Marcos Rashford Tak Puas Hati Dengan Komen Dari Ole Gunnar Solskjaer

Marcus Rashford dilaporkan terasa hati dengan komen dari Ole Gunnar Solskjaer baru-baru ini yang meminta beliau untuk mengutamakan karier bola sepaknya.

Dalam temu bual terbarunya, pengurus Manchester United itu baru-baru ini bercakap tentang kegiatan Rashford di luar padang.

Yang mana beliau turut bercakap tentang usaha Rashford menyediakan makanan untuk ribuan kanak-kanak sekolah miskin secara percuma.

Solskjaer menegaskan tentang ketekunan Rashford di atas padang, namun pada masa sama, beliau meminta bintang England itu untuk beri keutamaan kepada dunia bola sepak.

“Dia sedang masuk ke fasa usia terbaik untuk jadi pemain bola sepak dan dia ada cabaran di tangan dia di Manchester United, dan ada cabaran di tangan dia bersama skuad kebangsaan England.”

Jelas Solskjaer dalam satu sidang media sebelum perlawanan bertemu Leicester City.

Rashford tidak dinafikan lagi mempunyai pencapaian yang sungguh menakjubkan di luar padang, namun Solskjaer menegaskan agar beliau memberi tumpuan kepada kerjayanya terlebih dahulu.

Pengurus dari Norway itu walau bagaimanapun tidak merasakan kegiatan luar padang Rashford memberi impak pada aksi beliau di atas padang.

“Marcus telah melakukan beberapa hal yang hebat dan menakjubkan, namun kini mungkin beliau perlu mengutamakan karier bola sepaknya.”

Tambah Solskjaer lagi.

Walau bagaimanapun juga, komen dari Solskjaer itu sepertinya tidak diterima dengan baik oleh pemain berusia 23 tahun itu.

Menurut laporan dari wartawan The Athletic, David Ornstein, Rashford merasakan yang beliau tak sepatutnya diingati tentang tanggungjawabnya terhadap dunia bola sepak, bahkan terhadap kelab.

“Sumber dalaman mendedahkan yang kem Rashford tak gembira ketika Solskjaer merasakan perlu untuk beliau sebut berkait keutamaan, kerana tanpa menghiraukan niat sebenar beliau, tafsiran kebanyakan orang terhadap pemain penyerang itu sudah berubah.”

“Mereka akan menganggap yang Rashford selama ini mengabaikan tugasan hakiki beliau demi untuk kegiatan luar padangnya.”

Masalah antara Rashford dan Solskjaer sepertinya bakal mengeruhkan lagi keadaan Manchester United pada ketika ini, yang sudah sememangnya berada di tahap yang sangat teruk.

Ketika aksi bertemu Leicester City di King Power Stadium, Manchester United awalnya berjaya mengikat pasukan tuan rumah dengan keputusan 2-2, dengan perlawanan 10 minit sahaja untuk ditamatkan.

Marcus Rashford merupakan penjaring gol penyamaan untuk Manchester United dan mereka sepertinya merasakan satu mata sudah cukup untuk dibawa pulang, seterusnya mengukuhkan rekod tidak terkalahkan di halaman lawan.

Walau bagaimanapun, Leicester City berjaya memperoleh dua lagi gol sebelum perlawanan tamat untuk mengesahkan kemenangan 4-2 memihak kepada mereka.

Dengan Solskjaer pada ketika ini sedang teruk dihentam oleh media dan para penyokong, beliau tentunya sangat berharap sokongan dari anak-anak buahnya sendiri.

Rashford sendiri walau bagaimanapun berjaya untuk menjaringkan gol pada aksi kepulangan semula beliau, selepas lama diketepikan kerana masalah kecederaan bahu pada musim panas lalu.

Masuk sebagai pemain gantian, beliau dengan segera menunjukkan impak positif dengan menjaringkan gol walau dalam kepala dan hatinya terngiang-ngiang dengan komen dari Solskjaer sebelum sepak mula perlawanan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Zabaleta Kesian Tengok Rashford & Martial Sentiasa Turun Bertahan