Marcus Rashford: Kejatuhan Bintang Manchester United?

Sedih.

Itulah satu perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan perasaan penulis Manchester United, Andy Mitten apabila melihat Marcus Rashford meninggalkan Manchester United meskipun hanya secara pinjaman ke Aston Villa.

Sedih kerana keadaan ini menimpa seorang pemain yang pernah digambarkan oleh Jose Mourinho sebagai bakat utama di kelab itu. Sedih kerana seorang lagi graduan akademi yang berbakat besar yang sepatutnya menjadi ikon kepada pemain muda lain terpaksa meninggalkan United dalam keadaan yang kurang ideal. Dia adalah pemain yang hampir mencapai tahap legenda melalui jaringan gol serta prestasi bertaraf dunia. Tidak hairanlah Barcelona pernah menunjukkan minat terhadap Rashford selepas menyaksikan apa yang dilakukannya dalam dua perlawanan pada tahun 2023.

Nama seperti Rashford, Brandon Williams, Paul Pogba, Mason Greenwood, Ravel Morrison dan Jesse Lingard sering dikaitkan dengan kebangkitan pemain akademi United. Walaupun situasi mereka berbeza, ketidakstabilan di United tidak banyak membantu perkembangan mereka. Hakikatnya mereka semua mempunyai potensi untuk kekal lebih lama di kelab. Sama ada mereka anak jati Manchester atau tidak, mereka membesar dan membentuk karier di bandar ini, sesuatu yang boleh menjadi kelebihan dan pada masa yang sama boleh membawa beban yang besar.

Dua bekas pemain United telah berkongsi perbualan dengan Mitten.

Mereka bercakap tentang skuad semasa, bukan dengan nada kisah silam “segalanya lebih baik pada zaman kami” (walaupun mungkin benar) tetapi dengan beberapa pemerhatian yang menarik.

“Kami mempunyai pemain senior yang tegas di bilik persalinan untuk memastikan kami berdisiplin,” kata salah seorang daripada mereka.

“Pemain seperti Bryan Robson dan Steve Bruce. Mereka menetapkan standard, memberitahu kami apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Mereka tahu siapa yang perlu dielakkan di Manchester. Tetapi di mana pemimpin seperti itu sekarang?”

“Di atas mereka, ada Gaffer (Sir Alex Ferguson) yang tahu lebih banyak perkara lagi,” tambah seorang lagi. “Jadi kami semua berkelakuan baik.”

Dunia telah berubah, begitu juga dengan budaya pemain bola sepak. Budaya minum arak secara berlebihan yang popular di United pada era 1980-an sudah lama berlalu. Namun sekarang tiada lagi pemain senior yang benar-benar mengawal bilik persalinan United yang kini lebih rumit. Tidak adil mengharapkan Bruno Fernandes untuk memahami budaya Manchester. Dia berasal dari Portugal dan ia di luar bidangnya. Tambahan pula dia tidak dikelilingi oleh sekumpulan pemain senior yang sudah lama bersama kelab untuk membimbing dan mengekalkan disiplin pasukan.

Dalam kelab seperti Manchester United, pemain muda memerlukan ketahanan mental yang tinggi untuk menangani segala cabaran yang datang selari dengan perkembangan status mereka. Jika mereka berasal dari Sheffield atau Sepanyol, mereka boleh pulang ke kampung halaman untuk berehat dan bersantai dengan rakan-rakan lama. Tetapi jika mereka anak jati Manchester, rakan-rakan mereka adalah orang yang membesar bersamanya, yang sentiasa menilai dan menghakiminya.

Noel Gallagher, seorang ikon muzik dari Manchester, pernah berkata:

“Jika aku balik ke pub lama aku dan belanja semua orang minum, aku dianggap menunjuk-nunjuk. Kalau aku tak buat begitu, aku kedekut.”

Jika benar Rashford masih bujang seperti yang dilaporkan, bagaimana dia boleh bertemu pasangan dalam keadaan “normal”? Siapa yang boleh dipercayai? Siapa yang membimbing dan menasihatinya?

Seorang bekas pemain senior United pernah menjadi pemimpin tidak rasmi di bilik persalinan. Dia pernah bertanya kepada seorang pemain muda yang sedang bercerita tentang aktiviti hujung minggunya:

“Berapa ramai daripada mereka yang keluar bersama kamu itu, kamu kenal sebelum kamu menjadi pemain profesional di United?”

Jawapannya? “Tiada seorang pun.”

Kini, pemain itu sangat menyesali masa lalunya di United.

Siapa antara pemain senior yang benar-benar memahami Manchester sekarang? Kebanyakan kakitangan bukan pemain di United memang berbakat dan berniat murni membantu kelab itu tetapi ramai yang bukan berasal dari bandar ini dan tidak memahami budayanya. Mereka juga tidak pernah merasai bagaimana rasanya menjadi terkenal di tempat sendiri. Dalam bola sepak, kemasyhuran boleh datang sekelip mata seperti yang berlaku kepada Rashford pada tahun 2015.

Bekas penjaga gol United, Gary Bailey pernah berkongsi bagaimana hidupnya berubah selepas menjadi pemain terkenal.

“Kami masuk ke sebuah pub dan penyokong United mula menyanyikan lagu-lagu pasukan. Ada peminat Manchester City yang mengenali saya selepas rakan-rakan saya mula tunduk hormat kepada saya secara bergurau. Keadaan menjadi riuh dan tiba-tiba peminat City mula mengutuk saya dan pergaduhan tercetus. Saya segera menyelinap keluar.”

Pengurus ketika itu, Dave Sexton, mendapat tahu tentang insiden itu dan memanggil Bailey ke pejabatnya.

“Dia menuduh saya merosakkan sebuah pub di Didsbury dan dia sangat marah. Pemilik pub mengadu bahawa saya mencetuskan huru-hara dan meminta United membayar ganti rugi. Dave berkata: ‘Kamu seorang pemain Manchester United sekarang. Kamu tahu apa makannya di bandar ini?’”

Bailey menjelaskan bahawa dia hanyalah orang biasa yang mahu menjalani kehidupan normal. Namun, Sexton memberinya wang untuk membeli pakaian baru serta wang sebanya £6,500 untuk membeli kereta.

Bailey bertahan dan berjaya, begitu juga ramai pemain lain. Pemain Class of ’92 mendapat bimbingan daripada pemain senior, Ferguson dan saling membantu antara satu sama lain. Wes Brown, seorang anak jati Manchester masih menaiki bas ke pusat latihan. Satu hari, terdapat dua peminat City mengejeknya dalam bas dan pergaduhan berlaku. Ferguson tahu kes tersebut dan bertanya kepada Brown mengapa dia menaiki bas dan Brown menjelaskan dia tidak mampu menaiki teksi atau membeli kereta. Ferguson bersimpati, memberinya kontrak baru dan cukup wang untuk membeli kereta.

Mungkin ini perubahan baik untuk Rashford, kerana ramai penyokong United sudah hilang sabar dengannya. Pemain sentiasa dihakimi bukan sahaja berdasarkan prestasi individu, tetapi juga prestasi pasukan. United gagal memenuhi jangkaan sepanjang tempoh Rashford berada di kelab. Ia bukan sepenuhnya salah Rashford tetapi ia tetap memberi kesan kepada reputasinya.

Pada zaman dahulu Ferguson cukup mengawal pemainnya. Dia mengawasi dengan siapa mereka berkawan, siapa ejen mereka malah menggalakkan mereka berkahwin.

Ramai pemain Ferguson sering berkumpul di rumah satu sama lain, bermain poker sambil makan makanan Cina. Mereka lebih stabil, tidak banyak bersosial di bandar kerana mereka tahu risikonya.

Bagi Rashford, kemasyhurannya datang terlalu awal dan dia masih belum menemui keseimbangan dalam hidupnya. Dia tidak maksum. Gajinya yang besar tidak sepadan dengan prestasinya. Tetapi dia juga pernah menggunakan pengaruhnya untuk tujuan baik seperti melakukan kempen makanan percuma di sekolah. United telah banyak membantunya dan dia bukan satu-satunya yang bertanggungjawab atas keadaan yang menimpanya sekarang.

BACA:  Kali Terakhir Lionel Messi Menjejakkan Kaki Di Old Trafford