Pemain sayap Liverpool, Sadio Mane berkata beliau tidak sabar untuk bertemu Manchester United hujung minggu ini dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris yang bakal berlangsung di Old Trafford.
Mane juga berkata Liverpool berupaya untuk menewaskan sesiapa sahaja ketika ini dan percaya mereka mampu mencapai kemenangan di Old Trafford hujung minggu nanti.
Liverpool kini berada di kedudukan ke-3 dalam Liga Perdana Inggeris, 2 mata dipisahkan dengan penghuni tangga- ke -2, Manchester United. Pertembungan hujung minggu ini bakal membawa impak besar dalam persaingan untuk mrebut slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan, dimana musim hanya berbaki 9 perlawanan sahaja lagi.
Dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi di Anfield, Liverpool mengesahkan tempat mereka di peringkat suku akhir selepas mencatatkan kemenangan 5-0 secara aggregat ke atas Porto.
Mane merupakan antara pemain Liverpool yang menyerlah ketika ini bersama-sama Mohamed Salah dan Roberto Firmino. Pemain antarabangsa Senegal ini telah menjaringkan 5 gol dari 4 perlawanan terakhir beliau dan Mane mendedahkan semangat bilik persalinan Liverpool ketika ini berada dalam tahap tertinggi.
Ketika bercakap kepada Skysports selepas tamat perlawanan awal pagi tadi, Mane berkata Liverpool mampu menewaskan mana-mana pasukan dalam dunia, termasuklah lawan mereka hujung minggu ini iaitu Manchester United.
“Perlawanan hujung minggu ini tidak akan mudah tetapi saya selalu berkata Liverpool mampu tewaskan mana-mana pasukan dalam dunia ini. Sejujurnya, Manchester United adalah salah sebuah pasukan terbaik di England dan juga di dunia, tetapi kami juga sama seperti mereka.”
“Untuk beraksi dalam perlawanan besar sebegini adalah impian setiap pemain bolasepak dan kami sudah tidak sabar untuk menghadapi mereka.”
Antara punca peningkatan prestasi Liverpool kebelakangan ini adalah kerana trio hadapan mereka yan terdiri daripada Firmino, Salah dan Mane. Ketiga-tiga pemain ini telah berganding bahu untuk mencatatkan 11 gol dari 5 perlawanan terakhir liga Liverpool.
Selain bahagian serangan yang berbisa, barisan pertahanan Liverpool juga menunjukkan prestasi yang cemerlang disamping penjaga gol muda mereka, Loris Karius.
Karius sedar beliau akan mengharungi perlawanan yang ‘sibuk’ hujung minggu ini, tetapi percaya mereka mempunyai kualiti yang cukup untuk menewaskan anak buah Jose Mourinho di Old Trafford nanti.
“Ia merupakan perlawanan yang besar buat pemain, kelab dan peminat khususnya. Dengan situasi dalam liga sangat sengit ketika ini, kami perlu mencatatkan keputusan yang baik ketika bertemu Manchester United.”
“Manchester United mempunyai skuad yang bagus dan kami menghormati kemampuan mereka, tetapi Liverpool tidak takut dengan sesiapa. Kami sangat yakin dan jika melihat keupayaan pasukan ketika ini, saya yakin kami mampu tewaskan mereka.”
“Kami mahu layak ke Liga Juara-Juara Eropah secara automatik sekali lagi, dan tempat kedua Liga Perdana Inggeris adalah sasaran yang ideal untuk diduduki.”