varane yang dibeli dari Real Madrid, Jadon Sancho dari Borussia Dortmund dan juga kepulangan semula Cristiano Ronaldo.

Walaubagaimanapun, sinar yang diharapkan tidak muncul tiba sebaliknya kelab tersebut terus mendung dan mendap sehingga membawa kepada pemecatan pengurus Ole Gunnar Solskjaer.

Pelantikan pengurus sementara, Ralf Rangnick, setakat ini masih belum mampu untuk membawa sebarang impak yang positif, malah diburukkan pula dengan khabar angin yang mengatakan bahawa bilik persalinan kelab tersebut berada dalam suasana yang kurang aman.

Ronaldo, baru-baru ini, secara terbuka mengkritik sebahagian pemain muda di kelab tersebut yang dikatakan tidak boleh menerima teguran dan tunjuk ajar daripada senior, selain membandingkan dengan zaman mudanya sewaktu awal-awal menyertai United suatu ketika dahulu.

Di luar padang pula, sebahagian penyokong secara berterusan menekan pemilik – keluarga Glazer – untuk menjual kelab tersebut kepada pihak yang lebih memahami bola sepak dan ingin berjaya, bukan sekadar menelan duit berjuta-juta pound sterling setiap tahun yang masuk ke poket sendiri.

Tiada siapa yang tahu sampai bila kelab yang pernah menjadi gergasi ini akan terus menjadi bahan ketawa orang ramai.

Sumber : SportBible

BACA:  Lima Pengajaran Diperoleh Dari Kemenangan United