Maradona: Messi Bukan Seorang Pemimpin, Dia Ke Tandas 20 Kali Sebelum Perlawanan

Legenda bola sepak dunia, Diego Maradona mengkritik gaya kepimpinan yang dimiliki Lionel Messi sambil mendakwa pemain Barcelona itu bukan seorang pemimpin di atas padang dan tidak patut diangkat sebagai ‘dewa’ bola sepak.

Messi kerap menjadi sasaran pelbagai pihak setiap kali Argentina gagal memenangi sesuatu di peringkat antarabangsa. Beliau pernah mengumumkan persaraan dari arena antarabangsa selepas Copa 2016 tetapi membuat kemunculan kembali tidak lama kemudian untuk membantu Argentina layak ke Piala Dunia 2018.

Menurut Maradona, Messi tidak patut diangkat sebagai dewa bola sepak sebaris dengan beliau dan Pele.

Maradona merupakan individu yang dianggap sebagai pemain bola sepak terbaik sepanjang zaman, bersama seorang lagi ikon dari Brazil iaitu Pele. Namun begitu, Maradona tidak bersetuju Messi diletakkan dalam bracket yang sama kerana beliau mendakwa Messi merupakan pemain yang berbeza apabila beraksi dengan Argentina.

“Kita tidak boleh mengagungkan Messi lagi. Beliau adalah Messi ketika memakai jersi Barcelona. Walau bagaimanapun, beliau bertukar menjadi Messi yang lain apabila bermain untuk Argentina.” Ujar Maradona ketika memberikan temu ramah kepada Fox Sports.

“Memang Messi adalah pemain yang hebat tetapi beliau tiada ciri-ciri pemimpin. Tiada guna untuk kita membentuk seorang pemain yang pergi ke tandas sebanyak 20 kali sebelum perlawanan.”

Kenyataan Maradona ini mungkin merujuk kepada penyakit ‘berdebar’ Messi yang ekstrem sebelum bermula perlawanan. Messi pernah dilihat mengalami muntah sebelum beraksi dalam perlawanan tertentu.

Maradona diumumkan secara rasmi menjadi pengurus Dorados yang baru

Messi yang kini berusia 31 tahun sudah memenangi kesemua trofi dan anugerah individu yang beliau boleh menangi bersama Barcelona dan turut dinamakan sebagai pemenang Ballon d’Or sebanyak 5 kali.

Namun begitu, Messi belum pernah memenangi sebarang trofi bersama skuad senior Argentina dan pencapaian terbaik beliau adalah muncul naib juara Piala Dunia 2014 dan naib juara Copa Amerika sebanyak 3 kali.

Messi juga belum pernah menjaringkan gol di peringkat kalah mati Piala Dunia walaupun telah beraksi dalam 4 edisi sebelum ini.

Berikutan persembahan hambar Argentina dalam Piala Dunia 2018 beberapa bulan yang lalu, Messi mengambil keputusan untuk berehat seketika dari arena antarabangsa. Beliau masih lagi berteka-teki mengenai masa depannya bersama Argentina.

Maradona yang baru sahaja bergelar pengurus untuk sebuah pasukan yang beraksi di Mexico, Dorados, berkata beliau memahami tindakan yang diambil Messi itu.

Messi telah tewas dalam 4 final ketika menyarung jersi Argentina. Kesian

“Jika saya pengurus Argentina, saya tidak akan memanggil beliau sekarang. Tetapi jangan kita terus tutup pintu untuk Messi. Kita perlu meringankan sedikit tekanan yang beliau hadapi ketika ini.”

Dalam aksi persahabatan kelmarin, Argentina berjaya menewaskan Iraq 4-0 dengan menurunkan skuad yang kebanyakkannya adalah muka baru. Argentina akan mengharungi tugas sukar dalam perlawanan persahabatan yang seterusnya dimana mereka akan menentang seteru tradisi, Brazil di Arab Saudi pada Selasa nanti.

BACA:  Piala Dunia 2022: Belanda 2-2 Argentina (Penalti 3-4)