Manchester United Yakin dan Bertegas Ronaldo Akan Kekal Walaupun Perangai Tak Semenggah

Kelab paling kuat di EPL, Manchester United, tetap bertegas dan yakin bahawa bintang mereka Cristiano Ronaldo akan kekal di kelab selepas jendela perpindahan ditutup, walaupun tersebar pelbagai sumber cerita yang mengatakan bahawa pemain ini menjadi punca perbalahan di bilik persalinan.

Pada hari Ahad, United dilaporkan menafikan sebarang berita yang mengatakan bahawa mereka akan membatalkan kontrak kapten Portugal tersebut untuk membenarkannya menyertai kelab lain secara percuma.

Akan tetapi, terdapat laporan yang mengatakan daripada mereka di dalam kelab yang merasakan bahawa United patut melepaskannya dengan hati terbuka meskipun ia akan bermakna pasukan ini akan semakin tempang di bahagian serangan.

Sumber memberitahu ESPN bahawa Ronaldo telah berlatih dengan begitu baik sejak kembali ke pasukan namun dia tidak menyembunyikan hasratnya untuk berpindah keluar daripada kelab daripada perbualannya bersama individu lain di padang latihan.

Akibatnya, Ronaldo dilaporkan bagaikan diboikot oleh rakan sepasukan di mana dia dikhabarkan makan tengah hari seorang diri di kantin pasukan.

Hal ini juga telah mendatangkan kerisauan tentang sama ada dia masih lagi komited untuk menyarung jersi pasukan pada waktu Erik Ten Hag sedang berusaha keras untuk menstabilkan suasana di bilik persalinan selepas tewas dua kali berturut-turut dalam perlawanan pembukaan liga kepada Brighton dan Brentford.

Setakat ini, cubaannya untuk keluar daripada kelab dilihat menemui jalan buntu dan tidak menampakkan sebarang hasil.

Sepanjang jendela perpindahan musim panas ini Chelsea, Bayern Munich, Napoli dan bekas kelabnya, Juventus, dilaporkan antara pasukan pasukan yang dikaitkan dengan pemenang Ballon d’Or lima kali ini, namun dengan berlalunya masa, satu demi satu kelab menyatakan keengganan mereka untuk membawa pemain ini ke rumah masing-masing.

Ketika pasukannya pulang dari jelajah pra-musim, Ronaldo dilihat mengadakan pertemuan empat mata dengan Erik Ten Hag sambil ditemani oleh ejennya, Jorge Mendes, dalam cubaannya untuk memujuk kelab untuk melepaskannya daripada sengsara.

Ada teori yang mengatakan bahawa Ronaldo mahu meninggalkan kelab disebabkan mereka gagal untuk bermain di Liga Juara-Juara UEFA pada musim ini dan dia juga dikatakan khuatir jika rekod golnya di dalam kejohanan tersebut dipecahkan oleh bekas pemain terbaik dunia, Lionel Messi.

Ronaldo berada dalam kesebalasan utama ketika pasukannya dibelasah Brentford 4-0 di Stadium Komuniti Ctech pada hari Sabtu dan di dengan jelas tidak berada dalam mood yang gembira dan dilihat mengabaikan barisan kejurulatihan ketika melangkah keluar dari padang, termasuk Ten Hag.

Ten Hag juga dilaporkan agak gusar dengan sebarang faktor negatif yang mampu memberi kesan kepada semangat di kalangan pemain. Malah dia juga sedar bahawa keyakinan dan kepercayaan diri pada pemain berada di tahap yang begitu rendah selepas tamatnya saingan liga pada musim lalu.

Pengurus berbangsa Belanda ini mungkin berdepan dilema tentang pemain serangan yang perlu dipilihnya menjelang pertemuan menentang Liverpool pada 22 Ogos nanti selepas Anthony Martial dilaporkan telah kembali ke latihan.

Penyerang Perancis itu tampil dengan sangat mengkagumkan dalam siri pra musim namun nasibnya kurang baik apabila mengalami kecederaan hamstring ketika tirai liga hampir dibuka.

Ten Hag pula pada masa yang sama masih lagi ingin memperkuatkan barisan serangannya meskipun jika Ronaldo kekal di kelab dengan mendapatkan seorang penyerang simpanan dan juga penyerang yang serba boleh.

Pemain sayap PSV Eindhoven Cody Gakpo dan penyerang Atletico Madrid, Alvaro Morata adalah dua nama yang menjadi sasaran, tetapi pihak pengurusan masih enggan mengeluarkan belanja yang besar memandangkan Frenkie De Jong masih lagi menjadi keutamaan dalam jendela perpindahan kali ini.

Pada masa yang sama juga, United dilaporkan telah mencapai kemajuan dalam perbincangan mereka dengan wakil Adrien Rabiot yang dikatakan bakal meninggalkan Turin untuk ke Manchester.

Entah apa lah yang berlaku di kelab tu sekarang.

Sumber : ESPN, Mirror

Baca Juga

Baca Juga