Marodona, AFA Dan Peminat Pujuk Messi

BUENOS AIRES: Lionel Messi tiba di Argentina sebentar tadi tetapi enggan memberi sebarang komen berhubung pengumumannya bersara daripada pentas bola sepak antarabangsa selepas gagal membantu negaranya menjuarai saingan Copa America Centenario, apabila tewas 4-2 di tangan Chile, kelmarin.

Puluhan penyokong Argentina yang menunggunya dengan memakai jersi kebangsaan sanggup berhujan untuk memberikan sokongan kepada pemain terbaik dunia itu.

Ada peminat mengekori bas pasukan kebangsaan dari lapangan terbang ke kompleks Persatuan Bola sepak Argentina (AFA) sambil melaungkan kata-kata semangat supaya Messi tidak meninggalkan pasukan kebangsaan.

Terdapat juga penyokong yang membawa sepanduk dengan tulisan: “Messi: I love you more than I love my mom.” (“Messi: Saya lebih sayangkan anda berbanding ibu saya”)

Meskipun Messi tidak kelihatan menaiki bas berkenaan, jurucakap AFA, Ernesto Cherquis Bialo mengesahkan kepada AP bahawa Messi sudah tiba ke Buenos Aires bersama pemain lain.

Sebelum ini, penyokong bola sepak Argentina termasuk Presidennya serta bekas bintang, Diego Maradona mahu Messi menarik balik hasratnya meninggalkan pasukan kebangsaan.

Maradona yang sebelum ini pernah mendakwa Messi tiada perwatakan memimpin pasukan kebangsaan berubah nada apabila meminta pemain terbaik dunia empat kali itu kembali ke pasukan kebangsaan.

“Dia mesti teruskan. Dia mesti teruskan kerana tugas itu akan membawanya ke Russia dan muncul juara dunia,”katanya.

Argentina akan berdepan Uruguay pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 September depan. Argentina muncul juara Piala Dunia 1978 dan 1986 dan menyambar trofi Copa America terakhir pada 1993. – AP

Selanjutnya di : Berita Harian

Baca Juga

Baca Juga