Manchester United Tutup Kompleks Latihan Carrington Selepas Pemain dan Staf Positif Covid-19

Manchester United telah mengumumkan bahawa kompleks latihan Carrington ditutup selepas beberapa staf dan pemain pasukan utama telah disahkan positif Covid-19 selepas melalui ujian PCR pada hari Ahad, lapor laman sesawang rasmi kelab tersebut semalam.

Penutupan kompleks latihan tersebut dijadualkan selama sekurang-kurangnya 24 jam, dengan tujuan untuk menghentikan dan meminimumkan jangkitan yang lebih banyak daripada berlaku.

United juga menyatakan bahawa mereka yang disahkan positif telah diasingkan mengikut protokol Liga Perdana.

Dengan penutupan ini, maka segala latihan turut sama dibatalkan, sekaligus mengganggu persiapan pasukan tersebut menjelang pertemuan menentang Brentford di London pada hari Selasa nanti.

Penutupan ini juga membuktikan bahawa kelab komited dan fokus untuk menjaga kesihatan dan keselamatan para pekerja.

Buat masa ini, pembesar kelab sedang berbincang dengan pihak Liga Perdana dengan harapan dapat menangguh perlawanan menentang  Brentford nanti. Oleh itu, pemain dan staff kejurulatihan juga masih belum pasti sama ada akan ke London atau tidak, dan segalanya bergantung kepada keputusan daripada pihak Liga Perdana.

Pada pagi Ahad lalu, beberapa pemain dan staff telah disahkan positif selepas melalui ujian PCR dan mereka terus dihantar pulang daripada menyertai sesi latihan.

Difahamkan, jumlah mereka yang positif Covid-19 boleh dikatakan agak kecil berbanding jumlah keseluruhan dalam pasukan tetapi situasi ini sudah cukup untuk memaksa penutupan kompleks latihan bagi mengelakkan masalah yang lebih besar.

Dengan amalan gelembung pengasingan (segregation bubble), ini bermaksud pasukan wanita dan operasi akademi masih boleh diteruskan seperti biasa.

Ketika ini, United berada di tangga kelima liga di belakang West Ham, kurang satu mata. Pasukan Syaitan Merah ini telah berjaya memenangi tiga daripada empat perlawanan liga selepas pengurus, Ole Gunnar Solskjaer, dipecat daripada kerusi panas tersebut.

Menariknya, United telah merekodkan clean sheet dalam dua perlawanan berturut-turut – menentang Crystal Palace dan juga Norwich City.

Pada bulan Julai lalu, sembilan pemain dan staff telah merekodkan keputusan positif virus yang menggegar dunia ini dan memaksa perlawanan pra-musim menentang Preston North End terpaksa dibatalkan.

Walaubagaimanapun, keputusan susulan daripada ujian PCR menunjukkan hasil ujian tersebut adalah positif-salah (false positive).

Kemunculan variant Omicron sejak kebelakangan ini telah menyebabkan peningkatan secara tiba-tiba di United Kingdom, sekaligus merekodkan kenaikan jumlah kes dalam pasukan-pasukan Liga Perdana Inggeris.

Aston Villa telah memilih untuk membatalkan sesi latihan pada hari Ahad di Bodymoor Heath selepas beberapa kes positif ditemukan di kelab tersebut.

Manakala perlawanan Liga Kejuaraan antara Sheffield United dan Queens Park Rangers pada hari Isnin terpaksa ditunda selepas berlaku penularan wabak tersebut di kelab London Barat tersebut.

QPR telah memaklumkan kepada English Football League bahaw beberapa pemain dan staff telah didapati positif dan menyebabkan mereka tidak mempunyai kekuatan yang mencukupi bagi menghadapi perlawanan tersebut. Perlawanan kelab milik billionair negara, Tony Fernandes, yang berikutnya menentang Swansea juga masih menjadi tanda tanya.

Pada hari Rabu minggu sebelumnya, lapan pemain Tottenham Hotspur dan lima daripada anggota kejurulatihan Antonio Conte telah diisytiharkan positif ujian Covid-19.

Maka di atas sebab tersebut, perlawanan antara kelab London Utara tersebut menentang Brighton & Hove Albion terpaksa ditunda. Spurs juga berdepan kemungkinan pembatalan perlawanan Liga Konferens Europa menentang Rennes selepas pertemuan tersebut ditunda.

Dikhabarkan, pihak penganjur tidak akan menjadualkan semula perlawanan tersebut dan tidak dapat dipastikan pasukan manakah yang akan diberikan kemenangan percuma.

Pada hari Sabtu yang lalu pula, West Bromwich Albion turut dikejutkan dengan penularan virus Covid-19 dengan empat pemain pertahanan disahkan positif menjelang pertemuan liga menentang Reading.

Peraturan Covid-19 Liga Perdana Inggeris

Pihak Liga Perdana secara konsisten mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan United Kingdom dalam isu Covid-19. Tiada sebarang pengecualian elit dilakukan.

Jika seorang pemain atau anggota staff kejurulatihan diuji positif terhadap varian Omicron dan staff atau pemain yang lain dikira sebagai kontak rapat. Kesemua mereka perlu duduk di rumah dan mengasingkan diri daripada orang lain selama sepuluh hari.

Peraturan ini turut digunapakai kepada mereka yang sudah lengkap dos vaksin.

Sebelum ini, mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin tidak perlu menjalankan kuarantin kendiri meskipun telah disahkan sebagai kontak rapat. Walaubagaimanapun, kehadiran varian Omicron telah mengubah segalanya.

Adakah Liga Perdana Inggeris akan dihentikan sekali lagi, seperti mana yang telah berlaku pada tahun 2020?

Sumber : Manchester United, The Athletic

BACA:  Antony Setuju MU Beri CRK, Elak Ganggu Fokus Rakan Lain