Mark Hughes telah diberhentikan dari posisinya sebagai pengurus Stoke City selepas pasukan bimbingannya tewas kepada Convetry City dalam saingan Piala FA kelmarin.
Pengurus berasal dari Wales ini terpaksa membayar harga yang tinggi berikutan prestasi buruk Stoke City kebelakangan ini, dan paling buruk adalah mereka tewas seawal pusingan ke-3 Piala FA kepada pasukan liga bawahan.

Sebelum kekalahan kepada Coventry City, sudah ada desas-desus mengenai pemecatan Hughes dari kedudukannya di Britannia Stadium. Kekalahan 2-1 kepada Conventry City menjadi kemuncak kegagalan beliau dan beliau dipecat oleh lembaga pengarah Stoke City beberapa jam selepas perlawanan tersebut.
“Stoke City dengan ini mengesahkan kontrak Mark Hughes sebagai pengurus Stoke City ditamatkan serta merta.” Kenyataan yang dikeluarkan dari Twitter rasmi kelab.
“Kami mahu mengucapkan terima kasih kepada Mark atas sumbangan beliau kepada kelab ini sepanjang 4 tahun setengah bersama kami.”

“Paling membanggakan adalah pencapaian beliau membawa Stoke City menghuni tangga ke-9 Liga Perdana Inggeris untuk 3 tahun berturut-turut dan kami mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.”
“Kelab ini akan mencari pengganti untuk mengisi kekosongan tersebut secepat yang mungkin dan tidak akan membuat sebarang komen mengenainya buat masa sekarang.”

Hughes menyertai Stoke City pada tahun 2013, dimana beliau sebelum ini pernah menjadi pengurus kepada pasukan seperti Manchester City, Fulham, Queen Park Rangers disamping 5 tahun menjadi pengurus kebangsaan Wales.
Walaupun beliau pernah membantu Stoke menduduki Top 10 Liga Perdana Inggeris buat 3 musim berturut-turut, sudah ada tanda keretakan berlaku dalam pasukannya musim lepas apabila mereka hanya mampu menduduki tangga ke-13 liga.
Mereka kini terjerumus dalam zon penyingkiran dan berada di kedudukan ke-18 liga, dimana Stoke City hanya mampu memenangi 5 dari 22 perlawanan liga setakat ini.