Manchester United telah mengumumkan jumlah keseluruhan pendapatan untuk 3 bulan sebelum ini sehingga bulan Oktober telah meningkat 17.3% menjadi £141juta.
Hak penyiaran dan kutipan hari perlawanan telah meningkat lebih dari 30%, dengan komersial dan nilai tajaan turut bertambah.
Akan tetapi, pendapatan kelab melalui kedai, barangan cenderahati, pakaian sukan dan lesen produk telah menurun sehingga 0.4% berbanding pendapatan mereka pada masa yang sama tahun lepas.
Pasukan yang digelar Red Devils ini turut melaporkan mereka telah berjaya mencatatkan keuntungan besar dari segi operasi, dari £6.2juta setahun yang lepas kepada £15.2 tahun ini.
Manchester United kini sedang menduduki tangga ke-2 Liga Perdana Inggeris dan dalam kedudukan terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya dalam saingan Liga Juara-Juara. Selain itu, mereka turut berada dalam saingan suku akhir Piala Carabao.
Pengerusi Eksekutif Manchester United, Ed Woodward dipetik berkata ketika sidang media membentangkan laporan kewangan suku tahunan kelab tersebut.
“Kami baru sahaja mengharungi suku tahunan dari musim yang berpotensi memberikan kejayaan kepada kelab. Dalam saingan Liga Juara-Juara, kami telah memenangi kesemua empat perlawanan setakat ini.
Kami telah Berjaya melangkah ke peringkat suku akhir dalam Piala Carabao, dan kami bersedia untuk mengharungi jadual perlawanan yang sibuk selepas ini.”
Dalam suku tahunan kali ini, Manchester United telah mengadakan persiapan pra-musim mereka di USA, dan menandatangani tiga pemain baru iaitu Nemanja Matic, Victor Lindelof dan Romelu Lukaku.
Hak penyiaran yang diterima Manchester United telah melonjak sehingga £38.1juta, peningkatan sebanyak 30.9% hasil penyertaan mereka dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini dan penglibatan dalam Piala Super UEFA, dimana mereka tewas di tangan Real Madrid.
Pendapatan dari kutipan hari perlawanan adalah £22.4juta, peningkatan sebanyak 33.3% berbanding tahun lepas, banyak dibantu dengan Manchester United telah bermain lebih dua perlawanan sebagai tuan rumah dalam semua pertandingan.
Untuk keseluruhan tahun kewangan, Manchester United menjangkakan mereka mampu mencatat jumlah pendapatan antara £575juta sehinga £585juta.
Selain itu, perbelanjaan untuk operasi kelab setakat suku tahunan ini adalah £143.1juta, peningkatan sebanyak £20.9juta berbanding tahun lepas pada masa yang sama. Ini disebabkan kelab terpaksa membuat pembayaran yang lebih berikutan Manchester United berjaya melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara musim ini.
Secara keseluruhannya, jumlah yang dibelanjakan untuk membayar faedah pekerja untuk suku tahunan ini telah meningkat kepada £69.9juta, peningkatan sebanyak 12.2%.
Perbelanjaan untuk perkara-perkara lain turut meningkat menjadi £34.5juta, naik sehingga 29.2% berbanding catatan tahun lepas.
Sebab utama peningkatan ini adalah Manchester United bermain lebih banyak perlawanan persahabatan di luar negara, iaitu 5 perlawanan lebih tinggi berbanding tahun lepas.
Berita gembira buat peminat Red Devils yang risaukan paras hutang kelab mereka yang tinggi, dimana jumlah semasa hutang adalah £268.1juta, penurunan sebanyak £69.6juta berbanding catatan pada tahun lepas.